Pages

Ads 468x60px

Sunday, June 10, 2007

APJRF kaji sistem lantik hakim

APJRF kaji sistem lantik hakim

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

PUTRAJAYA 29 Mei – Sekretariat Forum Reformasi Perundangan Asia Pasifik (APJRF) akan menjalankan kajian serantau bagi menentukan sama ada penubuhan suruhanjaya kehakiman yang melantik dan menaikkan pangkat para hakim boleh menjamin kebebasan badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, kaji selidik itu yang akan diadakan di 40 negara Asia Pasifik akan menentukan apakah sistem dan amalan yang digunakan di negara-negara itu yang terbaik untuk pelantikan para hakim.

''Langkah itu diambil memandangkan terdapat banyak sistem pelantikan hakim yang diamalkan di Asia Pasifik termasuk suruhanjaya kehakiman yang dianggotai oleh hakim untuk melantik hakim seperti di Vanuatu dan Thailand,'' katanya.

Di Filipina, beliau berkata, Majlis Kehakiman dan Majlis Peguam terlibat dalam mencalonkan nama-nama untuk diputuskan oleh Presiden republik itu.

''Kita mahu melihat sama ada ia merupakan satu perkara yang menggembirakan dan ia boleh menjamin kebebasan badan kehakiman kerana kita tidak boleh sahaja bebas tetapi mesti dilihat oleh semua pihak sebagai badan bebas," katanya.

Ahmad Fairuz selaku tuan rumah kepada delegasi Perbincangan Meja Bulat APJRF 2007 mengadakan sidang akhbar pada hari ketiga forum tersebut yang diadakan di Dewan Persidangan Palace of Justice di sini, hari ini.

Persidangan tertutup yang bermula Isnin lalu akan berakhir esok.

Ahmad Fairuz berkata, kaji selidik itu juga melibatkan gaji para hakim sama ada ia perlu berdasarkan gaji sektor swasta seperti yang diamalkan di Singapura ataupun bergantung kepada kadar dan peruntukan yang diluluskan pihak Eksekutif seperti di Malaysia.

Beliau berkata, hasil kajian itu akan dilihat daripada perspektif kehakiman khususnya mengenai sistem mana yang mampu memberi jaminan terbaik kepada kebebasan kehakiman.

Beliau berkata, sistem yang terbaik, sama ada dalam bentuk suruhanjaya kehakiman, pelantikan melalui Parlimen atau oleh Perdana Menteri kemudian akan dicadangkan kepada semua negara yang menganggotai APJRF.

''Kita akan mengkaji sistem di setiap negara dan memutuskan mana satu yang terbaik. Sekiranya tiada sistem terbaik yang ditemui, kita akan mencari satu formula baru sebagai cara terbaik untuk disyorkan pada bidang kuasa masing-masing," katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Australia Kenneth Madison Hayne yang hadir pada sidang akhbar itu berkata, kajian itu akan mengambil masa antara empat hingga enam minggu untuk mengumpul maklum balas badan kehakiman sebelum jawapan itu disusun dan diterbitkan secara bercetak dan melalui laman web.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text