Pages

Ads 468x60px

Friday, July 14, 2006

Lihat Makhluk Menyeramkan



PAMERAN: Nisan yang dibawa dari Bagan Nakhoda Omar,
Sabak Bernam, Selangor.


Muzium Sultan Alam Shah tempatkan pengamal perubatan tradisional jika ada pengunjung diganggu


SHAH ALAM: Pasti ramai tegak bulu roma ketika mendengar cerita seram mengenai keranda terbang, toyol, jenglot dan makhluk Nyai Blorong, apatah lagi jika ia berada di depan mata.

Masyarakat Melayu, seperti masyarakat lain di dunia, mempunyai pelbagai cerita rakyat dan seram yang sering diulang cerita kepada anak cucu sebagai pengajaran pengajaran atau sekadar menakut-nakutkan mereka.

Sama ada benar atau sekadar cerita dongeng, sebahagian besar masyarakat negara ini, tidak kira yang tinggal di desa mahupun di bandar raya besar, masih ada yang percaya kewujudan hantu dan jin.

Tidak percaya? Lihat sendiri apa yang dikatakan makhluk ghaib di `Pameran Misteri Jin, Hantu, Keranda & ...', di Muzium Sultan Alam Shah yang berlangsung mulai 4 Julai hingga 4 Oktober ini.

Pameran berkaitan misteri jin, hantu dan keranda serta makhluk lain ciptaan Tuhan itu adalah untuk memberi pemahaman berkaitan kewujudan makhluk berkenaan dalam kehidupan manusia, sama ada disedari atau tidak.

Ia membabitkan pameran 70 artifak pada satu sesi pameran. Selain bahan pameran utama seperti kubur, keranda, hantu pocong, penjara dan tempat gantung, bahan pameran yang kecil ditukar setiap dua minggu.

Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Selangor, Mohd Lotfi Nazar, berkata selain dikumpul pihak muzium, bahan pameran itu diperoleh menerusi kerjasama dengan pengumpul persendirian yang sudi berkongsi artifak bercirikan alam ghaib.

Katanya, pameran itu adalah satu usaha Lembaga Muzium Selangor menyampaikan maklumat berbentuk ilmiah mengenai makhluk alam ghaib, selain memberi kesedaran bagaimana tipu daya syaitan dan jin boleh menyesatkan akidah akibat pengamalan ilmu hitam.

Pameran itu juga mendidik pelawat mengenai kepentingan untuk kembali kepada ajaran agama yang dianuti bagi menghapuskan amalan dan hasutan syaitan serta ketakutan kepada hantu dan makhluk halus.

Ia turut memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan makhluk halus yang menjelma dalam bentuk nyata seperti toyol, jin yang diperangkap dalam botol, barongan dan jenglot.

"Tugas mencari bahan pameran untuk pameran tiga bulan ini juga mencabar. Ketika mendapatkan batu nisan kuno dari tapak perkuburan lama di Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam, kami diminta menyelesaikan kerja sebelum jam 4.30 petang bagi mengelak terkandas di kawasan itu selepas air pasang," katanya.

Beliau berkata, tapak perkuburan lama itu sudah lama tenggelam dalam selut di pesisir pantai berkenaan.

Katanya, ketika membawa keluar batu nisan kuno dipercayai milik seseorang yang berasal dari Aceh, ada makhluk halus menjelma dan cuba mengikut mereka pulang.

Bagaimanapun, pengunjung tidak perlu risau diganggu makhluk halus kerana pengamal perubatan tradisional ada ditempatkan di pameran itu untuk membantu memulihkan semangat mereka selain petugas St John Ambulans.

FAKTA
  • Pameran dibuka setiap hari mulai jam 9.30 pagi hingga 10 malam.
  • Bayaran masuk bagi pengunjung dewasa - RM5
  • Bayaran masuk bagi pelajar dan kanak-kanak bawah 12 tahun - RM2.

    Bahan pameran:
  • Toyol
  • Jin yang meniduri wanita
  • Jenglot
  • Keranda
  • Pocong
  • Ikan Duyong
  • Peti berukir ayat al-Quran
  • Pintu gerbang berukir ayat dari surah al-Baqarah
  • Barongan
  • Patung wayang kulit diperbuat daripada kulit manusia
  • No comments:

     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text