Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 23, 2006

Pengarah Akaun Hotel `dipaksa' Berhenti Kerana Bertudung

Oleh AZMAN CHE MAN


HABSAH Jaafar sambil diperhatikan Subahan Kamal menjelaskan isu larangan bertudung oleh majikannya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di sini, semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.
UM-23/2/2006

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Seorang pengarah akaun sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara kecewa apabila terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak lebih 10 tahun lalu semata-mata kerana memakai tudung.

Habsah Jaafar, 46, mendakwa beliau terpaksa berbuat demikian setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Kata beliau, tindakan pengurusan hotel terbabit yang memberikan pelbagai `tekanan' seperti menghalangnya daripada datang ke tempat kerja jika memakai tudung turut memaksa beliau membuat keputusan berhenti kerja pada 17 Februari lalu.

``Mereka (pengurusan hotel) bimbang jika saya datang kerja dengan bertudung, ia akan mempengaruhi pekerja-pekerja lain untuk berbuat demikian,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal.

Menurut Habsah, isu itu mula timbul apabila beliau memohon untuk bercuti setelah mendapat tawaran mengerjakan haji pada bulan Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, permohonan untuk bercuti bagi menunaikan haji walaupun tanpa gaji ditolak dan hanya diluluskan lima hari sebelum beliau bertolak ke Tanah Suci.

``Dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi hotel, saya juga diberikan `gambaran' supaya berhenti kerja jika ingin mengerjakan haji,'' katanya.

Habsah berkata, sekembalinya daripada mengerjakan haji, beliau yang sebelum itu mendakwa `terpaksa' membuka tudung ketika bertugas memutuskan untuk memakai tudung ketika masuk kerja pada 9 Februari lalu.

Ekoran keputusan itu katanya, beliau telah dipanggil pengurusan hotel terbabit dan diberikan kata dua sama ada membuka tudung ketika bertugas atau berhenti kerja.

``Sebagai orang Islam, bila mereka suruh saya buka tudung, saya rasa seolah-olah mereka suruh saya berbogel,'' katanya yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang perhotelan.

Sementara itu, Subahan berkata, pihaknya amat kecewa dengan tindakan segelintir pengurusan hotel terutama bertaraf lima bintang yang melarang pekerja mereka mengenakan tudung ketika bekerja.

Katanya, tindakan hotel terutama yang diuruskan oleh rakyat asing, mengeluarkan garis panduan berpakaian sendiri itu seolah-olah memperlekehkan budaya serta amalan agama rakyat negara ini selain menafikan hak wanita Muslim mengamalkan suruhan agama mereka.

``Sebagai rakyat asing yang mencari rezeki di negara ini, mereka sepatutnya belajar menghormati budaya dan amalan agama rakyat negara ini,'' katanya.

Sementara itu, Hotel Renaissance menjelaskan, langkah Habsah Jaafar meletakkan jawatan sebagai pengarah akaun hotel tersebut bukan disebabkan beliau tidak dibenarkan memakai tudung.

Sebaliknya dalam kenyataan kepada Bernama, hotel tersebut menegaskan, peletakan jawatan Habsah itu ekoran hal antara beliau dengan hotel yang sulit dan tidak boleh didedahkan demi menghormati Habsah.

Oleh itu, menurut kenyataan berkenaan Habsah boleh memilih untuk kembali bekerja dengan memakai pakaian semasanya.

Dalam kenyataan dua muka surat bagi menjelaskan isu itu, Renaissance Kuala Lumpur berkata, sebagai sebuah hotel antarabangsa, ia mempunyai kakitangan dari segala peringkat masyarakat dan pihak pengurusan menghormati kepercayaan, agama dan tradisi setiap individu.

Hak Muslim: Bekas suami berhak lawat anak

BH-23/2/2006

SAYA bercerai dengan suami di Mahkamah Syariah Teluk Intan, Perak. Saya juga mendapat perintah hak jagaan dua anak yang berumur tiga dan enam tahun. Setelah bercerai saya memohon kerja dan ditawarkan bekerja kilang di Shah Alam, Selangor.

Saya membawa anak bersama. Apa yang merisaukan saya ialah bekas suami kata saya telah hilang hak penjagaan anak kerana membawa mereka ke Shah Alam. Adakah ini benar? Bagaimana saya hendak meninggalkan anak di Perak, sedangkan saya bekerja di Shah Alam?

ALINA,
Shah Alam, Selangor.


Ibu adalah orang paling layak bagi menjaga anak kecilnya dalam masa masih dalam perkahwinan dan selepas perkahwinannya dibubarkan.

Jika ibu itu hilang kelayakan mengikut hukum syarak untuk menjaga anak kecilnya, maka hak itu akan berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaannya iaitu:

  • Nenek sebelah ibu hingga ke atas.
  • Bapa.
  • Nenek sebelah bapa hingga ke atas.
  • Kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  • Kakak atau adik perempuan seibu.
  • Kakak atau adik perempuan sebapa.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa.
  • Emak saudara sebelah ibu.
  • Emak saudara sebelah bapa.
  • Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari.

    Namun, kebajikan kanak-kanak itu hendaklah tidak terjejas apabila mahkamah memerintahkan hak penjagaannya.

    Bagi mendapat hak jagaan kanak-kanak beberapa kelayakan perlu dipenuhi iaitu:

  • Penjaga adalah seorang Islam.
  • Penjaga adalah sempurna akal.
  • Penjaga berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.
  • Penjaga berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  • Penjaga tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak dan jasmani.

    Hak jagaan ini akan gugur sekiranya seseorang perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu, yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

    Tetapi, hak untuk penjagaan itu akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.

    Hak jagaan ini juga akan hilang sekiranya perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka. Atau jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu. Ia kecuali seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.

    Hak jagaan ini juga akan gugur sekiranya perempuan itu murtad atau mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

    Berbalik kepada persoalan puan, sekiranya puan berpindah untuk menghalang bekas suami menjalankan pengawasan yang perlu ke atas anak, maka hak jagaan puan akan gugur.

    Namun daripada apa yang puan nyatakan, tujuan berpindah ke Shah Alam atas alasan mencari nafkah, maka hak puan tidak gugur.

    Bagaimanapun, puan dinasihatkan supaya memberitahu di mana puan dan anak tinggal kepada bekas suami. Hal ini supaya bekas suami dapat melawat anak.

    Hubungan di antara anak dengan bapa mereka tidak akan putus walaupun puan dan bekas suami telah bercerai. Memutuskan silaturahim adalah dosa dan amat dibenci oleh Allah.

    Puan tidak perlu meninggalkan anak di Perak semata-mata risaukan kehilangan hak jagaan anak.

    Puan boleh membawa anak ke Shah Alam dan tinggal bersama puan. Puan juga hendaklah bekerjasama memberi hak lawatan kepada bekas suami untuk melawat anak seperti yang diperintahkan mahkamah, melainkan ada sebab lain yang boleh menjejaskan kebajikan anak.

    Sekiranya ada sebab yang boleh menjejaskan kebajikan anak, puan hendaklah pergi kembali ke mahkamah untuk mengubah perintah yang telah diberikan berdasarkan ada perubahan matan kepada perintah yang telah diberikan dulu.

    Puan tidak boleh hanya mengubah perintah itu mengikut suka puan, tetapi hendaklah mendapatkan pengesahan daripada mahkamah terlebih dulu.

  • Artikel ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my




  • ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Surat Dari MAI Narathiwat Dua Minggu Lagi-Isu Noraidah

    BH-23/2/2006

    MELAKA: Surat pengesahan status perkahwinan ibu bapa gadis yang ditangguhkan majlis pernikahannya, Noraidah Yusuf, 28, dijangka diperoleh kira-kira dua minggu lagi.

    Pegawai Tadbir Agama Alor Gajah, Kamarul Saman Yaacub, berkata beliau sudah dimaklumkan Majlis Agama Islam Narathiwat (Main) mengenai perkara itu.

    �Surat itu dikirim dari Bangkok sebab itu mengambil masa agak lama. Sebaik memperoleh surat, kita akan memaklumkan segera kepada bakal pengantin.

    �Apa pun jawapan surat berkenaan Noraidah dan Mohd Aizam Faizal boleh diijabkabulkan,� katanya, semalam.

    Sebelum ini akhbar melaporkan Noraidah boleh dinikahkan dengan pasangannya menggunakan wali hakim jika Main gagal mengesahkan salinan sijil penikahan ibu bapa Noraidah.

    Bapa Noraidah, Yusuf Mohd, 64, dan ibunya, Halijah Awang, 62, berkahwin di Narathiwat 28 tahun lalu dan dipercayai tidak mendaftarkan perkahwinan itu dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim).


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Mahkamah Dengar Merit Kes Pengikut Ayah Pin

    Mahkamah dengar merit kes pengikut Ayah Pin

    BH-23/2/2006

    PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, semalam memutuskan mendengar merit kes seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi mencabar status tiga peruntukan undang-undang Islam Negeri Terengganu dari segi Perlembagaan.

    Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff dan Datuk Richard Malanjun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Sulaiman Takrib.

    Sulaiman, 57, memohon kebenaran memulakan prosiding mendapatkan perisytiharan Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001, Seksyen 10 dan Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (SCOT) tidak sah dan batal.

    Beliau memutuskan mendengar merit kes itu pada 5 Mac ini.

    Pada Ogos tahun lalu, Sulaiman bersama 44 pengikut kumpulan Ayah Pin dituduh menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama kerana tindakan mereka menyertai ajaran itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 pagi kerana didapati berada di kawasan kediaman Ayah Pin atau Arifin Mohamad, 65, di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada 20 Julai tahun lalu.

    Sulaiman dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

    Dia juga dituduh memiliki cakera padat video bertentangan syariah mengikut Seksyen 14 (1B) enakmen sama dan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.




    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Wanita Dakwa Majikan Tak Benar Pakai Tudung Ketika Bekerja

    Wanita dakwa majikan tak benar pakai tudung ketika bekerja

    BH-23/2/2006

    KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara, mendakwa kesal dengan tindakan majikannya yang tidak membenarkannya memakai tudung ketika bekerja.

    Habsah Jaafar, Pengarah Akaun (Pengarah Jualan) bagi sektor kerajaan dan diplomatik hotel itu mendakwa dia diberi pilihan untuk menanggalkan tudung semasa bertugas atau berhenti kerja jika enggan berbuat demikian.

    �Saya diberi pilihan itu sekembali daripada menunaikan haji bulan lalu,� katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda Umno di sini, semalam.

    Habsah mendakwa, walaupun masih bekerja di hotel berkenaan, dia tidak dibenarkan datang bekerja kerana bertudung.

    �Bagaimana saya mahu bekerja jika tidak dibenarkan datang kerana bertudung?,� katanya sambil mendakwa surat tawaran kerja yang diterimanya tidak menyatakan bahawa kakitangan hotel tidak dibenarkan bertudung ketika bekerja.

    Selain itu, dia turut mendakwa menghadapi masalah mendapatkan cuti untuk mengerjakan haji dan permohonannya hanya diluluskan pada saat akhir.

    Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda Umno, Datuk Subahan Kamal, berkata kerajaan perlu mempertahankan hak wanita Islam daripada diketepikan oleh majikan, khususnya di syarikat milik asing.

    Katanya, dasar melarang wanita Islam daripada memakai tudung semasa berkerja sepatutnya tidak lagi diamalkan mana-mana majikan di negara Islam seperti Malaysia.

    �Pemuda Umno sedih dan kecewa kerana orang asing yang datang ke sini mencari rezeki masih membawa budaya memperlekeh agama Islam,� katanya.

    Berikutan itu, Pemuda Umno menyerahkan memorandum berhubung perkara terbabit kepada Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.

    �Masalah ini nampak kecil tetapi sebenarnya ia bukan begitu kerana ia membabitkan isu kaum dan agama,� katanya.

    Sementara itu, jurucakap hotel berkenaan ketika dihubungi menafikan dakwaan Habsah dan menyatakan pihak pengurusan tidak pernah melarang pekerja wanita daripada memakai tudung ketika bertugas.

    �Isunya bukan soal tudung. Habsah meletakkan jawatan kerana sebab lain,� katanya tetapi enggan mengulas lanjut.

    Beliau berkata, pengurusan hotel masih menganggap Habsah sebagai kakitangannya kerana tiada surat pelepasan dikeluarkan terhadap surat peletakan jawatan beliau bertarikh 17 Februari lalu.

    �Bagi kami beliau masih bekerja dengan kami. Beliau boleh kembali bertugas dan memakai tudung. Kami juga tidak berdendam sebaliknya menghargai beliau sebagai kakitangan yang berpengalaman,� katanya.




    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Syor Tubuh Suruhanjaya Lantik Hakim

    Syor tubuh suruhanjaya lantik hakim

    BH-23/2/2006

    KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman berfungsi melantik hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berbanding pelantikan terus oleh Ketua Hakim Negara sekarang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata penubuhan suruhanjaya itu juga bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak pelantikan hakim dibuat berdasarkan pilih kasih Ketua Hakim Negara.

    Beliau berkata, selain membuktikan ketelusan pentadbiran kerajaan, ia juga bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan sistem kehakiman negara berasaskan kredibiliti hakim terbabit, bukannya berasaskan persepsi hanya mereka yang dikenali rapat Ketua Hakim Negara dipilih memegang jawatan penting itu.

    �Lima atau enam orang yang tidak semestinya hakim dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menganggotai suruhanjaya itu. Mereka (anggota suruhanjaya) inilah yang melantik hakim selepas ini,� katanya.

    Beliau berkata demikian selepas berdialog dengan Majlis Peguam di pejabat Majlis Peguam, di sini, semalam. Turut hadir, Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh. Ia bertujuan membolehkan Mohamed Nazri mendengar masalah peguam.

    Mohamed Nazri juga berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Hakim Negara, Tun Syeikh Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim bagi merangka kaedah menambah hakim Mahkamah Tinggi untuk mengatasi masalah kes tertunggak.

    �Selepas saya diberikan amanah oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri) mengambil alih hal-ehwal undang-undang minggu lalu, saya berbincang dengan Ketua Hakim Negara dan beliau setuju kerana ada kes tidak selesai hingga bertahun-tahun.

    �Bagi menambah pegawai mahkamah, Majistret dan hakim Mahkamah Sesyen, saya akan berbincang dengan Peguam Negara,� katanya.

    Mengenai permohonan Majlis Peguam supaya Akta Profesyen Perundangan 1976 dipinda, beliau berkata, ia akan dikaji untuk dipinda Dewan Rakyat.

    Ditanya mengenai pertemuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Amerika Syarikat, George Bush pada 2002 membabitkan pembayaran kira-kira AS$1.2 juta (RM4.5 juta), Mohamed Nazri berkata, ia tidak membabitkan wang kerajaan.


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Maut Terbakar Selepas Gaduh Dengan Isteri



    BERSELERAK: Keadaan rumah Abd Rahmad di
    Kampung Seri Jerlai, Sungai Dua.

    GEMENCHEH: Seorang penoreh maut disambar api daripada tilam yang dibakarnya selepas bertengkar dengan isterinya di rumah mereka di Kampung Seri Jerlai, Sungai Dua dekat sini, Sabtu lalu.

    Abd Rahmad Zali, 37, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, jam 12.30 tengah hari semalam, selepas lima hari koma akibat melecur 50 peratus badannya.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron, berkata polis menahan isteri Abd Rahmad dan direman sehingga 1 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi Sabtu lalu, Abd Rahmad dikatakan membakar tilam di rumahnya selepas bergaduh dengan isterinya berusia 27 tahun.

    Sebelum itu, pasangan suami isteri itu dikatakan cabar mencabar supaya membakar rumah mereka yang dibina melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    Dalam pertengkaran itu, Abd Rahmad dikatakan menyuruh anak lelakinya berusia 11 tahun mengambil botol berisi petrol dari bakul motosikalnya di luar rumah.

    Anaknya bagaimanapun menyerahkan petrol itu kepada ibunya dan ketika itu Abd Rahmad tersepak botol berkenaan menyebabkan minyak tercurah ke badan serta tilam yang terbakar dan api terus menyambarnya.

    Abd Rahmad melecur dari paras pusat ke atas dan dibawa jiran ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

    Pasangan itu mempunyai lima anak berusia dua hingga 13 tahun yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.




    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    NST diberi tiga hari tunjuk sebab

    BH-23/2/2006

    KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) diberi tempoh tiga hari mulai semalam untuk mengemukakan tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar terbitannya, New Straits Times (NST), berhubung penyiaran lakaran kartun yang mengaitkan isu karikatur mempersenda Nabi Muhammad SAW.

    Perkara itu dinyatakan dalam surat ditandatangani Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Abdul Rahim Mohd Radzi, yang diserahkan kepada Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, di pejabat KKDN, Putrajaya, semalam.

    Sebelum itu, Hishamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar, dipanggil memberi penjelasan kepada Ketua Setiausaha KKDN, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof.

    Kartun itu yang disiarkan NST Isnin lalu dan sekali lagi semalam, tidak mengandungi karikatur Rasulullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis bertulis Caricatures of Muhammad While You Wait.

    Berikutan itu, beberapa badan bukan kerajaan dan Pas membuat laporan polis mengenai penyiaran kartun itu.

    Sebelum ini, permit penerbitan akhbar tertua di Sarawak, Sarawak Tribune, digantung serta merta pada 9 Februari lalu kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW yang disiarkan sebuah akhbar Denmark sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

    Penerbitan edisi petang akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily, turut digantung dua minggu mulai 16 Februari kerana menerbitkan gambar orang membaca akhbar yang menunjukkan karikatur itu.

    Di JITRA, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kementerian itu sudah memanggil Ketua Pengarang serta pengarang akhbar berkenaan semalam bagi menjelaskan isu penyiaran kartun itu.

    Beliau berkata, hasil siasatan terhadap penjelasan itu akan diserahkan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik saja Perdana Menteri pulang dari Perth, Australia.

    "Keputusan sama ada permit akhbar NST akan digantung atau ditarik balik terpulang kepada penjelasan ketua pengarang serta pengarang akhbar berkenaan dan laporan yang dibuat pegawai kami,� katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan kepada pesawah mangsa banjir di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) 2 Jitra.


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Friday, February 17, 2006

    Mahkamah Syariah: Sesal Nikah Di Luar Negara


    SHAH ALAM: Seorang wanita menangis ketika merayu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, supaya diringankan hukuman berikutan menyesal berkahwin di luar negara tanpa memaklumkan kepada pejabat Pendaftar, Nikah dan Rujuk negeri.

    Maizurah Ibrahim, 39, dari Sungai Buloh, di sini, dituduh melakukan kesalahan bernikah di luar kariah pemastautin dan didakwa mengikut Seksyen 40 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 1984 (Pindaan 1988).

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda dan penjara atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Mohd Kamal Ismail.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada 1 Jun 2001, kira-kira jam 3 petang, di sebuah pusat agama Islam di England, didapati bernikah atau berbuat sesuatu yang berupa upacara pernikahan dengan Martin William, 49.

    Tertuduh menjalani pernikahan itu tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis untuk bernikah di luar kariah masjid tempat bermastautin.

    Menjawab soalan Hakim Syarie Abu Bakar Daud, tertuduh mengaku bersalah dan faham pertuduhan serta bersetuju dengan fakta kes dan merayu diringankan hukuman kerana insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lalgi.

    Mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman denda RM900 atau dua bulan penjara.

    HAKIM: Faham dengan pertuduhan yang dibacakan?

    MAIZURAH: Faham Yang Arif.

    HAKIM: Mengaku bersalah?

    MAIZURAH: Saya mengaku salah.

    HAKIM: Faham akibat daripada perlakuan bersalah itu?

    MAIZURAH: Faham Yang Arif.

    HAKIM: Masih mahu mengaku bersalah walaupun tahu akibat daripada pengakuan itu?

    MAIZURAH: Saya tiada pilihan Yang Arif.

    HAKIM: Kenapa pula tiada, kamu ada hak untuk mengaku bersalah atau tidak, kamu mengaku bersalah.

    MAIZURAH: Saya mengaku Yang Arif.

    HAKIM: Ada sesiapa memaksa atau memujuk kamu untuk mengaku bersalah?

    MAIZURAH: Tiada Yang Arif

    HAKIM: Sebelum kamu dijatuhkan hukuman, ada apa-apa rayuan?

    MAIZURAH: Saya merayu hukuman ringan dijatuhkan memandangkan sudah menyesal berkahwin di luar negara tanpa kebenaran pendaftar nikah, rujuk dan cerai negeri Selangor.


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Prinsip mengangkat martabat wanita

    Oleh: A. MOHD. RAHIMIN SIHAT
    UM-17/2/2006
    Dalam membicarakan konteks pembangunan sesebuah negara, peranan kaum wanita begitu sinonim dan tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja khususnya bagi seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri.

    Di Malaysia, golongan wanita terus diberi kepercayaan untuk bersama-sama menganggotai barisan pentadbiran negara. Peranan dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik, kehakiman, perundangan, kewangan, kedoktoran dan sebagainya mendapat pengiktirafan dan sanjungan.

    Malah kerajaan sendiri telah mengkhususkan satu kementerian - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipimpin oleh wanita.

    Sungguhpun pihak Barat menimbulkan polemik dengan mendakwa bahawa Islam tidak memberi perhatian dan kedudukan yang wajar kepada wanita namun kaum Hawa di negara ini jauh lebih baik. Bahkan ada undang-undang yang menjamin hak-hak mereka dan kesatuan yang menguruskannya.

    Akhir-akhir ini terdapat kecenderungan daripada pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menjaja dan memperlihatkan imej mereka sebagai NGO Islam yang mendakwa membela dan memperjuangkan hak-hak wanita dan isu feminisme di negara ini.

    Beberapa NGO tertentu seolah-olah mempertikaikan kesucian undang-undang syariah dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, dengan memberi gambaran kononnya akta itu zalim dan menindas golongan wanita.

    Persoalannya, adakah benar dakwaan kumpulan ini? Adakah suara dan bantahan mereka ini berlandaskan hukum dan prinsip syariah Islam?

    Adakah kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan wanita belum memadai?

    Dan apakah kerajaan sekarang yang bertunjangkan sepuluh prinsip Islam Hadhari menindas dan mengamalkan diskriminasi terhadap wanita?

    Kita amat khuatir, dalam kebebasan kumpulan ini yang semakin aktif dan lantang menyuarakan pandangan dan bantahan terhadap isu-isu wanita, mereka lupa dan tergelincir daripada hukum-hukum dan prinsip yang digariskan oleh syarak.

    Ini kerana, isu-isu yang cuba diperdebatkan dan dibawa oleh kumpulan ini banyak berkisar dan bersangkutan dengan undang-undang dan hukum-hukum syarak. Dan apabila undang-undang dan hukum syarak ini diperlecehkan dan dipertikaikan, bagaimana masyarakat dan penganut agama lain boleh menghormati agama Islam keseluruhannya?

    Oleh demikian, sepatutnya segala permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan bijaksana dan secara hikmah. Dakwaan yang tidak berasas perlu disangkal dan diperbetulkan dan pihak-pihak yang berautoriti perlu memberikan penjelasan dan penerangan melalui sesi perbincangan agar segala kekeliruan dan kekaburan dapat diselesaikan secara harmoni.

    Di sebuah negara kecil seperti Malaysia, apa yang diharapkan ialah kedudukan wanita yang kurang diberi perhatian kepada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia seperti sekarang akan terus terpelihara. Semua ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada golongan wanita Islam sendiri.

    Walaupun peredaran zaman terus berlalu, peranan wanita seperti yang dipaparkan oleh Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aishah dan ramai lagi Ummul Mukminin dan sahabiah perlu diteliti kisah hidup mereka untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang terlalu mencabar.

    Sifat wanita yang dijadikan Allah dengan penuh kelembutan dan kekuatan dalaman perlu dicernakan melalui pendekatan diri kepada Allah dengan penuh ketakwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi cabaran era globalisasi ini.

    Lantaran itu, wanita Islam perlu bijak berperanan dalam hidup bermasyarakat dan mengikis tanggapan sesetengah pihak bahawa golongan ini dikatakan sebagai penyumbang kepada keruntuhan akhlak selain menjadi liabiliti yang menghalang proses pembentukan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

    Perjuangan wanita perlu didasari dengan pegangan agama kerana agamalah yang telah meletakkan mereka pada darjat yang tinggi lagi mulia dan prinsip syariah itu mesti berada di tempat pertama dalam senarai keutamaan.

    Bantahan awal kes menghina mahkamah16 Jun

    KUALA LUMPUR 16 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menetapkan 16 Jun ini untuk mendengar bantahan awal pihak responden yang didakwa oleh salah seorang anak Allahyarham Sheikh Dawood atau lebih dikenali sebagai A.S. Dawood telah menghina perintah mahkamah yang dikeluarkan pada satu prosiding November tahun lalu.

    Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid memutuskan demikian selepas dimaklumkan oleh peguam syarie, Fakhrul Zaini bahawa pihaknya akan menghantar notis bantahan awal terhadap afidavit yang difailkan oleh plaintif, Abdul Ravuff A.S. Dawood pada 21 November 2005.

    Fakhrul yang mewakili Abdul Rahiman A.S. Dawood, Mohamed Ibrahim A.S. Dawood dan Mohamed A.S. Dawood turut memberitahu bahawa anak guamnya akan membuat satu laporan polis terhadap plaintif mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan satu kenyataan palsu sebagaimana terkandung dalam perenggan 4(i) afidavit berkenaan.

    Dalam afidavitnya, Abdul Ravuff yang juga plaintif pada perbicaraan tuntutan harta pusaka A.S. Dawood berjumlah RM1 bilion menyatakan bahawa pihak responden telah dengan sengaja menghalang keadilan, tidak menghormati dan tidak mempedulikan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan pada prosiding 15 November 2005.

    Penghakiman Nyonya Tahir - MTS Negei Sembilan


    DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN DALAM NEGERI SEMBILAN
    PERMOHONAN EX PARTE :  PENGISYTIHARAN STATUS ISLAM NO. KES : 05100-099-0021-2006

    PERINTAH DIPOHON OLEH: MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN PEGAWAI AGAMA ISLAM DAERAH TAMPIN

    DI HADAPAN YANG ARIF, TUAN MOHD SHUKOR BIN SABUDIN, PMC. HAKIM, MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, NEGERI SEMBILAN

    ATAS TUNTUTAN Plaintif, tuntutan ini dipanggil untuk perbicaraan di dalam Mahkamah Terbuka, dalam kehadiran Plaintif bersama Peguam Syarie masing-masing. MAKA PADA HARI INI YANG ARIF HAKIM TELAH MEMBUAT PENGHAKIMAN SEPERTI BERIKUT :-

    Keputusan :

    Di hadapan Mahkamah ini adalah suatu permohonan se pihak ( ex parte ) di antara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) serta Pegawai Agama Islam Daerah Tampin berhubung status dan ketentuan agama Islam Nyonya binti Tahir yang telah meninggal dunia pada tarikh
    18 Januari 2006 kerana sakit tua.

    Status agama Nyonya disedari di Balai Polis Tampin,apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematiannya. Ini adalah kerana dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan kebiasaannya beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha.

    Bertindak di atas kejadian ini pihak Plaintif-plaintif , melalu peguam syarie mereka, Puan Siti Harlina binti Shahran, dari Tetuan Nizam Harlina & Co, telah memfailkan permohonan untuk menentukan status keIslaman si mati, Nyonya binti Tahir.

    Mahkamah, sebelum memberikan apa-apa keputusan bagi permohonan ini harus meneliti dan membuat beberapa pemerhatian dan siasatan berhubung dengan beberapa perkara dan isu penting, yang berkaitan dengannya.

    Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah :

    Perkara utama yang harus diberikan perhatian oleh Mahkamah ini adalah, adakah Mahkamah Tinggi Syariah Seremban ini mempunyai bidangkuasanya bagi memutuskan isu dan perkara yang dipohon

    3 tersebut dan apakah si mati ini tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah ini ?

    Bagi menjawab persoalan ini, sayugia Mahkamah ini merujuk kepada seksyen 61 1 , dengan jelas menyebutkan bahawa :

    (1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

    (2) Walau apa pun seksyen (1) , Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.

    (3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

    (a) dalam bidangkuasa jenayah, membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983 atau undang-undang bertulis lain yang memberi kepada Mahkamah Syariah bidangkuasa untuk membicarakan sebarang kesalahan, dan boleh mengenakan sebarang hukuman yang diperuntukkan di dalamnya; dan

    (b) dalam bidangkuasa Mal, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan dan prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan dan prosiding itu adalah berhubungan dengan-

    (i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, penceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman ( faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dengan isteri;

    (ii) sebarang pelupusan atau tuntutan kepada harta yang wujud daripada perkara-perkara yang disebut dalam subperenggan (i);

    (iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan (hadhanah) atau jagaan budak-budak;

    (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

    (v) wasiat atau hibah semasa maradh-al maut;

    (vi) hibah semasa hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilai wang oleh seseorang orang Islam;

    (vii) wakaf atau nazr;

    (viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat dan tidak
    berwasiat ;

    (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang
    itu berhak;

    (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

    (xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

    (xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidangkuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

    Apakah si mati Nyonya binti Tahir, tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah ini ?

    Mahkamah ini telah dibekalkan dan dikemukakan beberapa dokumen, sepertimana berikut :
    a. Salinan Kad Pengenalan Nyonya binti Tahir, ( ditandakan sebagai P1 )
    b. Salinan Surat dari Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Negeri Melaka,(ditandakan sebagai P2 )
    c. Salinan Borang Permintaan Kad Pengenalan Baharu ( ditandakan sebagai P3 )
    d. Surat asal daripada Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Kadi Alur Gajah (ditandakan sebagai P4)

    Mahkamah ini amat berpuashati bahawa Nyonya binti Tahir , No. Kad Pengenalan 180425-04-5054, ( 0203418 ) adalah beralamat di No. 3714 Taman Indah 73000 Tampin Negeri Sembilan. Melalui Ekshibit P2, dinyatakan bahawa di perenggan nombor 3, maklumat Bangsa ialah MALAY ( dilampirkan salinan fotokopi Borang NR2A ( P3 ) ). Saya menyatakan bahawa dokumen-dokumen ini adalah secara jelas menjadi bukti utama bahawa Nyonya bin Tahir adalah seorang berbangsa Melayu, bermastautin dan menetap di Tampin, Negeri Sembilan.

    Saya seterusnya ingin menarik perhatian dengan pemakaian umum ‘common practise’ perkataan Melayu di sisi undang-undang perlembagaan negara kita. Disebutkan pada Perkara 160 2 “ Melayu ” ertinya seseorang yang menganut ugama Islam, lazimnya bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu. Mahkamah ini juga turut mengambil perhatian kepada Seksyen 5 3, yang menyebutkan :

    Jika bagi maksud Enakmen ini timbul apa-apa soal tentang sama ada seseorang itu orang Islam, soal itu hendaklah diputuskan mengikut kriterium reputasi am, tanpa membuat apa-apa percubaan untuk mempersoalkan keimanan, kepercayaan, kelakuan, perangai, watak, perbuatan atau kemungkiran orang itu.

    Berdasarkan kepada keadaan-keadaan di atas, tanpa syak lagi, saya memutuskan bahawa si mati , Nyonya binti Tahir, adalah seorang yang menganut agama Islam.

    Saya seterusnya juga berpeluang untuk membuat rujukan kepada kes Dalip Kaur dan Pegawai Polis Daerah, Bukit Mertajam4, Hakim Mahkamah Agung , Mohamed Yusoff Mohamed , telah berkata :

    “ Adalah jelas daripada kenyataan penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman bahawa keputusan mengenai persoalan-persoalan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau telah keluar daripada agama Islam sebelum mati, ialah persoalan yang melibatkan Hukum Syarak yang memerlukan penelitian serius dalam pentakrifan yang betul mengenai Hukum Syarak itu. Tanpa nas yang sah untuk menyokong hujah-hujah itu, adalah tidak mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada terdapat prasyarat sebelum seseorang itu menjadi Islam atau sekiranya si mati telah dibuktikan telah bersembahyang di kuil Sikh, maka ia sudah semestinyalah seorang murtad.

    Persoalan dalam kes ini, pada pandangan saya, tidak boleh ditentukan melalui penggunaan fakta secara mudah sebagaimana yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman semata-mata atas alasan kesahihan dan keberkaitan bukti mengikut Undang-undang Sivil. Isu yang begitu serius, pada pandangan saya, berkehendakkan perhatian oleh pakar juri yang berilmu dan berkelayakan di dalam Hukum Syarak.

    Melihat kepada keadaan ini, maka adalah mustahak supaya keputusan persoalan yang menjadi isu dalam kes ini berkehendakkan perhatian yang mendalam mengenai Hukum Syarak oleh pakar-pakar yang terlatih dan berkelayakan berbuat demikian. Forum yang layak untuk berbuat demikian ialah Mahkamah Syariah ” .

    Saya juga ingin menarik perhatian tentang kes, Majlis Agama Islam, Negeri Sembilan lwn. Hun Mun Meng 5 yang mempunyai persoalan yang serupa, yang mana diputuskan bahawa Majlis Agama Islam hendaklah menjalankan kuasanya menurut Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak ( Negeri Sembilan ) 1991, bagi menyelesaikan perkara akidah dan kepercayaan Cik Nurul Ain dan Mahkamah Tinggi Sivil tiada bidangkuasa untuk mendengar apa-apa perkara yang berada di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

    Selanjutnya, saya juga telah mengambil perhatian terhadap Perkara 121 (1A) 6 yang menyebutkan bahawa, Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah. Dengan perkataan lain, Perlembagaan Persekutuan ini dengan sendirinya telah menjelaskan pengasingan bidangkuasa kedua-dua sistem mahkamah itu dan ia mesti dipatuhi Oleh hal yang demikian , berdasarkan kepada keadaan-keadaan yang telah diterangkan di atas , saya memutuskan bahawa penentuan samada si mati ini , Nyonya binti Tahir, seorang Islam atau tidak semasa kematiannya, adalah tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah ini .

    Persoalan adakah si mati seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya ?

    Bagi memutuskan persoalan ini , saya harus merujuk kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah ini dan juga pandangan/pendapat ulama-ulama mengenai ehwal yang berkaitan dengannya.

    Mahkamah ini telah dibekalkan satu dokumen melalui Ekshibit bertanda P4 : Suatu dokumen yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986. Dokumen ini telah disahkan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Alur Gajah, Encik Kamarul Saman bin Yaacub : yang mana dokumen ini berbentuk suatu surat lapuran, menyebutkan bahawa :

    Bersekedudukan Dengan Lelaki Cina,
    NYONYA BT. TAHIR / CHIANG MENG.

    Merujuk perkara di atas, dengan hormatnya dimaklumkan bahawa saya telah menjalankan siasatan dan kedudukannya adalah seperti berikut:

    a). Seorang perempuan Melayu bernama Nyonya bt. Tahir k.p.0203418 Tarikh Lahir 1918, berumur 68 tahun. Sekarang tinggal di Kampung Ulu Sungai Buluh, Alor Gajah bersama lelaki Cina Chiang Meng sudah 50 tahun lamanya.

    b). Sejak dari kecil lagi dipelihara oleh neneknya ( tidak ingat nama ) bangsa Melayu berkahwin dengan Mualaf Cina keturunan Hailam. Ia tinggal bersama dengan datuknya ( Mualaf Cina ) sejak dari kecil lagi dengan mendapat asuhan dan didikan secara Cina. Emaknya bangsa melayu bernama Nior, telah meninggal.

    c). Berkahwin dengan lelaki Cina pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Suaminya bernama Chiang Meng KP 0203417, tarikh lahir 1909, mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin dengan lelaki Cina itu, ia hidup secara Cina, menyembah Tok Kong dan makan babi. Lelaki Cina itu tidak pernah memeluk Agama Islam. Hubungan mereka berdua suami isteri berkekalan hingga ke hari ini.

    (d) Nyonya bt. Tahir tidak ada niat hendak kembali kepada Islam dan telah membuat pengakuan akan terus hidup secara Cina dan jika mati mahu ditanam secara orang Cina. Kad Pengenalannya adalah nama Melayu Nyonya binti Tahir No.0203418.
    Pada perenggan 2 , dokumen itu menyebutkan :

    2. Pada pandangan zahirnya bahawa Nyonya bt. Tahir ini tidak akan kembali kepada Islam kerana ia telah lama hidup secara orang Cina dan sejak dari kecil lagi nia dibesarkan oleh datuknya mualaf Cina dengan cara hidup orang Cina dan terasing dari masyarakat Melayu. Sekarang ia tinggal dengan suaminya di tempat yang terpencil dan berjauhan dari masyarakat melayu.

    Di dalam rumahnya terdapat Tekong Cina dan ia mengaku bahawa ia menyembah tekong itu. Semua anak-anaknya berkahwin dengan orang Cina.

    Terdahulu daripada itu, pihak Peguam Plaintif-plaintif telah memohon untuk dipanggil beberapa saksi , yang terdiri daripada anakanak si mati, yang mana boleh membantu Mahkamah ini, dalam penentuan status si mati , ibu mereka. Mahkamah bersetuju untuk dikemukakan saksi-saksi ini.

    Anak lelaki bongsu si mati , Chiang Ah Fatt , No. Kad Pengenalan 660720-05-5477 telah memberikan keterangan bahawa , sejak mereka masih kecil lagi, ibu mereka adalah seorang pemelok agama Buddha. Si mati tidak pernah mengamal cara hidupnya sebagai seorang Islam, tetapi mengamalkan cara hidup agama Buddha dan bersembahyang secara agama Buddha. Saksi ini hadhir menyatakan ke Mahkamah ini bahawa mereka menuntut mayat ibunya agar boleh disemadikan dan dikebumikan mengikut upacara pengkebumian Buddha.

    Mahkamah ini turut dikemukakan dengan suatu affidavit yang diikrarkan oleh Encik Chiang Ah Fatt , di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah Law Keong Chin di Seremban. Saya meneliti affidavit ini dan saya mendapati bahawa ianya tidak memenuhi kehendak seksyen7 dan seksyen 112, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Negeri Sembilan ) 2003 , kerana tidak dibuat di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar.

    Walau bagaimanapun, tentang dokumen ini, saya berpendapat saya wajar mengambil tahu kandungannya ‘ take cognisance ’ di samping keterangan secara lisan saksi ini. Di dalamnya terdapat beberapa dokumen awam , seksyen 57 8, , yang mengandungi tindakan atau rekod tindakan - seperti ekshibit P4, surat Akuan si mati dan beberapa dokumen persendirian, seksyen 58 9, terdiri daripada beberapa keping gambar si mati bersama keluarga.

    Melalui saksi ini , beberapa keping gambar telah dikemukakan :

    1. Gambar-gambar perkahwinan kakak-kakaknya ( saksi ) , gambar perkahwinan saksi, hadir bersama ibu ( si mati ).

    2. Gambar-gambar keluarga, di meja minum, terdapat dua botol minuman ( dipercayai arak ) di atas meja.

    3. Gambar altar di dalam rumah, beralamat di No. 3714 Taman Indah 73000 Tampin Negeri Sembilan, yang diduduki oleh saksi bersama ibu mereka ( si mati ). Kelihatan seperti tempat sembahyang cina buddha dan colok.

    4. Gambar keluarga di hadapan hidangan meja makan, turut bersama gambar ibu saksi ( si mati ).

    5. 2 keping gambar di kawasan perkuburan bapa saksi. Kelihatan satu lubang kubur besar yang telah siap digali ( reserved ) untuk dikebumikan ibu saksi ( si mati ). Saksi ini memberitahui bahawa ibunya berpesan bahawa apabila ia mati kelak hendaklah dikebumikan secara agama Buddha, disemadikan di sebelah kubur suaminya, yang telah lama disediakan.

    Saksi seterusnya ditunjukkan kepada dokumen P4 dan mengakui bahawa salinan surat ini adalah di dalam simpanan ibu mereka. Saksi seterusnya diambil perhatiannya kepada suatu dokumen bertajuk Surat Akuan . Dokumen ini adalah di dalam simpanan ibu mereka dan dokumen itu menyatakan :

    Saya , Nyonya binti Tahir ( No. K.P. 0203418 ) yang cukup umur dan beralamat di Ulu Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka dengan sesungguhnya mengesahkan dan menyatakan seperti berikut :-

    1. Saya adalah seorang perempuan Melayu dan mempunyai nama Melayu seperti yang tercatit di dalam Kad Pengenalan dan di lahirkan didalam keluarga yang beragama Islam.

    2. Setelah kematian ibu saya, saya dipelihara oleh nenek yang berbangsa Melayu berkahwin dengan mualaf Cina. Semenjak dari kecil lagi saya telah dipelihara mengikut asuhan dan didikan secara Cina.

    3. Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng, kini ( telah meninggal ) pada tahun 1936 dan hasil dari perkahwinan saya telah melahirkan 13 orang anak yang didaftarkan mengikut nama Cina dan hidup secara orang Cina.

    4. Suami saya tidak pernah memeluk agama Islam dan selepas berkahwin saya juga telah hidup secara orang Cina.

    5. Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.

    6. Saya membuat akuan ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut undang-undang Surat Akuan 1960. ( Dokumen bertarikh 19 Julai 1991, bercap ibu jari kanan Nyonya bte Tahir , di hadapan Chong Yong Mok, Pesuruhjaya Sumpah Melaka ( no.578 ).

    Seterusnya saksi menyatakan bahawa tempat kubur itu mendapat persetujuan daripada ibunya dahulu. Ibunya tidak mengamalkan apa-apa amalan yang merujuk kepada agama Islam.

    Ibunya juga mempunyai nama cinanya iaitu Wong Ah Kin, tetapi tidak sempat untuk didaftarkan walaupun pernah cuba untuk berbuat demikian. Saksi memberitahu bahawa beliau tinggal bersama ibunya sehinggalah nafas-nafas terakhir ibunya. Saksi ini mengulangi lagi bahawa mereka menuntut mayat ibunya untuk dikebumikan secara
    tradisi Cina ( Buddha ) kerana ibunya memang seorang Cina ( Buddha ) dan mengamalkan cara hidup sebagai seorang Buddha.

    Mahkamah seterusnya mendengar seorang lagi anak perempuan si mati Chiang Kwai Ying, 630126 05 5282, beralamat di 5496, Taman Gunung Emas, 73000 Tampin. Saksi menyatakan bahawa ia hadir untuk menyatakan agar Mahkamah ini membenarkan mereka mengebumikan mayat ibu mereka. Saksi menyatakan bahawa ibu mereka semasa hidupnya pernah menyatakan tidak mahu kembali kepada agama Islam sepertimana yang dinyatakan di dalam surat Akuan ibu mereka. Ibu ada wasiat agar dikebumikan ikut adat Cina. Ibunya tidak mengamalkan agama lain kecuali Buddha sahaja.

    Saksi mengakui bahawa ibunya ada nama cina, Wong Ah Kin semenjak tahun 1986 lagi dan pernah ke Pejabat Pendaftaran untuk tukar nama tetapi tidak dibenarkan. Saksi mengharapkan agar dapat menuntut mayat ibunya supaya dapat dikebumikan bersama / bersebelahan kubur ayah mereka.

    Pada peringkat ini , dalam menerimapakai keterangan-keterangan saksi bukan Islam ini, Mahkamah suka mengambil perhatian dan merujuk kepada Bahagian III, Pengemukaan dan Kesan Keterangan, Bab 2, SAKSI, seksyen 83 10 :

    (1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah berwibawa untuk memberikan syahadah atau baiyyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

    (2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa memberikan baiyyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

    Huraian - Baiyyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima, jika dikehendaki.

    Berdasarkan kepada seksyen ini, Mahkamah Tinggi Syariah ini adalah mempunyai kuasa budibicaranya untuk mendengar keterangan secara baiyyinah daripada anak-anak ini, walaupun bukan Islam, berkenaan kehidupan dan laku perbuatan ibu mereka, jika apa-apa
    pernyataan mereka itu boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

    Suatu cara pembuktian yang di sebutkan di dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah , ialah qarinah 11 yang diertikan sebagai fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi dengan apa-apa cara yang disebut dalam Enakmen ini. Fakta yang, walaupun tidak menjadi persoalan, sebegitu berkaitan dengan suatu fakta persoalan sehingga menjadi sebahagian daripada transaksi yang sama ialah qarinah. Saya memahamkan dengan perkataan mudah , bahawa qarinah ini adalah apa-apa perkara , sebarang perkara, yang boleh menerangkan perihal keadaan sesuatu itu dan menjadi dalil atau tanda ,ujud atau tidaknya sesuatu itu.

    Saya suka menarik perhatian terhadap beberapa dokumen yang dikemukakan oleh saksi ini, berkaitan dengan si mati, khasnya Surat Akuan ibu mereka, bertarikh 19 Julai 1991 adalah merupakan suatu qarinah bagi kes ini. Dokumen berupa gambar-gambar, pernyataan-pernyataan dan keterangan secara baiyyinah anak-anak ini , semuanya boleh membantu Mahkamah ini dalam memberikan keputusannya , yang mana ianya adalah termasuk di dalam konteks qarinah. Dokumen yang dikemukakan, yang berupa rekod lapuran oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986, juga merupakan suatu qarinah.

    Selanjutnya , saya berpendapat dan saya memutuskan bahawa semua baiyyinah ( keterangan ) ini dan semua qarinah ini wajar saya terima bagi saya membuat keputusan nanti. Saya mendapati bahawa semuanya ini adalah konsisten di antara satu dengan yang lain dan dapat membantu saya untuk mencari penyelesaian bagi kes ini.

    Seterusnya saya membuat beberapa penelitian terhadap isu utama bagi kes ini. Beberapa rujukan telah dibuat untuk menghuraikan perkara-perkara yang berkaitan dengan persoalan yang berkaitan dengan Akidah, Kepercayaan, Iman dan Kufur serta Murtad ;
    khasnya tentang pengakuan oleh si mati :

    Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.

    dan juga perkara-perkara seperti yang diceritakan oleh anak-anak si mati , altar yang terdapat di dalam rumah si mati, gambar-gambar yang telah dikemukakan, gambar-gambar kubur dan sebagainya.

    Bagaimana Boleh Murtad ?.

    Makna riddah ( murtad ) pada bahasa ialah kembali daripada sesuatu kepada yang lain. Ia adalah sekeji-keji kekufuran dan mendapat seberat-berat hukuman.

    Pada pengertian Syarak, riddah ialah kembali daripada agama Islam kepada kekufuran, samada dengan niat atau perbuatan yang menunjukkan kepada kekufuran atau dengan perkataan yang mempersendakan, kedegilan ataupun i’tiqadDengan yang demikian, orang murtad ialah orang yang kembali daripada agama Islam kepada kekufuran. Umpamanya orang yang mengingkari kewujudan tuhan Yang Maha Pencipta, menafikan para Rasul, membohongi seseorang Rasul , menghalalkan perkara yang haram secara ijma’ seperti zina, liwat, minum arak dan melakukan kezaliman, atau mengharamkan perkara yang halal secara ijma’ seperti jualbeli dan nikah kahwin; atau menafikan perkara yang wajib yang telah disepakati ijma’ ulama ke atasnya, seperti ia menafikan satu rakaat daripada solat fardu lima waktu; atau mengiktikadkan wajib perkara yang tidak wajib secara ijma’, seperti tambah satu rakaat daripada solat fardu yang lima; atau wajib berpuasa sebahagian daripada bulan Syawal, atau berazam untuk menjadi kafir pada esok
    hari, atau berbolak balik untuk menjadi kafir.

    Contoh perbuatan yang boleh menyebabkan kekafiran ialah meletakkan al Quran atau buku hadis Nabawi ke atas perkara-perkara yang kotor atau keji, sujud / menyembah kepada berhala ataupun matahari.

    Para ulama’ telah menetapkan unsur-unsur penting mengenai kesalahan ini. Antaranya ialah dengan keluarnya seseorang itu daripada Islam, iaitu dengan tidak lagi perpegang atau mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Islam. Seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad dengan salah satu daripada tiga
    cara, iaitu melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad ( kepercayan di dalam hati ).

    Sebagai tambahan untuk memperjelaskan lagi keadaan ini, seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah Ι seperti menyembah berhala ( patung ), matahari, bulan bintang dan sebagainya.

    Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam dengan sengaja dan menganggapnya sebagai halal dengan tujuan merendah-rendahkan dan menghina segala peraturan yang dibuat oleh Islam.

    Demikian juga jika ia meninggalkan perintah-perintah yang diwajibkan, di samping mengatakan perintah-perintah itu tidak diwajibkan ke atas mereka. Contohnya sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar as Siddiq, sebahagian daripada umat Islam ketika itu enggan membayar zakat dengan anggapan bahawa zakat tidak lagi wajib selepas wafatnya Rasulullah SAW.

    Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufuran seperti mengengkari kewujudan Allah Ι,menafikan rukun-rukun iman yang lain serta menidakkan kewajipankewajipan yang dikenakan ke atas seluruh umat Islam. Ini seperti mengatakan bahawa dia tidak diwajibkan solat atau mengatakan hukum-hukum Islam hanya sesuai untuk zaman dahulu, tetapi tidak lagi sesuai untuk zaman moden ini dan lain-lain kenyataan yang menunjukkan kepada merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.

    Melalui iktikad juga seseorang itu boleh murtad jika dia mempercayai sesuaitu yang bertentangan dengan akidah Islam, seperti mengiktikadkan bahawa al Quran bukan wahyu, Nabi Muhammad SAW bukan pesuruh Allah Ι atau dengan mempercayai bahawa undangundang
    ciptaan manusia adalah lebih baik daripada syariat Islam.

    Secara ringkas, ulama bersepakat bahawa dua syarat bagi kesahihan murtad ini adalah berakal waras dan pilihan sendiri( sukarela ).

    Hukuman Bagi Orang Murtad :

    Ulama telah sepakat tentang wajibnya hukuman bunuh ke atas orang murtad berdasarkan sabda Rasulullah SAW :


    “ Sesiapa yang menukar keIslamannya, bunuhlah dia ’’

    Sabda Rasulullah SAW lagi :

    Tidak halal darah seseorang Muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara : duda ( thayyib ) yang berzina, qisas nyawa dengan nyawa dan orang meninggalkan agamanya yang terpisah daripada jamaah.

    Murtad dianggap sebagai satu kesalahan besar dan dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah Ι . Allah Ι berfirman :

    yang bermaksud :

    "Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya, di dunia dan di akhirat , dan mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya ( selama-lamanya )"
    surah al Baqarah, ayat 217.

    Allah Ι berfirman :

    “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni segala dosa yang selain dari ( syirik ) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang amat besar.’’
    surah an Nisa’ : ayat 48.

    Oleh itu sebahagian besar ulama’ menyenaraikan kesalahan murtad ini sebagai satu daripada kesalahan hudud yang dikenakan hukuman mati ( bunuh ).

    Petikan daripada riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar(Taqiuddin Abu Bakar bin Muhammad al Husaini, Kitab Kifayatul Akhyar,Maktabah at Taufiqiah, hal 736.) yang bermaksud:

    " Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat ( diterima taubatnya dan ia kembali kepada Islam )dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam ".

    Seterusnya di sebutkan bahawa barangsiapa yang tetap dan kekal atas kemurtadannya, ia harus ditumpahkan darahnya, disebabkan kerana ia telah melakukan perkerjaan yang paling keji dan paling berat hukumannya, iaitu kekufuran. Apabila telah dijalankan
    hukuman bunuh tersebut, maka mayat si murtad itu tidak boleh dimandikan, tidak boleh disolatkan dan tidak boleh dikuburkan bersama orang-orang Islam kerana dia adalah seorang kafir, yang tidak mempunyai hak untuk dihormati.(Taqiuddin Abu Bakar bin Muhammad al Husaini, Kitab Kifayatul Akhyar, Maktabah at Taufiqiah, hal 740.)

    Berdasarkan kepada huraian di atas adalah jelas bahawa riddah ( murtad ) itu adalah suatu kesalahan besar di sisi agama Islam dan mempunyai hukuman yang sangat berat.
    Seterusnya , bagi menentukan status si mati, Nyonya binti Tahir, berdasarkan kepada huraian di atas :

    1. Seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah Ι seperti menyembah berhala ( patung ) dan sebagainya : si mati , Nyonya binti Tahir,

    a. melalui lapuran P4 , ... berkahwin dengan lelaki Cina pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Suaminya bernama Chiang Meng KP 0203417,
    tarikh lahir 1909, mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin dengan lelaki Cina itu, ia hidup secara Cina, menyembah Tok Kong dan makan babi.

    b. Melalui saksi anaknya, Chiang Ah Fatt, mempunyai altar di dalam rumahnya yang dihuni bersama ibunya.

    c. Melalui saksi anaknya, Chiang Kwai Ying , ibunya tidak mengamalkan agama lain kecuali amalan agama Buddha sahaja dan mahu dikebumikan bersama / bersebelahan
    kubur bapanya ( suami si mati ).

    2. Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufurannya ; si mati , Nyonya binti Tahir ;

    a. menyatakan melalui Surat Akuannya , ... Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya
    telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.

    b. Melalui lapuran P4 ; Pada pandangan zahirnya bahawa Nyonya bt. Tahir ini tidak akan kembali kepada Islam kerana ia telah lama hidup secara orang Cina dan sejak
    dari kecil lagi nia dibesarkan oleh datuknya mualaf Cina dengan cara hidup orang Cina dan terasing dari masyarakat Melayu. Sekarang ia tinggal dengan suaminya di tempat yang terpencil dan berjauhan dari masyarakat melayu. Di dalam rumahnya terdapat Tekong Cina dan ia mengaku bahawa ia menyembah tekong itu. Semua anak-anaknya berkahwin dengan orang Cina. Suka saya menarik perhatian bahawa seseorang itu boleh
    terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad walaupun hanya melakukan salah satu daripada tiga cara berkenaan , iaitu samada melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad ( kepercayan di dalam hati ).

    Berdasarkan kepada keadaan-keadaan di atas juga, saya pasti bahawa si mati, Nyonya binti Tahir, adalah seorang berakal waras semasa hidupnya dan melakukan perbuatan dan percakapan di atas secara sukarela dan pilihannya sendiri tanpa sebarang paksaan,
    sehinggalah kepada saat kematiannya.


    KEPUTUSAN :

    Mahkamah, setelah mendengar semua keterangan yang telah diberikan dengan bantuan pihak peguam dan juga keterangan daripada beberapa dokumen dan beberapa ekshibit yang telah dikemukakan kepada Mahkamah ini. Juga peluang yang telah diberikan kepada
    ahli-ahli waris kepada si mati di dalam Mahkamah ini, di dalam membuat penghakiman bagi permohonan ini, saya menghukumkan bahawa :

    1. Si mati Nyonya binti Tahir , Kad Pengenalan bernombor 180425-04-5054 / 02033418 adalah bukan beragama Islam semasa kematian.

    2. Mahkamah membenarkan ahli-ahli waris si mati untuk menguruskan pengkebumian mayat berkenaan.

    3. Mahkamah mengarahkan Hospital Daerah Tampin menyerahkan mayat kepada ahli waris si mati.

    Wallahu a'lam.

    Thursday, February 16, 2006

    Nazirul-Zanariah Terima Keputusan Mahkamah

    Nazirul-Zanariah terima keputusan mahkamah

    UM 16/2/2006
    MUAR 15 Feb. - Pasangan suami isteri yang terpaksa berpisah secara farakh, Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin dan Zanariah Abdullah menerima keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Muar hari ini dengan reda.

    Bagaimanapun, Zanariah, 24, dan Muhammad Nazirul Azman, 24, mungkin akan merujuk kepada peguam mereka sama ada perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Pejabat Agama Daerah Muar yang menyebabkan pernikahan mereka itu tidak sah.

    Menurut Zanariah, dia tidak pasti bentuk tindakan yang akan diambil tetapi ia bergantung kepada hasil perbincangannya dengan peguam kelak.

    ``Saya dan bekas suami sudah menjangkakan keputusan ini tetapi kami terpaksa menerimanya dengan hati terbuka.

    ``Kami juga akan merujuk kepada peguam mengenai bentuk tindakan yang akan diambil nanti kerana ia melibatkan pernikahan kami yang berlangsung setahun lalu tidak sah disebabkan tersalah wali,'' katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Syariah di Pejabat Agama Daerah Muar, di sini hari ini.

    Memutuskan

    Mahkamah Tinggi Syariah hari ini memutuskan Muhammad Nazirul Azman dan Zanariah perlu berpisah secara farakh dan hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

    Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi itu, Shakirin Omar di hadapan pasangan terbabit, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk daerah Muar, Ahmad Hanif Naim dan seorang pendaftar mahkamah di kamar hakim dan ia berkuat kuasa mulai kelmarin.

    Pernikahan pasangan terbabit pada 5 Februari tahun lalu tidak sah kerana ketika majlis akad itu berlangsung, terdapat wali lain yang lebih layak iaitu adik lelaki seibu sebapa kepada Zanariah.

    Kes pernikahan mereka itu terpaksa diputuskan oleh mahkamah syariah setelah pasangan terbabit mendakwa berlaku kekhilafan berhubung penggunaan wali hakim.

    Berikutan kekecewaan pasangan terbabit yang disiarkan dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, perkara itu telah dibawa ke mahkamah syariah untuk diputuskan hari ini.

    Sementara itu, Zanariah dan bekas suaminya ditemani ahli keluarga masing-masing menunggu di mahkamah sejak pukul 8.30 pagi ini.

    Menurutnya, dia dan bekas suami telah mendapatkan khidmat seorang peguam syarie di Johor Bahru dan tindakan selanjutnya akan dibuat selepas keputusan mahkamah hari ini.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan pihak keluarganya akan mengadakan semula majlis pernikahan selepas tamat tempoh farakh, dia berkata, perkara itu belum dibincangkan termasuk lokasi pernikahan mereka

    JAG Sokong Sistem Syariah Dikaji


    BH-16/2/2006
    KUALA LUMPUR: Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak Bagi Kesamarataan Gender (JAG) yang sebelum ini mendesak kerajaan meminda Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Pindaan 2005, menukar pendirian berhubung perkara itu.

    Dalam kenyataannya semalam, JAG menyambut baik dan mengalu-alukan sikap kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Kabinet yang peka serta prihatin terhadap suara rakyat terutama dalam isu Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Pindaan 2005.

    Pengarah Eksekutif, Women's Development Collective (WDC), Maria Chin Abdullah yang mewakili JAG berkata, pihaknya juga menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai perlunya sistem syariah dikaji bagi memastikan ia selaras komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan dan kesamarataan gender.

    "Kami berbesar hati bahawa ulasan dan cadangan kami berdasarkan kajian mendalam oleh pakar perundangan Islam diambil kira dan dipertimbangkan kerajaan.

    "Kami juga menyambut baik keputusan kerajaan menangguhkan dulu pewartaan undang-undang berkenaan," katanya.

    JAG adalah gabungan tujuh persatuan yang mewakili wanita yang dianggotai Persatuan Pertolongan Wanita (WAO), Pertubuhan Pergerakan Wanita (Awam), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC), Sisters in Islam (SIS) dan Jawatankuasa Wanita Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

    JAG ditubuhkan pada 8 Mac 1985 berikutan peningkatan kes keganasan terhadap wanita yang dilaporkan media.

    Maria berkata, JAG juga mengalu-alukan inisiatif Peguam Negara menjalankan proses perundingan dengan pelbagai pihak dan setakat ini tiga rundingan diadakan dan maklumat daripada JAG turut dibincang serta dipertimbangkan.

    "Ini mencerminkan proses yang telus dan terbuka selaras prinsip demokrasi di negara ini. Kami harap pindaan undang-undang berkenaan dapat dibentang semula di Dewan Rakyat Mac ini," katanya.

    E-syariah rangkaikan 102 Mahkamah Syariah

    Megabait-UM-16/2/2006
    Oleh: KHAIRUNNISA SULAIMAN

    BILA menyebut Mahkamah Syariah, tentu saja kita terbayang banyak kes yang tertangguh akibat masalah operasi dan birokrasi.

    Semuanya ini berlaku kerana Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi secara bersendirian dan tidak mempunyai keseragaman menyebabkan kes-kes di sesebuah mahkamah sukar dirujuk oleh mahkamah negeri lain.

    Adakalanya akan berlaku pertindanan dalam kes-kes yang membabitkan mahkamah tersebut terutama dalam hak penjagaan anak, penceraian dan harta pusaka jika ia difailkan di mahkamah negeri yang berbeza.

    Bagaimanapun, masalah itu kini telah dapat diatasi melalui penggunaan sistem aplikasi E-Syariah. Mahkamah Syariah tidak lagi dipandang sebagai institusi yang ketinggalan.

    Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merupakan agensi peneraju pembangunan aplikasi E-Syariah dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) selaku agensi pelaksana. Sistem tersebut dibangunkan oleh Sarawak Information Systems (SAINS).

    E-syariah menjadikan operasi Mahkamah Syariah lebih tersusun dan teratur.

    Projek E-syariah merupakan satu sistem pengurusan bersepadu dan aplikasi hasil ciptaan anak tempatan menggunakan teknologi terkini.

    Melalui projek tersebut, satu rangkaian komunikasi yang menghubungkan kesemua 102 buah Mahkamah Syariah seluruh negara diwujudkan menggunakan rangkaian kerajaan elektronik.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman menyifatkan aplikasi E-Syariah sebagai usaha Kerajaan Persekutuan dalam mempertingkatkan pengurusan dan pentadbiran institusi kehakiman Islam di seluruh negara.

    "Sesungguhnya E-Syariah amatlah bertepatan dengan aspirasi umat Islam masa kini yang semakin berdaya saing di negara ini serta di peringkat antarabangsa dalam menghadapi era globalisasi tanpa sempadan,'' katanya.

    Samsudin berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek E-Syariah dan Penyerahan Hasil Kajian Tempoh Penyelesaian Kes-kes Pembubaran Perkahwinan di Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia (1998-2002) di Bangi baru-baru ini.

    Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Ismail Adam.

    Pada majlis itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, aplikasi E-Syariah mengambil kira aspek pentadbiran dan pengurusan Mahkamah Syariah, pendaftaran dan pengurusan peguam syarie serta kepentingan dan keperluan masyarakat atau semua pengguna Mahkamah Syariah.

    "Objektif E-Syariah adalah untuk memanfaatkan sistem teknologi maklumat secara meluas bagi melicinkan pentadbiran kehakiman syariah.

    "Selain itu, ia juga memastikan kes Mahkamah Rayuan Syariah dapat dikendalikan dengan teratur,'' katanya.

    E-Syariah mempunyai tujuh modul yang meliputi Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS), Sistem Pendaftaran Peguam Syarie (SPPS), Sistem Pengiraan Faraid Menyeluruh, Sistem Perpustakaan E-syariah, Portal E-syariah, Sistem Automasi Pejabat dan Jaringan E-syariah.

    SPKMS meliputi pendaftaran, penyemakan, pemantauan, pengagihan kes, rekod perbicaraan, keputusan perbicaraan dan juga alasan kehakiman bagi sesuatu kes.

    Selain itu, SPKMS juga akan mempunyai bahagian laporan statistik, prestasi dan pengurusan sesuatu kes dalam mahkamah.

    Sementara itu, SPPS pula membantu pengguna dari segi pengurusan dan pendaftaran peguam syarie serta pentauliahan dan sejarah kes peguam syarie berkenaan.

    "Ini akan memudahkan pengguna merujuk kepada peguam syarie yang diperlukan bagi satu-satu kes,'' katanya.

    Sistem Perpustakaan E-syariah yang menggunakan sistem berasaskan web pula akan memudahkan pengguna.

    Di dalamnya terdapat kemudahan e-perolehan, katalog bahan penerbitan, pengurusan keahlian dan kemudahan pengedaran.

    Sementara itu, Sistem Faraid E-syariah pula amat mudah digunakan serta mesra pengguna, malah dapat memberikan keputusan pengiraan dengan tepat dan cepat.

    Pengguna boleh membuat pengiraan semua jenis tuntutan faraid sama ada yang selapis (melibatkan satu generasi) atau pelbagai lapis (lebih daripada satu generasi) menggunakan E-syariah.

    Pengiraan faraid menggunakan E-syariah amat mudah. Pengguna hanya perlu memasukkan jantina si mati, bilangan waris, nilai harta si mati dan tekan butang pengiraan.

    Dalam beberapa saat, pengguna boleh mendapatkan keputusan pengiraan faraid kepada waris yang layak dalam layar komputer.

    Portal E-syariah pula meliputi prosedur dan peraturan Mahkamah Syariah yang dilaksanakan secara dalam talian (online).

    Pengguna boleh membuat pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkhidmatan, pengiraan faraid layan diri bagi menjadikan Mahkamah Syariah lebih telus.

    Teknologi Jaringan e-syariah memberikan kemudahan kepada pengguna untuk mengakses ke laman-laman web seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Biro Bantuan Guaman.

    Sistem E-syariah adalah satu sistem pengurusan kes yang bersepadu dan mengintegrasikan semua proses pengendalian kes Mahkamah Syariah.

    Melalui cara ini, semua kes yang melibatkan Mahkamah Syariah di seluruh negara dapat diseragamkan.

    E-syariah akan membantu transformasi Mahkamah Syariah ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan kakitangan mahkamah di samping memperkemaskan pengurusan kes.

    Ini dapat memudahkan perjalanan kes kerana pengadu boleh membuat laporan melalui borang dalam talian (online).

    Selepas itu mereka dapat melihat perjalanan kes masing-masing, nama hakim, senarai peguam syarie dan tarikh kes tersebut didengar.

    Objektif E-syariah adalah

    untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan Mahkamah Syariah, mempertingkatkan keberkesanan penyelarasan dan pemantauan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia kepada agensi bawahannya.

    Mahkamah Arah Pasangan Berpisah Secara `farakh'

    Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

    UM 16/2/2006
    MUAR 15 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan sepasang suami isteri, Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin dan Zanariah Abdullah perlu berpisah secara `farakh' dan hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

    Keputusan farakh itu dibuat oleh Hakim Shakirin Omar di hadapan pasangan terbabit, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim dan seorang pendaftar mahkamah di kamar hakim.

    Perintah itu berkuat kuasa mulai kelmarin (13 Februari).

    Menurut Shakirin, pernikahan pasangan terbabit tidak sah kerana ketika majlis akad itu berlangsung, terdapat wali lain yang lebih layak.

    ``Nikah tersebut tidak sah dari segi hukum syarak kerana adanya wali yang lebih layak iaitu saudara lelaki seibu sebapa kepada Zanariah.

    ``Sehubungan itu, keputusan mahkamah hari ini menetapkan bahawa pasangan itu difarakh sehingga tiga kali khuruk (suci daripada haid) sebelum dibenarkan bernikah semula,'' katanya melalui Ahmad Hanif.

    Kes pernikahan Muhammad Nazirul Azman, 24, dan Zanariah, 24, yang bernikah pada 5 Februari tahun lalu itu terpaksa diputuskan oleh Mahkamah Syariah setelah pasangan terbabit mendakwa berlaku kekhilafan berhubung penggunaan wali hakim.

    Berikutan kekecewaan pasangan terbabit yang disiarkan dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, perkara itu telah dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan hari ini.

    Pasangan itu sebelum ini mendakwa Pejabat Agama Daerah Muar tidak mengiktiraf pernikahan mereka dan mengarahkan kedua-duanya berpisah secara farakh mulai 2 Februari lalu.

    Memetik laporan akhbar, majlis pernikahan yang dijalankan di rumah ibu Zanariah itu diiktiraf tidak sah kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu.

    Pernikahan itu dikatakan tidak sah kerana berlaku kesilapan pada wali iaitu menggunakan wali hakim, sedangkan ketika itu adik lelaki Zanariah berada pada majlis itu.

    Ekoran itu, pasangan berkenaan telah diarahkan berpisah secara farakh dan mereka hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

    Menurut Ahmad Hanif, tarikh farakh itu bermula kelmarin iaitu bersamaan dengan perintah farakh sementara yang dikeluarkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk daerah Muar.

    Sementara itu, pasangan terbabit dilihat berada di pekarangan mahkamah itu sejak pukul 8.30 pagi bersama keluarga mereka sementara menanti keputusan perbicaraan pada kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

    Tuesday, February 14, 2006

    Mahkamah Syariah: 10 Minit Ketuk Pintu Hotel


    SHAH ALAM: Sepasang kekasih masing-masing didenda RM2,300 oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mengaku salah berkhalwat dan berdua-duaan tanpa hubungan sah ketika negara menyambut Hari Kebangsaan 31 Ogos lalu.

    Khairul Hezrey Mohd Ariffin, 28, dituduh berkhalwat dengan Nor Haida Mohd Yusof, 31, selepas gagal mengemukakan dokumen nikah apabila diminta penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan serbuan di sebuah bilik di Hotel Subang Park, Subang Jaya, pada hari itu.

    Pasangan terbabit dituduh mengikut Seksyen 29 (a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan Enakmen Jenayah-jenayah Syariah Selangor 1992.

    Timbalan Pendakwa Syarie, Mohd Kamal Ismail, berkata berdasarkan fakta kes, pegawai penguat kuasa berkenaan bertindak hasil maklumat awam yang melaporkan ada pasangan bukan suami isteri melakukan perbuatan tidak bermoral.

    Katanya, sekumpulan anggota Jais bergegas menuju ke hotel berkenaan sebelum memberi salam dan mengetuk pintu bilik hotel berkenaan hampir 10 minit.

    Selepas pintu dibuka tertuduh lelaki, pegawai penguat kuasa bertindak memperkenalkan diri.

    Hasil pemeriksaan, penguat kuasa terbabit terlihat seorang wanita sedang duduk di atas katil sebelum melakukan pemeriksaan termasuk meminta kad perkahwinan sekiranya ada.

    Ketika itu, wanita berkenaan juga berpakaian lengkap.

    Hasil soal siasat terhadap pasangan terbabit mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri sah dan bukan mahram.

    Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Syarie, Abu Bakar Daud.

    Sebelum hukuman dijatuhkan, pasangan itu mengemukakan rayuan.

    Khairul yang bekerja sebagai Penolong Penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) turut mengaku menanggung perbelanjaan adiknya selain mempunyai pinjaman bank manakala pasangannya mendakwa sudah tidak bekerja lagi.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah menasihati pasangan terbabit supaya berpada-pada menyambut hari kemerdekaan.

    "Tindakan kamu menyambut hari kebanggaan negara di bilik hotel bersama pasangan mencemar nama baik keluarga, bangsa dan negara," katanya.


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Adik Lelaki Zanariah Patut Dibenar Jadi Wali - Mufti

    UM Online 14/2/2006
    KUALA LUMPUR 13 Feb. - Kontroversi `perpisahan' (farakh) di antara Zanariah Abdullah, 24, dan Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin, 24, tidak akan berlaku jika Pejabat Agama Daerah Muar membenarkan adik lelaki pengantin perempuan, Mohd. Shafiq, menjadi wali.

    Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, dengan ketiadaan abangnya, Mohd. Bahauldeen, 25, yang kerap belayar ke luar negara, Zanariah patut dibenarkan berwalikan adiknya yang berusia 19 tahun ketika itu.

    Katanya, kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan paling utama dilakukan oleh pejabat agama daerah itu.

    Sehubungan itu, beliau berpendapat, pendaftar nikah atau jurunikah sepatutnya mengutamakan adik lelakinya sebagai wali, bukan wali hakim.

    ``Sekalipun kedua-duanya (abang dan adik lelaki) berada pada majlis itu, sesiapapun boleh menjadi wali kerana taraf mereka sama.

    ``Cuma adat orang Melayu mengutamakan saudara yang paling tua,'' ujarnya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Beliau mengulas laporan muka hadapan akhbar ini yang menyiarkan polemik pasangan muda itu selepas mereka diarahkan `berpisah' pada 2 Februari lalu setelah lebih setahun melangsungkan perkahwinan.

    Ini ekoran pernikahan mereka pada 5 Februari tahun lalu diisytihar tidak sah oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut kerana berlaku kekhilafan pada urusan pernikahan yang berwalikan hakim walhal adik lelakinya masih hidup.

    Harussani berkata, Zanariah tidak perlu menghubungi abangnya di luar negara jika jaraknya melebihi dua marhalah (90 kilometer).

    Pendapat mengutamakan `wali mujdir' mengikut kronologi turut disokong oleh seorang Pensyarah Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

    Menurutnya, jika bapa perempuan meninggal dunia, keutamaan wali perlu diberikan kepada datuk atau bapa kepada datuk.

    ``Kemudian ia turun kepada saudara lelaki iaitu abang ke bawah diikuti peringkat ketiga iaitu bapa saudara sebelah bapa, sebelum beralih kepada wali hakim sebagai penyelesaian terakhir,'' ujarnya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Peguam-Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Profesor Madya Noor Awang Hamat berkata, pejabat agama perlu menjelaskan kepada orang awam berhubung syarat-syarat penggunaan wali hakim.

    Beliau berkata, antaranya termasuk penggunaannya dibolehkan apabila saudara lelaki yang ada tidak cukup umur, gila atau gagal dihubungi.

    Selain itu katanya, pengantin perempuan yang ahli keluarganya enggan menjadi wali tanpa sebab-sebab yang munasabah dibenarkan menggunakan wali hakim.

    Kes Suami Isteri Diarah `Berpisah' Didengar Esok

    UM Online 14/2/2006
    MUAR 13 Feb. - Setelah luahan hatinya disiarkan Utusan Malaysia, Zanariah Abdullah akhirnya menerima surat `hitam-putih' daripada Jabatan Agama Islam Negeri hari ini, mengarahkannya berpisah secara `farakh' dengan suami.

    Kes pernikahannya dengan Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin, 24, yang diiktiraf tidak sah ekoran kekhilafan semasa pengendalian urusan itu pula, akan didengar di Mahkamah Syariah Muar, Rabu ini.

    Zanariah, 24, ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu dia telah menerima surat mengarahkan `berpisah' dengan suami daripada jabatan berkenaan.

    ``Pejabat Agama Muar telah menghubungi saya pagi ini dan meminta saya datang untuk mengambil surat tersebut dan saya dimaklumkan bahawa kes ini akan dibawa ke mahkamah Rabu ini.

    ``Menurut penjelasan daripada Kadi Daerah Muar, pihak jabatan terbabit telah mengakui bahawa kekhilafan itu berpunca daripada tindakan jurunikah yang terus meletakkan bapa saudara saya, Mohd. Shah Salim sebagai wali hakim, sedangkan ketika majlis pernikahan itu berlangsung, adik lelaki saya, Mohd. Shafiq, 19, ada bersama.

    ``Pihak jabatan terbabit juga memberitahu saya bahawa tindakan menggantung tugas mungkin dikenakan terhadap jurunikah terbabit di atas kekhilafannya itu,'' jelas beliau.

    Sementara itu, Kadi Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiapkan laporan berhubung kes pasangan suami isteri itu.

    Menurutnya, laporan tersebut akan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Zainal Abidin Osman untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara menunggu laporan itu siap, katanya, beliau telah diarah supaya tidak memberi sebarang kenyataan kepada media mengenai isu pasangan suami isteri terbabit.

    ``Sebaliknya, segala penjelasan mengenai perkara itu akan dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri sebaik sahaja laporan itu diterima kelak,'' katanya.

    Pasangan berkenaan yang bernikah pada 5 Februari tahun lalu telah diarahkan `berpisah' (farakh) sejak 2 Februari lalu dan mereka hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

    Pernikahan yang dijalankan di rumah Zanariah diiktiraf tidak sah oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu.

    Keputusan Jabatan Agama Islam daerah itu dibuat oleh tiga orang pegawai di jabatan itu secara lisan dan tanpa sebarang hitam putih.

    Diminta mengulas laporan akhbar ini hari ini mengenai kekecewaan Zanariah terhadap pejabat agama itu, Ahmad Hanif enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, pihaknya telah pun menjalankan tindakan berhubung kes itu

    Monday, February 13, 2006

    `Jangan persoal siapa betul, siapa salah'

    UM-13/2/2006
    KUALA LUMPUR 12 Feb. - Persoalan siapa betul dan siapa salah berhubung isu Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 tidak harus timbul, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

    Katanya, sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merasakan kenyataan beliau sebelum ini salah, mereka juga sebenarnya beranggapan bahawa tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negara, ulama, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) juga adalah salah.

    ``Jangan timbulkan banyak polemik. Sebenarnya ia hanya masalah tafsiran. Tetapi ini adalah lumrah sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan saya sebelum ini,'' katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pasar tani mega di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini yang dilakukan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Shahrizat yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) yang tidak berpuas hati dengan pendirian beliau berhubung isu tersebut yang disifatkan bercanggah dengan pendirian asal.

    JAG melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Shahrizat pada Khamis lepas bahawa bahawa undang-undang itu tidak menzalimi wanita sedangkan sebelum itu beliau turut meragui undang-undang tersebut.

    Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang diluluskan Parlimen pada 22 Disember lepas mendapat pelbagai reaksi daripada pertubuhan wanita yang khuatir didiskriminasi apabila undang-undang itu dilaksanakan.

    Kontroversi yang tercetus menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kemudiannya mengarahkan Peguam Negara menyelesaikan isu tersebut dengan mendapatkan pandangan NGO dalam usaha menambahbaikan undang-undang berkenaan. - Bernama

    Saya Hilang Keyakinan Terhadap Pejabat Agama

    Oleh Suffian Abu Bakar


    Zanariah Abdullah.

    UM-13/2/2006
    MUAR 12 Feb. - ``Keyakinan saya terhadap Jabatan Agama Daerah Muar kini semakin hilang dan saya rasa malas untuk berurusan dengan jabatan itu lagi selepas ini.

    ``Apa yang saya harapkan ialah mereka yang arif tentang bab ini segera campur tangan untuk membantu menyelesaikan kemelut yang melanda saya dan suami sekarang.''

    Begitulah luahan Zanariah Abdullah, 24, apabila pernikahan dengan suaminya, Nazirul Azman Nasarudin, 24, setahun lalu dianggap tidak sah oleh Pejabat Agama Daerah Muar, baru-baru ini.

    Pasangan suami isteri yang diarahkan `berpisah' (farakh) itu juga kesal kerana sejak kisah mereka disiarkan dalam Utusan Malaysia semalam, tiada seorang pun pegawai atau kakitangan pejabat agama terbabit menghubungi mereka untuk memberi kaunseling atau nasihat.

    Menurut Zanariah, sepatutnya pihak pegawai jabatan agama terbabit yang lebih arif dalam hal-hal agama membantunya menangani kes ini tetapi jawapan yang diterimanya oleh mereka sebelum ini, ramai memberikan penjelasan yang berbeza sehinggakan dia dan suaminya tidak tahu apa tindakan selanjutnya.

    ``Saya hairan kenapa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata hanya mahkamah yang berhak menetapkan nikah saya difarakhkan, sedangkan pegawai jabatan agama di Muar boleh memfarakhkan saya dan suami hanya melalui satu surat?

    ``Ada pula pendapat yang menyatakan bahawa saya dan suami tidak perlu difarakhkan, sebaliknya boleh dinikahkan semula, mana satu yang harus kami ikut,'' katanya.

    Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, sepasang suami isteri yang dinikahkan setahun lalu oleh kadi daerah ini kini terpinga-pinga, setelah pejabat agama itu memberitahu pernikahan mereka tidak sah.

    Ekoran itu pasangan berkenaan telah diarahkan `berpisah' (farakh) dan mereka hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

    Pernikahan yang dijalankan di rumah Zanariah pada 5 Februari tahun lalu diiktiraf tidak sah oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu.

    Keputusan itu dibuat setelah pernikahan itu diwalikan hakim, sedangkan pengantin perempuan mempunyai adik lelaki sebagai wali.

    Menurut Zanariah, meskipun dihimpit permasalahan itu, dia dan suami tetap berpisah sebagai suami isteri sejak 2 Februari lalu, iaitu tarikh dia dimaklumkan oleh pegawai jabatan terbabit.

    Secara peribadi, dia juga membuat pengakuan bahawa masih belum hamil sehingga sekarang.

    Dia meminta pihak bertanggungjawab menghentikan kerenah birokrasi di jabatan terbabit dan segera menyelesaikan masalahnya.

    Tegasnya lagi, selain membuat laporan polis semalam, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan sepenuhnya.

    Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Noh Gadut ketika ini difahamkan berada di Jakarta, Indonesia dan gagal dihubungi

    Sunday, February 12, 2006

    Muslim men who divorce their wives through text messages may face stiffer fines in the future.

    NST Online-12/2/2006

    The Islamic Development Department (Jakim) will ask for larger fines to be imposed, said its director-general Datuk Mustafa Abdul Rahman.

    He declined to say how much the proposed fine would be, but said these divorces would remain legal.

    Last month, Senator Datuk Kamaruddin Ambok was fined RM550 for divorcing his wife through the short-messaging-system (SMS) and voice mail in 2001.

    A Muslim man who starts divorce proceedings without prior permission from the Syariah court faces a fine of up to RM1,000 or six months' jail or both.

    On Wednesday, Minister in the Prime Minister's Department Datuk Dr Abdullah Mohd Zin had said the Government would consider calls for a review of the law concerning such divorces.

    Puteri Umno chief Datuk Noraini Ahmad had called for changes in the regulations to ensure spouses attend court after they announce their divorce through SMS.

    Mustafa added: "It is an offence for men to divorce their wife outside the court room.

    "The review is to ensure Muslims do not take matters pertaining to divorce lightly.

    Jawapan Shahrizat Kepada Lima Isu Yang Dibangkitkan Mengenai UUKIWP

    Rencana - MM 12/2/2006

    1. Subseksyen 23(9): Hak kepada mana-mana pihak dalam perkahwinan untuk menuntut harta sepencarian apabila suami berpoligami.

    Peruntukan ini membolehkan harta sepencarian dituntut semasa suami mengemukakan permohonan untuk berpoligami. Sebelum pindaan, pembahagian harta sepencarian hanya boleh dibuat apabila berlaku perceraian atau kematian.

    Pindaan ini dapat mengelakkan kekeliruan apabila harta suami bercampur dengan harta isteri yang sedia ada dengan bakal isteri.

    Tafsiran harta sepencarian adalah jelas dan ia merujuk hanya kepada harta yang diperoleh atas usaha bersama pihak-pihak kepada perkahwinan.

    Harta sepencarian tidak termasuk harta bawaan isteri, harta pusaka yang diterima oleh isteri atau hibah.

    Kekeliruan yang timbul diakibatkan oleh salah faham mengenai konsep harta sepencarian dan masalah-masalah lain yang berbangkit dalam pentadbiran Mahkamah Syariah dan masalah tafsiran yang berbeza.

    2. Subseksyen 23(9)(a)(b): Memilih nafkah atau pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami.

    Peruntukan ini bertujuan untuk menjamin hak nafkah isteri. Ia tidak bermaksud membolehkan suami memohon nafkah daripada isteri kerana Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam itu sendiri jelas menetapkan bahawa kewajipan nafkah adalah pada suami.

    Perkataan ``atau'' di antara perenggan (a) dan (b) tidak bermaksud pihak-pihak hanya boleh memohon salah satu daripada perenggan (a) atau perenggan (b) kerana ia juga bermaksud kedua-duanya sekali.

    Sekiranya perkataan ``dan'' digunakan ia akan menimbulkan masalah kerana pihak yang memohon mesti memohon kedua-duanya sekali kerana ada ketikanya pihak-pihak kepada perkahwinan itu tidak mempunyai harta sepencarian.

    Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, Jabatan Peguam Negara telah merangka struktur ayat yang lebih mudah difahami oleh semua pihak melalui pindaan yang akan dikemukakan kelak.

    3. Subseksyen 23(3) dan 23(4): Kelonggaran untuk berpoligami.

    Pindaan frasa ``patut dan perlu'' kepada ``patut atau perlu'' tidak membawa apa-apa perubahan untuk memudahkan poligami kerana syarat untuk berpoligami masih lagi termaktub di bawah perenggan (a) hingga (d) yang menjurus kepada adil.

    Perenggan (a) hingga (d) di bawah subseksyen 23(4) ini selaras dengan konsep ``adil'' di dalam surah an-Nisa' (4): 129.

    Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, Jabatan Peguam Negara telah mencadangkan penggunaan perkataan ``adil'' bagi menggantikan kedua-duanya agar selaras dengan kehendak al-Quran.

    4. Subseksyen 52(1): Melanjutkan hak fasakh seorang isteri kepada suaminya.

    Hak fasakh bukahlah hak mutlak wanita. Ia adalah hak yang sama dan berdasarkan kepada hukum syarak. Hak fasakh ini diberikan kepada lelaki dalam empat keadaan iaitu apabila isterinya itu gila, berpenyakit kusta atau sopak, qarn dan ratq.

    Pindaan ini tidak menjejaskan hak fasakh isteri terhadap suami. Frasa ``mengikut mana-mana yang berkenaan'' yang digunakan di dalam peruntukan ini menjelaskan bahawa suami atau isteri boleh memohon fasakh atas alasan yang bersesuaian dengan mereka.

    5. Subseksyen 107(A): Permohonan kepada mahkamah untuk menahan/menegah isteri/suami daripada melupuskan harta masing-masing semasa prosiding.

    Tujuan peruntukan ini adalah untuk menghalang pelupusan aset yang diusahakan secara bersama oleh suami isteri (harta sepencarian).

    Ada ketikanya harta suami itu diletakkan atas nama tunggal isteri atas sebab-sebab yang tertentu.

    Tanpa peruntukan ini ia akan mengundang pihak-pihak melupuskan harta bagi tujuan menafikan hak terhadap harta sepencarian oleh pihak yang satu lagi.

    Bagi mengatasi masalah yang mungkin berbangkit akibat dari penguatkuasaan peruntukan ini, Jabatan Peguam Negara mencadangkan supaya satu peruntukan tambahan dimasukkan bagi mengambil kira keperluan hidup pihak-pihak dan nafkah anak.

     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text