Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 13, 2009

Tuntutan mutaah Siti Fairuz 2 Feb

Tuntutan mutaah Siti Fairuz 2 Feb.

SHAH ALAM 12 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 2 Februari depan kes tuntutan mutaah (sagu hati selepas perceraian) dan harta sepencarian penyanyi popular tahun 1980-an, Siti Fairuz (gambar) ke atas bekas suaminya yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Hakim Syarie, Abu Bakar Mohd. Daud menangguhkan kes itu bagi memberikan peluang kepada defendan, Muhamad Zainuddin Kordi, 45, memfailkan pernyataan pembelaan berhubung permohonan Siti Fairuz Sheikh Mohamed, 44.

Dalam prosiding hari ini, Siti Fairuz diwakili peguam syarie, Fakrul Azman Abu Hasan manakala defendan diwakili peguam syarie, Wan Nureen Afiza Wan Azmi yang menyebut kes bagi pihak peguam syarie, Zuri Zabuddin.

Pada 16 Disember 2008, majlis sulh (rundingan bagi menyelesaikan kes secara baik) yang ditetapkan mahkamah gagal disebabkan defendan tidak hadir tanpa sebab.

Penyanyi itu, memfailkan permohonan pada 26 November 2008 untuk menuntut mutaah dan harta sepencarian iaitu 10 harta alih dan tidak alih yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan.

Penyanyi itu yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Zainuddin yang bertugas sebagai pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun 1988. Hasil perkongsian hidup selama 20 tahun, mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Pada 14 Julai 2008, Siti Fairuz disahkan bercerai secara taklik dengan Muhamad Zainuddin pada Mac lalu selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya mensabitkan taklik yang dilafazkan suaminya pada tahun 1993.

Lafaz yang berbunyi: "Kalau you nyanyi lagi, jatuh talak," itu yang dibuat kira-kira 15 tahun lalu disabitkan taklik oleh mahkamah kerana ia dibuat dengan niat menceraikan Siti Fairuz.

Penyanyi itu dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac 2008.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan mengikut peruntukan Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, Siti Fairuz menyatakan, sepanjang tempoh perkahwinan dia banyak berkorban untuk kebaikan defendan dan kebahagiaan rumahtangga.

Plaintif menuntut sebuah rumah teres di Damansara, Subang Indah dan sebidang tanah setiap satunya di Tiara Beach Resort di Negeri Sembilan, Bukit Merah Laketown di Perak serta Lot 57 di Damansara.

Beliau turut menuntut sebuah apartmen dan seunit pangsapuri di Bandar Sri Damansara, sebuah rumah di Mutiara Damansara, sebidang tanah masing-masing di Sungai Buloh dan Damansara serta sebuah rumah lagi di Seksyen 24, di sini.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text