Pages

Ads 468x60px

Friday, July 14, 2006

Jakim Harus Cari Jalan Bendung Gejala Murtad

BH-14/7/2006
WALAUPUN kesahihan dakwaan kononnya 100,000 umat Islam negara ini murtad masih boleh dipertikaikan, hakikatnya memang semakin ramai orang Melayu, yang secara automatik di negara ini asalnya beragama Islam, sudah menukar agama. Cuma angka sebenar tidak diketahui kerana sebahagian besar mereka tidak merujuk kepada jabatan agama. Sebagai umat Islam, isu pemesongan akidah memang sensitif tetapi ia suatu cabaran besar bukan saja kepada kerajaan, jabatan agama, ulama dan mufti, malah seluruh umat Islam. Justeru, selain mengkaji jumlah sebenar orang Islam murtad, lebih penting lagi ialah usaha mengenal pasti punca mereka berbuat demikian dan mencari jalan membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa. Oleh kerana itu, langkah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustapa Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berhubung isu itu diharap menjadi titik permulaan mencari jalan mengatasi masalah ummah ini secara berkesan. Ia adalah susulan usaha Mufti Perak menghantar memorandum 'Ancaman Terhadap Islam' kepada Majlis Raja-Raja empat bulan lalu bagi memaklumkan gejala itu untuk mencari penyelesaian.

Jakim memang ada kaedah pendidikan dan kaunseling tersendiri bagi membendung gejala murtad. Di negara ini, seseorang Islam yang mahu mengisytihar dirinya murtad perlu mengikut hukum syarak dan hanya Mahkamah Syariah boleh memutuskannya seperti yang terkandung dalam Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan. Mereka kemudian perlu melepaskan segala hak dan kewajipannya sebagai seorang Muslim tanpa perlu membangkitkan isu hak asasi manusia. Mengikut Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan, selagi seseorang itu ditakrifkan sebagai Melayu, dia tidak boleh meninggalkan agama Islam sama sekali – kekal dalam ajaran Islam sehingga meninggal dunia. Begitu pun, Jakim perlu sentiasa berusaha mencari jalan memujuk golongan murtad kembali ke pangkal jalan, antaranya menerusi kaunseling. Jika ingin kembali kepada Islam, mereka perlu mengucapkan dua kalimah syahadah dan bertaubat nasuha iaitu menyesali perbuatan itu dan berazam tidak mahu mengulangi lagi.

Walaupun Islam menganjurkan keterbukaan dan kebebasan, ia tidak bertolak ansur terhadap soal akidah. Murtad adalah jenayah besar dalam Islam kerana ia menandakan seseorang itu memungkiri janjinya kepada Allah SWT. Bagaimanapun, apabila berlaku sesuatu kes murtad, Islam menetapkan ia perlu diselidiki sebelum hukuman dijatuhkan. Sebahagian ulama berpendapat hukuman bunuh hanya boleh dikenakan sekiranya memang benar seseorang itu memilih untuk murtad setelah dia faham Islam. Jika dia murtad dalam keadaan jahil mengenai Islam, maka tindakan lain seperti kaunseling, perlu dilaksanakan.

Kita berpendapat cara paling penting untuk menghurai masalah ini ialah mencari puncanya. Tidak guna kita menuding jari mencari kesalahan ketika orang lain melaksanakan strategi jangka panjang untuk melemahkan umat Islam. Kita harus tahu di mana silapnya masyarakat kita hari ini sehingga melahirkan generasi yang amat rapuh imannya. Apakah kaedah pendidikan agama, yang kita warisi sejak sekian lama gagal melahirkan generasi yang mampu menangani pelbagai cabaran dunia tanpa sempadan sekarang? Jawapan kepada persoalan ini hanya boleh ditemui jika semua kelompok Islam, sedia melupakan perbezaan antara mereka, duduk semeja bermuzakarah dan seterusnya mencari penyelesaian.

Keterangan Menerusi Rakaman Video Diterima

BH-14/7/2006
SAKSI kini boleh memberi keterangan melalui rakaman video atau televisyen dalam semua perbicaraan dengan kebenaran mahkamah supaya mereka berasa bebas dan tidak takut atau terancam.


Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata ia diperuntukkan dalam Seksyen 272B yang diperkenalkan dalam pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah. Bagaimanapun, ia hanya untuk saksi dan bukannya tertuduh.

"Kita memutuskan untuk mengeluarkan subseksyen (2) (yang mengehadkan penggunaan video dalam kes tertentu seperti kesalahan "menyerang atau kecederaan atau ancaman untuk mencederakan" supaya semua jenis kesalahan boleh dibicarakan dengan menggunakan keterangan secara langsung melalui video atau televisyen," katanya.

Radzi ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004.

Pindaan kanun itu turut memberi tafsiran kepada "prima facie" sebagai penentu tahap pembuktian pada akhir kes pendakwaan dengan menyebut "sesuatu kes prima facie yang diperoleh daripada tertuduh, dengan pendakwaan berjaya mendapatkan bukti bersabit kesalahan dan jika tidak dipatahkan atau dijelaskan, membolehkan sabitan".

Pindaan itu, yang mengambil kira pandangan orang ramai, menggantikan perenggan 173(h) dan Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah.

"Perenggan 173(ha) dimansuhkan kerana adalah tidak adil untuk membenarkan pendakwaan memeriksa balas tertuduh mengenai pemberian pernyataan tidak bersumpahnya," katanya.

Pasangan suami isteri diperintah berpisah


EMBONG Zakaria dan Rokiah Che Hassan ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, semalam.
UM-14/7/2006

KUANTAN 13 Julai - Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini memerintahkan sepasang suami isteri supaya berpisah serta-merta berikutan pernikahan kali kedua mereka, tujuh tahun lalu sebagai tidah sah kerana didapati melanggar hukum syarak.

Hakim Abdul Rahman Md. Yunus ketika membuat perintah itu berkata, penikahan pasangan itu tidak sah kerana defendan pertama, Embong Zakaria yang merupakan seorang kontraktor telah membelakangkan hukum syarak dengan tidak mendapatkan keizinan secara lafaz daripada bekas isterinya, Rokiah Che Hassan yang pada ketika itu telah bergelar janda.

Menurutnya, Embong dan jurunikah yang menikahkan pasangan tersebut, Abdul Manaf Sidek yang juga diletakkan sebagai defendan kedua turut didakwa tidak mendapat keizinan daripada Pejabat Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) terlebih dahulu sebelum melangsungkan pernikahan itu.

''Oleh sebab itu, saya menghukumkan akad nikah antara Zakaria dan Rokiah sebagai tidak sah dan maka dengan itu juga saya memfasakhkan pernikahan tersebut," katanya.

Mahkamah juga mendapati abang Rokiah, Abdul Aziz yang bertindak sebagai wali turut tidak mendapatkan keizinan adiknya itu terlebih dahulu sebelum melangsungkan pernikahan di sebuah surau di Bukit Setongkol di sini.

Kes itu disebut di bawah Seksyen 40(1)(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1987.

Rokiah, 45, dan Embong, 46, pernah bercerai pada Februari 1998, bagaimanapun, telah bernikah semula pada Julai tahun yang sama selepas plaintif habis edah selama tiga bulan.

Rokiah kemudiannya telah memfailkan perceraian kali kedua pada tahun lalu dan dia mendapati pernikahan kali keduanya itu tidak didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Kuantan.

Pihak plaintif diwakili oleh peguam syarie, Norzita Mohd. Ali manakala kedua-dua defendan berkenaan tidak diwakili oleh peguam.

Thursday, July 13, 2006

Dua faktor gejala sosial meningkat


KUALA LUMPUR: Penganjuran program belia yang tidak bermaya dan kegagalan mengecapi didikan sempurna di rumah dikesan menjadi antara punca utama peningkatan ketara salah laku sosial remaja Malaysia dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Selain dua faktor berkenaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat turut menyifatkan pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan pesat pusat hiburan di seluruh negara juga menjadi antara penyumbang gejala sosial di kalangan belia negara ini berbanding 10 tahun lalu.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad, berkata kebanyakan belia yang terbabit dengan gejala sosial termasuk lumba haram, keluar lewat malam, hisap rokok dan gangsterisme adalah dikalangan mereka yang tidak berpersatuan.

"Kajian mendapati rata-rata belia bermasalah adalah golongan yang langsung tidak menyertai mana-mana pertubuhan, kegiatan sukan mahupun program riadah," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan perlu merangka mekanisme lebih berkesan dalam penganjuran sebarang program belia negara yang lebih relevan dengan kehendak dan naluri remaja tempatan.

"Selain program belia yang lebih berkesan, kerajaan juga perlu mencari pendekatan yang lebih sesuai untuk menarik minat mereka berpersatuan.

"Kita mahu belia dibentuk dengan daya kepemimpinan tinggi selain mampu berdaya saing. Sehubungan itu, usaha bersepadu perlu dirangka bagi menarik lebih 8.5 juta belia yang dilaporkan tidak mendaftarkan diri dalam sebarang pertubuhan," katanya.

Kelmarin akhbar melaporkan, hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke empat (KPKM-4) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mendapati salah laku sosial di kalangan remaja membabitkan perbuatan keluar hingga larut malam, merokok, gangsterisme, dadah, lumba haram dan kahwin lewat meningkat agak ketara dalam tempoh 10 tahun.

Naib Pengerusi Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) , Dr Mastura Badzis, berkata mengikut kajian, kaedah pendidikan awal yang dipraktikkan ibu bapa sehingga usia anak mencecah tujuh tahun adalah penentu dalam mencorak peribadi anak.

"Justeru, penekanan terhadap aspek didikan yang lebih berkualiti perlu diterapkan ibu bapa sehingga anak berumur tujuh tahun dan ia mesti dilaksanakan secara berterusan sehingga mereka mencapai umur matang.

"Anak yang mengalami didikan sempurna dan membesar dalam persekitaran selesa jarang terbabit dalam gejala sosial," katanya.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kepesatan pembangunan negara berbanding 10 tahun lalu antara faktor peningkatan gejala sosial di kalangan masyarakat.

"Kita memang tidak boleh menolak pembangunan, bagaimanapun pemantauan aktiviti dan pertumbuhan pusat hiburan perlu dipantau pihak berkuasa. Malah, waktu beroperasi pusat hiburan juga perlu diselaraskan.

"Saya berpendapat jika kerajaan membenarkan pusat hiburan beroperasi sehingga jam 5 pagi ia boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan gejala sosial remaja dan perkara ini perlu dipertimbangkan sewajarnya," katanya.+

Cadangan Takaful Perkahwinan tidak wajar

SAYA tertarik mengenai cadangan supaya dilaksanakan Takaful Perkahwinan yang diyakini dapat memberikan kemudahan kepada pasangan yang berumahtangga sekiranya berlaku perceraian atau kematian pada kemudian hari.

Walaupun tidak ada lagi usaha untuk mewujudkan Takaful Perkahwinan ini sebagai insurans jangka panjang namun saya ingin menarik perhatian kepada nilai sebuah perkahwinan seakan sudah difokuskan kepada wang semata-mata.

Cukuplah untuk mendirikan sebuah rumah tangga pasangan lelaki dibebani dengan hantaran ribuan ringgit yang tidak 'wajib' hanya sebagai adat turun termurun tetapi diamalkan oleh masyarakat Melayu.

Persandingan dan kenduri-kendara yang terpaksa pihak lelaki dan perempuan menyediakannnya kadangkala sudah melebihi hebahan yang sepatutnya dari rumah hingga ke hotel di mana majlis diadakan dengan perbelanjaan yang besar.

Nilai sebuah perkahwinan bukanlah harus disandarkan kepada keperluan kewangan semata-mata. Cukuplah dengan skim pelaburan dalam amanah saham, perbankan, wang pencen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah sedia ada untuk menghadapi apa jua musibah.

Apatah lagi penerimaan orang Melayu untuk membeli insurans kematian atau apa jua bentuk insurans begitu rendah sekali berbanding bangsa lain di negara ini kerana kurangnya kesedaran daripada amalan menabung.

Idea menyandarkan Takaful Perkahwinan sebagai satu jaminan jangka panjang 'perkahwinan' berbentuk insurans tidak sesuai.

Saya percaya manusia sudah ditentukan jodoh dan rezeki masing-masing oleh Allah s.w.t. Manusia digalakkan berusaha untuk mengubah hidup sama ada daripada miskin kepada kaya, tetapi perlu bersederhana bukan berlebih-lebihan.

Manusia juga digalakkan merancang dan Takaful Perkahwinan yang berupa insurans jangka panjang ini adalah satu perancangan.

Tetapi mengapa perancangan itu perlu difokuskan kepada sesuatu bencana yang bakal menimpa seperti perceraian atau kematian pasangan?

Mungkin adalah lebih baik jika Takaful Perkahwinan itu difokuskan kepada keperluan membeli rumah dengan skim sewa beli kepada bakal pengantin.

Ini kerana harga rumah yang semakin tinggi memungkinkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana sukar memilikinya. Keperluan memiliki rumah sendiri adalah keperluan asas yang amat penting dalam sebuah perkahwinan selain daripada wang ringgit.

Sudah pasti bagi mereka yang berusia 18 tahun ke atas sekiranya mempunyai simpanan dalam Takaful Perkahwinan untuk mendirikan rumah tangga kelak mereka layak untuk membayar 10 persen pada harga rumah yang ditawarkan ketika itu dan mampu pula membayar sewa bulanan daripada pinjaman perbankan kerana mereka sudah menabung lebih awal untuk membeli rumah bagi ahli keluarganya.

Bayangkan selepas negara merdeka 49 tahun, masih ada lagi pasangan suami isteri hari ini yang menyewa rumah walaupun anak-anak sudah ke universiti kerana tidak mampu untuk membeli rumah sendiri kerana kesukaran menyediakan wang pendahuluan dan harga rumah semakin meningkat setiap tahun disamping menipiskan peluang golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini.

– Dalia Ismail,

Kuala Lumpur.

Peguam Islam tubuh PPI

KUALA LUMPUR 12 Julai - Para peguam Islam bersepakat menubuhkan Peguam Pembela Islam (PPI) berikutan tindakan pihak-pihak tertentu mempersoalkan status Islam negara ini.

Pengerusinya, Zainur Zakaria berkata, PPI berfungsi mempertahankan kedudukan Islam di negara ini mengikut undang-undang dan perlembagaan negara.

''Ada pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan status Islam negara ini dengan menggunakan hujah-hujah hak individu lebih tinggi daripada Islam.

''Serangan ini semakin meluas dan berani," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Peguam-Peguam Islam Majlis Peguam dan Peguam-Peguam Mahkamah Syariah, di sini hari ini.

Lebih 150 peguam Islam menghadiri perjumpaan tertutup itu yang berlangsung selama tiga jam.

Zainur yang enggan menjelaskan siapa pihak tertentu dimaksudkan itu berkata, sejak kebelakangan ini Islam sering diperlekehkan.

''Kita hari ini berbincang serta mengambil tindakan mempertahankan kedudukan Islam di negara ini," katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan perjumpaan itu turut membincangkan beberapa kes berkaitan orang Islam yang murtad.

Pertikaian jaga harta anak Ghafar ke mahkamah

Oleh SUWARNI MOKHTAR


D. Heryati Abdul Karim bersama anaknya, Kartika Sri di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Julai - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 22 September depan untuk mendengar hujah bantahan awal permohonan hak penjagaan bersama harta anak bongsu Allahyarham Tun Ghafar Baba, Kartika Sri.

Hakim Zulfikri Yasoa berkata, sekiranya ada sebarang kata putus dicapai oleh kedua-dua belah pihak, perkara tersebut hendaklah disebut di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Beliau memutuskan tarikh itu selepas peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Salmah @ Sally Ghafar, 55, dan Hamidah Abdul Ghafar, 48, selaku pemohon memberitahu, bahawa kedua-dua belah pihak mungkin akan menyelesaikan segala pertikaian di luar mahkamah.

Peguam syarie, Datuk Muhamad Burok yang mewakili responden, D. Heryati Abdul Karim, 45, yang menyokong hujah Kamar Ainiah turut memaklumkan bahawa responden telah menghantar afidavit jawapan serta dua bantahan berhubung isu locus standi (hak di sisi undang-undang) kepada pemohon.

Pada prosiding hari ini, Salmah dan Hamidah tidak hadir manakala Heryati tiba di mahkamah 15 minit selepas kesnya dipanggil bersama dengan Kartika Sri dan seorang lagi anaknya.

Kartika Sri, 10, anak tunggal Allahyarham bersama Heryati berada di bawah penjagaan ibunya selepas kematian Allahyarham sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 9 Ogos 2004.

Hakim Syarie Abu Bakar Ahmad pada masa itu memutuskan bahawa hak penjagaan diserahkan kepada Allahyarham tetapi sekiranya berlaku sebarang musibah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu, maka hak penjagaan anak bongsunya diserahkan kepada bekas isterinya.

Kartika Sri menerima pencen Allahyarham dari Jabatan Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbendaharaan Melaka sebanyak RM17,000 sebulan.

Pada 30 Mei lalu, Salmah dan Hamidah memohon hak penjagaan bersama menguruskan harta wang pencen terbitan Allahyarham yang diterima oleh Kartika Sri.

Mereka juga memohon agar wang pencen tersebut dimasukkan atau dibayar melalui Akaun Amanah atas nama bersama pemohon-pemohon dan responden.

Allahyarham Tun Ghafar kembali ke rahmatullah pada usia 81 tahun pada 23 April lalu akibat komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang. Beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini.

Pelajar ditegah berserban -- Bukan sebahagian daripada pakaian seragam sekolah – Hakim


RAYUAN ditolak... (Dari kiri) Mior Atiqulrahman Ishak, Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad Johari dan adiknya Syed Ahmad Syakur hadir di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya semalam bagi mendengar keputusan rayuan mereka berhubung kes memakai serban ke sekolah. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED.
UM-13/7/2006

PUTRAJAYA 12 Julai - Islam bukan hanya setakat serban dan janggut, demikian menurut Mahkamah Persekutuan ketika menolak rayuan tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Serting di Negeri Sembilan yang dibuang sekolah sembilan tahun lepas kerana enggan menanggalkan serban mereka.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad sebulat suara dalam keputusan mereka bahawa bukan semua amalan atau cara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. mengikat umat Islam dari segi undang-undang atau agama, malah ada yang bukannya menjadi pilihan dan untuk diikuti.

Dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed berkata, bahawa daripada pandangan Islam, amalan memakai serban bukannya satu perkara besar, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak bawah umur.

''Daripada apa yang saya dapat pastikan, al-Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban. Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi.

''Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman baginda?" kata Abdul Hamid dalam penghakimannya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Kamaruddin Kamsun.

''Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian," kata Abdul Hamid.

Katanya, serban bukan hanya dipakai oleh orang Arab.

Orang lain yang tinggal di padang pasir seperti kaum Afghan dan Parsi juga memakai serban, katanya.

''Malah, sesiapa sahaja yang pergi ke Mekah akan dapati bahawa sehelai kain, biar atas nama apa sekalipun untuk menutup kepala dan muka daripada panas matahari, cuaca kering dan debu, amat berguna.

''Sekarang ini, berdasarkan reka bentuk dan cara memakainya, serban melambangkan bangsa pemakainya, umpamanya sama ada mereka itu orang Arab Saudi, Afghan, dari Sudan, dari Oman dan sebagainya. Serban telah menjadi sebahagian daripada pakaian rasmi negara ini.

''Apa yang turut menarik ialah sehingga sekarang ini pun tidak ramai daripada mufti kita dan hampir tiada hakim Mahkamah Syariah memakai serban," kata Abdul Hamid.

Pelajar-pelajar itu, Meor Atiqulrahman Ishak serta Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad Johari dan adiknya Syed Ahmad Syakur, masing-masing berumur 11, 9 dan 8 tahun ketika itu, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 2004 yang mendapati guru besar sekolah berkenaan mempunyai kuasa untuk menyingkir mereka daripada sekolah kerana enggan menanggalkan serban.

Menerusi penjaga dan bapa mereka, Syed Ahmad Johari Syed Mohd, mereka menyaman guru besar itu, Fatimah Sihi, selain menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Pada 6 Ogos 1999, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Mohd Noor Abdullah membatalkan arahan penyingkiran ketiga-tiga pelajar itu, yang dibuat pada 10 November 1997, kerana mendapati Fatimah tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Keputusan Hakim Mohd Noor bagaimanapun diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 22 November 2004.

Dalam penghakiman hari ini, Hakim Abdul Hamid berkata, persoalan yang timbul ialah sama ada Peraturan-Peraturan Sekolah 1997 yang melarang pemakaian serban oleh pelajar sebagai sebahagian pakaian seragam sekolah, melanggar atau tidak Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

''Pada pendapat saya, sama ada sesuatu amalan itu sebahagian atau bukan sebahagian daripada sesuatu agama itu bukanlah satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan. Saya lebih suka kepada pendekatan berikutnya.

''Pertama, mesti ada agama. Kedua, mesti ada amalan. Ketiga amalan itu adalah amalan agama berkenaan.

''Setelah semuanya dibuktikan, mahkamah perlu pula menimbang mengenai pentingnya amalan itu kepada agama. Di sinilah persoalan sama ada amalan itu berbentuk wajib atau bahagian yang penting kepada agama itu atau ia tidak menjadi relevan," katanya.

Beliau berkata, jika amalan itu berbentuk wajib atau menjadi sebahagian penting agama itu, mahkamah perlu memberinya lebih perhatian, dan jika tidak, serta berdasarkan tahap pentingnya, mahkamah tidak perlu sangat mengambil kira.

''Larangan bagi amalan yang wajib seharusnya dilihat secara lebih serius lagi berbanding larangan kepada amalan yang sunat. Walaupun jika kita menerima pendapat bahawa memakai serban adalah sunat, ia tidaklah setaraf solat sunat," katanya.

Hakim Abdul Hamid berkata, faktor kedua yang diambil kira oleh mahkamah adalah sejauh mana larangan itu dibenarkan oleh peraturan.

Dilarang

''Pelajar-pelajar itu dilarang memakai serban sebagai sebahagian daripada pakaian seragam sekolah. Mereka tidak dilarang memakainya pada masa yang lain. Malahan, di sekolah, mereka tidak dilarang memakai serban ketika bersolat.

''Patutkah mereka dibenarkan memakai jubah semasa bermain bola sepak kerana amalan Rasulullah ialah memakai jubah?'' katanya.

Lagipun, kata Hakim Abdul Hamid, tidak ada apa-apa yang menyekat perayu daripada berpindah ke sekolah lain, umpamanya ke sekolah pondok, yang membenarkan mereka memakai serban.

''Kita tidak boleh ketepikan sistem pendidikan kita yang membantu membentuk minda kanak-kanak Malaysia membesar menjadi rakyat Malaysia. Tokoh-tokoh pendidikan kita perlu diberi pujian dan rasa hormat kerana merangka beberapa peraturan sekolah demi kepentingan semua pelajar, masyarakat dan negara akhirnya.

''Lihatlah kepada tiga perayu ini. Semasa zaman mereka membesar, apabila mereka sepatutnya hadir ke sekolah dengan berdisiplin dan menghormati guru, mereka disuruh menghabiskan zaman itu dengan cara yang berbeza daripada pelajar lain, tidak mengendahkan peraturan sekolah, mengingkari guru, menentang pihak berkuasa, semata-mata kerana Syed Ahmad, yang disifatkan oleh hakim yang mengendalikan kes itu sebagai 'angkuh', yang mahu ketiga-tiga perayu itu memakai serban ke sekolah kerana serban itu adalah lambang keluarganya.

''Mengambil kira semua faktor ini, saya dapati Peraturan-Peraturan Sekolah 1997 tidak melanggar Perkara 11 (1) Perlembagaan," kata Abdul Hamid.

Hakim Abdul Malek Ahmad dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim, yang bersidang bersama-sama dengan Hakim Abdul Hamid, bersetuju dengan keputusan itu.

Perayu diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Muhammad Firdaus Zakaria manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Azizah Nawawi mewakili responden.

– Bernama

Tuesday, July 11, 2006

Isteri Didakwa Tukar Agama Dibenar Tuntut Fasakh

KUALA LUMPUR 10 Julai - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan tuntutan fasakh (cerai) seorang wanita terhadap suaminya, seorang rakyat Britain yang mendakwa bekas isterinya itu telah memeluk agama Kristian.

Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin membenarkan tuntutan Amnah Shaari, 41, yang berkahwin dengan Roderick John Brooks @ Roderick Yusof Abdullah, 60, pada 8 Jun 1992 di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur, Selangor.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 12 April tahun lalu, Amnah mengemukakan tuntutan itu dengan alasan bahawa Roderick Yusof tidak menunaikan nafkah batin sejak lapan tahun lalu, cuai dan tidak memberikan nafkah zahir selama lebih tiga bulan, menganiaya dan menyebabkan kehidupannya menderita, berkelakuan sumbang serta tidak bermoral.

Pasangan itu berkahwin kira-kira enam bulan selepas Roderick Yusof memeluk agama Islam.

Sepanjang pernikahan mereka, pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Hakim Syarie Zulfikri Yasoa menetapkan 2 Oktober ini hujahan lisan kedua-dua pihak berhubung dakwaan Roderick yang menyatakan Amnah telah menukar agama kepada Kristian.

Roderick Yusof pada 7 Februari lalu mengemukakan permohonan perisytiharan sama ada Amnah seorang Islam atau Kristian pada tarikh pernikahan mereka berdua.

Amnah bagaimanapun telah memfailkan notis bantahan memohon supaya permohonan Roderick Yusof ditolak.

Amnah diwakili oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Roderick Yusof.

Dalam permohonannya, Roderick Yusof mendakwa, Amnah yang pernah menetap di Amerika Syarikat telah memeluk agama Kristian pada 23 September 1988.

Lelaki itu yang menetap di negara ini di bawah program 'Malaysia Sebagai Rumah Kedua' mendakwa, dia ada menerima maklumat daripada penyiasat di Amerika yang mengesahkan pertukaran agama Amnah tersebut.

Amnah dalam afidavit sokongannya pula menegaskan bahawa dia masih menganut agama Islam, ibu bapanya beragama Islam dan dia berpegang teguh kepada ajaran Islam dan menunaikan kewajipan solat serta berpuasa dari dahulu hingga kini.

''Saya tidak pernah mengisytiharkan diri saya ataupun membuat apa-apa permohonan di mana-mana Mahkamah Syariah atau pun Sivil untuk keluar daripada Islam,'' kata Amnah.

Wanita itu turut menyatakan bahawa kandungan Laporan Keahlian Gereja bertarikh 6 Mac 2005 yang kononnya dia telah menukar agama kepada Kristian pada 23 September 1988 di Church of Latter Day Saint adalah tidak benar sama sekali.

Tokoh Korporat Mohon Pengesahan Lafaz Cerai

KUALA LUMPUR 10 Julai - Tokoh korporat, Tan Sri Mohd. Ibrahim Mohd. Zain telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dengan Puan Sri Susi Nurani Razikin di Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas isterinya itu mempersoalkan perkahwinan beliau dengan seorang wanita Filipina, 16 tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 22 Jun lalu, Mohd. Ibrahim, 63, mendakwa, beliau melafaz dan menandatangani satu dokumen dengan niat menceraikan Susi Nurani, 44, pada pukul 3.10 petang, 21 Jun lalu di ibu negara.

Lafaz cerai itu berbunyi seperti berikut:

"Saya, Mohd. Ibrahim Mohd. Zain dalam keadaan sedar dan waras, pada hari ini dengan rela hati menceraikan isteri saya, Susi Nurani Razikin dengan talak satu.''

Menurut pernyataan tuntutan itu, Mohd. Ibrahim menyatakan beliau bernikah dengan Susi Nurani secara sah pada 6 Jun 2002.

Pasangan tersebut tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Pada prosiding hari ini, Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd. Hamid menetapkan 24 Julai ini sebutan semula permohonan itu bagi memberi peluang kepada Susi Nurani selaku defendan menjawab pernyataan tuntutan Mohd. Ibrahim.

Abdul Shukor juga menetapkan 27 Julai ini untuk mendengar permohonan Mohd. Ibrahim bagi membatalkan permohonan Susi Nurani yang ingin mendapatkan perintah agar perkahwinan antara tokoh korporat itu dengan Crystal Desiree Raymond Abdullah, 51, difaraqkan (dipisahkan) mengikut Seksyen 10(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Permohonan itu dikemukakan setelah Susi Nurani, seorang perunding perniagaan sangsi dengan perkahwinan Mohd. Ibrahim dan Crystal di Pulau Phuket, Thailand pada tahun 1990.

Ini kerana, Susi Nurani mendakwa, pernikahan antara Mohd. Ibrahim dan Crystal dilangsungkan tanpa mengikut hukum syarak memandangkan wanita Filipina tersebut waktu itu dikatakan masih belum memeluk agama Islam.

Ia berdasarkan kepada rekod yang menunjukkan bahawa Crystal memeluk agama Islam pada 12 Ogos 1995 di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Mohd. Ibrahim pula dalam notis membatalkan permohonan itu memberi alasan bahawa Susi Nurani tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memulakan kes faraq kerana beliau telah menceraikan Susi Nurani pada 21 Jun lalu.

Mohd. Ibrahim turut menyatakan perkahwinannya dengan Crystal tidak perlu dipertikaikan kerana telah disahkan dan didaftar secara sah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surat perakuan nikah telah pun dikeluarkan.

Mohd. Ibrahim adalah tokoh korporat yang pernah atau masih memegang jawatan dalam pelbagai syarikat termasuk Amanah-Chase Merchant Bank Berhad, Metrojaya Berhad, Pan Malaysia Industries Berhad (PMI), KNK Kenanga Holdings Bhd. dan Semantan Capital Sdn. Bhd.

Mohd. Ibrahim diwakili peguam syarie, Zulkifli B.C.Yong dan Normawaddah Ramli manakala peguam syarie Aziani Resaman mewakili Susi Nurani.

Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor, hari ini turut menangguhkan pada 18 September ini bagi permohonan Susi Nurani berhubung pindaan cerai kepada hidup bersama semula dengan suaminya, Mohd. Ibrahim.

Hakim Syarie, Saharuddin Selamat membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh peguam Rubiah Jaafar bahawa wujudnya perkembangan baru iaitu permohonan Mohd. Ibrahim untuk menceraikan Susi pada 22 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Erra, Yusry Sah Cerai Talak Satu

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES


ERRA Fazira dan Yusry masih akrab dan pulang bersama menaiki sebuah kereta selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam mengesahkan penceraian mereka.


PETALING JAYA 10 Julai - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memutuskan gugur talak satu ke atas penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira ekoran lafaz yang diucapkan oleh bekas suaminya, pelakon dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 26 April lalu.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad berpendapat berdasarkan lafaz yang dibuat oleh Yusry, 33, pada pukul 5 petang 26 April lepas di kediaman mereka di Damansara Utama, telah jatuh talak satu rajie ke atas Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 32.

Sehubungan itu, Ghazali memerintahkan supaya Erra beredah tiga kali suci termasuk suci ketika bercerai.

Sepanjang Ghazali membacakan penghakiman bertulis mulai pukul 3.40 petang, pasangan itu yang diminta supaya berdiri kelihatan sering berpandangan.

Riak-riak kesedihan jelas tergambar di wajah apabila air mata kelihatan bergenang-genang di kelopak mata mereka sejurus mahkamah mensabitkan jatuhnya talak.

Pasangan itu telah diijabkabulkan pada 15 Jun 2003.

Berdasarkan persetujuan bersama pasangan itu, Ghazali juga memerintahkan supaya Yusry selaku plaintif membayar nafkah edah sebanyak RM2,000 sebulan selama tiga bulan yang berjumlah RM6,000 kepada Erra.

Dalam penghakiman bertulis hakim itu turut menyebut, Erra dan Yusry dikehendaki memenuhi prosedur biasa selepas bercerai misalnya membatalkan sijil nikah dan mendaftarkannya di mahkamah.

Yusry diwakili peguam syarie, Fahda Nur Ahmad Kamar.

Mengenakan sepasang kebaya bercorak hitam putih dan berselendang hitam manakala Yusry berkemeja biru gelap berjalur-jalur masih secocok apabila hadir dan pulang bersama-sama menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam jenis Mercedes-Benz.

Yusry mengemukakan permohonan bagi membuat pengesahan lafaz cerai yang diucapkannya di luar mahkamah.

Dalam prosiding 16 Jun lalu, Yusri memberitahu terdapat tiga lafaz yang dibuat oleh beliau iaitu dua dalam bentuk tulisan dan satu lagi telah diucapkannya kepada Erra.

Menurut Yusry ketika menulis lafaz (pertama), beliau tiada niat (menceraikan), cuma untuk menjelaskan. Namun ketika melafazkannya, saya memang berniat untuk menceraikan Erra.

Kata Yusry, lafaz tersebut dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan mana-mana pihak. Dua rakannya, Syed Abu Bakar Syed Agil dan Faizal Muhaiyin mendengar dan menjadi saksi, lafaz yang dibuatnya.

Erra pula pada tarikh lalu mengesahkan yang beliau berada dalam keadaan suci dan dalam tempoh tersebut, mereka tiada hubungan kelamin.

Pada 7 Disember 2005, Erra dan Yusry membuat pengakuan terbuka kepada media bahawa mereka sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.

Pasangan tersebut yang ditemui pemberita di luar mahkamah sejurus prosiding selesai berkata, mereka merasa lega dan bersyukur kerana semuanya telah selesai.

Erra: "Kini saya rasa lebih tenang. Kami akan berkawan baik buat selamanya."

Disoal mengenai pembahagian harta, pasangan itu mengesahkan isu tersebut tidak timbul.

Salah Laku Sosial Remaja Meningkat Dalam Tempoh 10 Tahun

UM-12/7/2006

KUALA LUMPUR 11 Julai - Salah laku sosial di kalangan remaja dalam negara, termasuk membabitkan perbuatan keluar hingga larut malam dan merokok, meningkat agak ketara dalam tempoh 10 tahun, menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat (KPKM-4) 2004.

Pengarah Bahagian Kependudukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPKN), Rohani Ab Razak berkata, kajian mendapati bahawa peratus remaja yang keluar hingga larut malam meningkat daripada hanya 2.3 peratus pada tahun 1994 kepada 15.3 peratus pada tahun 2004.

"Bagi perbuatan merokok pula, peratus remaja yang terlibat hanya 3.2 peratus pada 1994 dan meningkat kepada 9.8 peratus pada tahun 2004," katanya pada majlis taklimat mengenai kajian itu di sini, yang diadakan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia yang diraikan di serata dunia hari ini, yang bertemakan `Young People'.

Beliau berkata, para responden yang ditemuramah bagi menjayakan kajian itu bagaimanapun sudah dilarang oleh ibu bapa supaya tidak mengulangi perbuatan salah laku tersebut.

Rohani berkata, kajian itu dilakukan setiap 10 tahun sekali sejak tahun 1974, dan kali ini ia menggunakan sampel remaja berumur 13 hingga 24 tahun dengan 3,394 orang ditemuramah, 1,762 darinya terdiri daripada kalangan remaja dari Semenanjung manakala 916 lagi dari Sabah dan 716 dari Sarawak.

Beliau berkata, maklumat responden ini merupakan sebahagian daripada laporan yang akan dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di satu persidangan di Kuala Lumpur September ini.

"Ini termasuk maklumat yang lebih terperinci mengenai penglibatan remaja dalam aktiviti lucah, seks luar nikah, seks sejenis serta menjadi mangsa perkosa," katanya.

"Satu lagi isu yang akan dibincangkan (pada persidangan nanti) ialah kahwin lewat di kalangan rakyat Malaysia.

"Kajian mendapati penduduk bujang yang berumur 25-34 tahun dalam negara adalah sebanyak 30.8 peratus di Semenanjung, 25 peratus di Sabah dan 26.9 peratus di Sarawak," katanya.

Rohani berkata, berdasarkan data yang dikumpul, umur minimum perkahwinan pertama bagi kaum lelaki ialah 28.9 tahun bagi di Semenanjung, 27.4 bagi Sabah dan 27.9 bagi Sarawak, manakala perempuan pula adalah pada usia 25.3 tahun bagi Semenanjung, dan 23.8 bagi Sabah serta Sarawak. - Bernama

Wednesday, July 05, 2006

Kes Lina Joy Melibatkan Undang-Undang Perlembagaan

UM-5/7/2006

PUTRAJAYA 4 Julai - Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini berkata, panel hakim menyedari bahawa rayuan seorang wanita yang mengaku murtad, Lina Joy untuk memadamkan perkataan Islam daripada Mykad adalah berkaitan perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.

''Oleh itu, pihak-pihak yang terlibat pastinya ingin satu keputusan yang segera berhubung perkara tersebut.

''Kami akan menyampaikan keputusan secepat mungkin pada tarikh yang akan ditetapkan kelak," katanya.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada para peguam yang berhujah dengan terperinci pada prosiding rayuan itu.

Hakim Ahmad Fairuz yang sidang mendengar rayuan itu pada hari keempat di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas peguam perayu dan pihak responden mengakhiri penggulungan hujah mereka.

Hakim Ahmad Fairuz bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd. Sheriff dan Datuk Richard Malanjum.

Pada prosiding hari ini, Persatuan Peguam-Peguam Syarie menyertai senarai peguam pemerhati diwakili oleh presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar.

Lina Joy atau nama asalnya, Azalina Jalani, 42, diwakili oleh peguam Datuk Dr. Cyrus Das merayu terhadap penghakiman majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan untuk memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Rayuan

Dalam rayuan, Lina Joy menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai pihak responden pertama, kedua dan ketiga.

Beliau mendakwa pihak responden enggan membuat deklarasi mengenai haknya untuk mengamalkan agama pilihan iaitu Kristian.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mewakili Kerajaan dan Ketua Pengarah JPN ketika menggulung hujah menyatakan pihaknya tidak bersetuju dengan pendirian sebahagian para peguam pemerhati yang menyokong rayuan Lina Joy.

Umi Kalthum berkata bahawa Lina Joy adalah seorang Islam sehinggalah statusnya itu ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

''Jika keputusan itu belum dibuat maka dia masih seorang Islam dan undang-undang untuknya ialah Undang-Undang Islam," kata Umi Kalthum.

Bagi mengukuhkan hujahnya, Umi Kalthum merujuk penghakiman Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad berhubung isu murtad melibatkan kes Kamariah Ali.

Kes itu menjelaskan bahawa penentuan yang betul bagi status untuk keluar daripada agama Islam ialah membuat permohonan mengikut undang-undang syariah dan ia adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Cyrus Das yang juga mengakhiri hujahnya, menyatakan apa yang dibentangkan oleh Sulaiman Abdullah mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan adalah sebagai pandangan lama dan bukan perkara baru dalam perlembagaan.

Selain itu, Cyrus Das mempersoalkan bahawa Wilayah Persekutuan tidak ada peruntukan undang-undang melibatkan murtad.

Katanya, kesilapan asas para peguam yang mewakili pihak responden ialah gagal untuk menilai hak yang diperuntukkan dalam Artikel 11 Perlembagaan.

Mahkamah Syariah Tentukan Ganti Rugi Tuntutan Mungkir Janji Perkahwinan

BH-5/7/2006

PERJANJIAN untuk berkahwin atau lazimnya disebut sebagai pertunangan dalam budaya Melayu bukan satu kontrak perkahwinan. Pertunangan tidak menghalalkan perhubungan intim antara lelaki dan wanita.

Oleh itu pasangan yang bertunang masih lagi perlu menjaga adab dan aurat apabila bersama. Hukum syarak tidak menghalalkan perhubungan semata-mata atas dasar pertunangan. Tanggapan bahawa selepas bertunang, pasangan itu boleh ke mana saja dan melakukan perkara tertentu sebenarnya tidak mempunyai asas di dalam hukum syarak dan ia suatu dosa. Oleh itu pasangan kekasih yang berdua-duaan walaupun sudah bertunang sebenarnya melakukan maksiat dan dimurkai Allah.

Dalam pertunangan pula ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi apabila sesuatu pertunangan itu hendak dilangsungkan antaranya ialah:

a) Wanita yang hendak ditunangkan itu bukan isteri seseorang. Bertunang dengan tunang orang lain juga adalah berdosa dan kebanyakan ulama mengatakan ialah tidak sah, haram dan batal;

b) Pertunangan antara lelaki dan wanita yang mempunyai hubungan mahram juga adalah tidak sah;

c) Pertunangan tidak boleh dilaksanakan antara lelaki dan wanita sekiranya wanita itu masih lagi berada dalam tempoh edah akibat diceraikan ataupun kematian suami;

Hikmah pertunangan adalah jelas iaitu bagi menjaga keharmonian masyarakat agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Ia juga dapat menjauhkan seseorang dari menyakiti saudaranya yang lain dengan cara mengahwini tunangan saudaranya.

Hormat menghormati hak antara satu sama lain amat ditekankan di dalam Islam. Seseorang Muslim tidak dibenarkan bertunang atau mengahwini tunangan saudara seagamanya.

Hanya apabila pertunangan diputuskan barulah lelaki lain boleh masuk meminang wanita terbabit. Itupun tidak bermakna hukum syarak membenarkan seseorang itu menghasut supaya pertunangan terdahulu itu diputuskan semata-mata dengan harapan orang itu boleh dipinang olehnya.

Perkara sebegini juga amat dibenci Allah kerana boleh mencampakkan seseorang itu kepada kehinaan kerana menyakiti saudara seagamanya.



Apabila suatu perjanjian dibuat maka kedua belah pihak adalah terikat dengan perjanjian itu. Memungkiri perjanjian itu akan mengakibatkan pihak yang satu lagi itu akan menanggung kerugian dan sebagainya.

Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah."

Seksyen 15 di atas bermakna sekiranya satu daripada pihak mungkir untuk berkahwin selepas suatu perjanjian yang sah dibuat tanpa sebab yang dibenarkan syarak sedangkan pihak yang satu lagi itu bersedia untuk berkahwin dengannya maka pihak yang mungkir itu perlu:



a) Memulangkan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang satu lagi ataupun jika tidak dapat memulangkannya maka perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;

b) Menanggung perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin itu di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perkahwinan itu dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh menuntut remedi itu di Mahkamah Syariah melalui seksyen 15 Akta yang disebut di atas.

Bagaimanapun, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15.

Perlu dijelaskan di sini seksyen 15 di atas tidak memberi peruntukan secara spesifik untuk menuntut ganti rugi atas perasaan malu pihak yang dimungkiri untuk dikahwin itu.

Seksyen 15 hanya mengehadkan kepada dua perkara yang dinyatakan di atas saja. Oleh itu, persoalan timbul sama ada boleh menuntut ganti rugi itu ataupun sebaliknya dan mahkamah manakah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar persoalan sedemikian.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak mempunyai peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak seperti dalam sembilan negeri lain di Malaysia.

Peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak membawa maksud bahawa mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan yang tidak selaras dengan hukum syarak adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu dan jika ada lakonan atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata di dalam Akta, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.

Peruntukan sebegini boleh memberi kesan bahawa tuntutan ganti rugi kemungkiran perkahwinan boleh dituntut di Mahkamah Syariah dengan syarat ia boleh dibuktikan tidak berlawanan dengan hukum syarak walaupun tiada peruntukan spesifik mengenainya.

Pihak yang menuntut di Mahkamah Syariah itu hendaklah meyakinkan Mahkamah Syariah bahawa tuntutannya itu tidak tersasar dari apa yang digariskan di dalam hukum syarak sebelum mahkamah boleh memberikan perintah pihak yang mungkir itu membayar ganti rugi akibat perasaan malu yang ditanggungnya selepas diputuskan pertunangan tanpa sebab yang sah.

Namun, beban pembuktian diletakkan kepada pihak yang menuntut bagi membuktikan bahawa ia tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Mahkamah yang berhak membicarakan tuntutan sebegini pula tentulah Mahkamah Syariah seperti yang termaktub di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang menjelaskan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar perkara berhubung pertunangan, perkahwinan dan sebagainya.

Oleh itu, Mahkamah Sivil tidak berbidang kuasa bagi membicarakan tuntutan berkaitan dengan hal ehwal pertunangan ini. Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga mengeluarkan Mahkamah Sivil daripada mempunyai bidang kuasa membicarakan perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ke atas sesuatu perkara itu.





Artikel ini sumbangan dari Persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia (PGSM). Pandangan dan persoalan boleh dikemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my

Tuesday, July 04, 2006

Hukum Haram ‘Bayi Rekaan’ Tidak Mutlak


Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid.
UM 4/7/2006

SETIAP pasangan yang berkahwin amat berharap mendapat zuriat kerana anak disifatkan sebagai penyeri rumah tangga. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah dalam firmannya, Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia. (Al-Kahfi: 46)

Selaras dengan kemajuan sains dan teknologi sekarang, pelbagai kaedah mendapatkan anak berjaya dihasilkan termasuk kaedah permanian beradas, bayi tabung uji dan ibu tumpang. Terbaru ialah teknologi 'Diagnosa Genetik Pra-Implantasi' atau lebih popular dengan panggilan 'bayi rekaan'. Kaedah ini membolehkan ibu bapa merancang jantina bayi yang bakal dilahirkan.

Ia adalah prosedur yang mengandungi ujian dan pemilihan jantina sama ada lelaki dan perempuan. Ibu bapa juga boleh memilih ciri-ciri seperti ketinggian, rambut, warna mata dan kecerdasan.

Bagi mengupas persoalan ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. SHARIFUL HAFIZAL AMINUDDIN menemu bual pensyarah Jabatan Usul dan Fiqh, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid.

Apakah pandangan Islam terhadap kemajuan sains dan teknologi dalam bidang kejuruteraan genetik?

MAHMOOD ZUHDI: Secara umumnya Islam mengalu-alukan kemajuan sains dan teknologi. Sepatutnya umat Islam juga berfikir selaras dengan kemajuan tersebut. Ini kerana sains dan teknologi tidak pernah bertentangan dengan agama kita.

Cuma dalam aspek amalan perlu ada batas supaya tidak mencampuri urusan semula jadi yang telah ditetapkan oleh Allah. Apabila berlaku pertentangan maka ketika itu pengamalannya mesti dihentikan.

Apakah pandangan Islam terhadap teknologi terbaru yang disebut 'bayi rekaan'?

Untuk dijadikan polisi umum, ulama tidak membenarkan penggunaan teknologi ini kerana ia secara langsung mengacau proses semula jadi yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.. Ia mengganggu sistem taburan jantina masyarakat. Polisi ini juga termasuk melakukan pembedahan plastik dan menukar jantina. Begitu juga dengan proses sehingga membolehkan kaum lelaki mengandung dan mengeluarkan telur. Ini juga diharamkan dalam agama kita.

Sebabnya ada kebimbangan penggunaan teknologi itu membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Bagaimanapun, dalam kes tertentu yang melibatkan individu ulama berbeza pendapat. Apabila berbeza pendapat, ia diharuskan dan hukumnya ditentukan mengikut kes individu. Apa yang penting ialah perlunya kepada kawalan yang sangat ketat oleh mereka yang pakar seperti doktor dan juga para ulama.

Penggunaan teknologi ini bukan pula menentang ketentuan Allah kerana sains dan teknologi juga mengikut ketentuan Allah. Contohnya, ketentuan Allah beras sifatnya keras dan berbiji. Mengapa kita rendam dalam air dan memasaknya? Ini bermakna kemajuan sains membantu kita dari segi mendapat makanan.

Dalam keadaan darurat bagaimanakah dibenarkan menggunakan teknologi 'bayi rekaan' ini?

Dalam Islam ada kelonggaran atau rukhsah dalam kes-kes tertentu. Keperluan itu pula sangat mendesak di mana jika tidak dilakukan boleh mendatangkan mudarat atau kerugian yang banyak kepada seseorang. Saya lebih cenderung kepada pendapat jika ia dilakukan kepada individu ia patut dibenarkan.

Contohnya, seorang jutawan yang tidak mempunyai anak lelaki. Apabila dia meninggal dunia ada kemungkinan satu pertiga daripada hartanya akan diserahkan kepada pihak berkuasa atau Baitulmal. Dalam keadaan ini, pertimbangan boleh diberi untuk individu tersebut menggunakan kaedah ini. Tetapi ia memerlukan kawalan yang amat ketat termasuk setelah dikeluarkan fatwa yang membolehkannya menggunakan teknologi 'bayi rekaan' selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Kaedah yang sama digunakan dalam kes menggunakan dadah. Secara amnya guna dadah adalah haram tetapi untuk tujuan perubatan fatwa mengatakan ia boleh. Ini kerana hal-hal begini tidak bertentangan dengan nas secara khusus tetapi ia hanya melibatkan polisi syariat dalam menjaga keharmonian masyarakat dan keluarga.

Maknanya, pengharaman menggunakan teknologi 'bayi rekaan' ini diputuskan untuk masyarakat umum tetapi dalam kes-kes tertentu ia masih boleh digunakan sebagai alternatif. Islam tidak jumud dan tidak menutup langsung kaedah ini sebagai jalan penyelesaian.

Dalam masyarakat kita juga ada petua-petua untuk mendapatkan anak lelaki atau perempuan. Ia dibenarkan berlaku sebab tidak dianggap benar-benar tepat dan ia tidak mengganggu sistem manusia.

Bagaimanakah pula dengan rawatan kesuburan yang dilakukan oleh wanita muslim?

Dalam keadaan begini, kita perlu terima kemajuan sains dan teknologi. Malah kita patut menggunakan kelebihan bidang ini sebagai ikhtiar mendapatkan anak. Dalam Islam, berikhtiar itu perlu dan kita tidak boleh berserah 100 peratus atau hanya berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu tanpa usaha.

Malah Rasulullah pernah bersabda, "Hendaklah kamu berkahwin dengan wanita yang subur dan tidak mandul kerana pada hari kiamat kelak aku berbangga dengan kamu sebagai umat yang paling banyak jumlahnya." (Riwayat Abu Daud)

Segala ikhtiar dan kemajuan teknologi yang boleh meningkatkan sifat semula jadi manusia dibenarkan. Cuma kita menyeleweng dalam menggunakan peluang yang diberi oleh Allah mengikut sifat yang asal. Apa yang penting jangan melampaui batas-batas normal.

Kita ambil contoh pasangan yang mempunyai anak tetapi semuanya lelaki atau perempuan. Dalam hal begini, adakah mereka boleh menggunakan kaedah ini?

Secara prinsipnya kita perlu menerima apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita dan tidak patut mempersoalkannya kerana kebaikan seseorang itu tidak hanya dari satu aspek sahaja. Dalam Islam, tidak ada perbezaan antara anak lelaki dengan perempuan. Tidak semestinya benda yang kita rasa baik itu adalah baik dan benda yang dirasa kurang baik itu tidak baik.

Jika ditakdirkan dikurniakan taburan anak yang tidak begitu digemari sama ada keenam-enam lelaki atau perempuan belum tentu ia tidak memberi kebaikan kepada ibu bapanya. Mungkin seseorang anak itu kurang menyumbang dari segi ekonomi keluarga tetapi dia sangat patuh kepada ibu bapa. Begitu juga mungkin anak itu miskin harta tetapi dia kaya budi.

Apakah nasihat Datuk kepada pasangan muslim yang bermasalah mendapat zuriat walaupun telah melakukan pelbagai ikhtiar?

Golongan ini boleh membuat rayuan kepada pihak berkuasa, cerdik pandai dan Majlis Fatwa supaya jalan keluar yang adil boleh dicapai. Dalam kehidupan kita ada peraturan untuk masyarakat umum tetapi pengecualian tetap ada bagi orang yang sangat memerlukan contohnya dalam kes 'bayi rekaan' ini.

Pasangan yang terlibat jangan rasa peluang mereka tertutup terus disebabkan fatwa mengharamkan 'bayi rekaan' kerana masih ada ruang khusus bagi mereka. Teknologi yang dibantah penggunaannya oleh Islam adalah yang boleh memporak-perandakan sistem yang sedia ada.

Saturday, July 01, 2006

Yusuf Kalla sokong nikah cara mutaah

BH-1/7/2006

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berpendapat tidak salah bagi lelaki Arab membayar wanita tempatan untuk berkahwin sekalipun mereka bertindak menceraikan isteri beberapa hari atau jam kemudiannya.

Malah, beliau membayangkan bahawa perbuatan seperti itu dapat meningkatkan pelancongan di Indonesia, meskipun pengkritik menganggap ia sebagai menghalalkan pelacuran di negara yang didiami paling ramai penduduk Islam dunia itu.

Jusuf membuat kenyataan mengejutkan itu pada seminar industri pelancongan mengenai bagaimana untuk menarik lebih ramai pelancong Arab ke Indonesia. Tidak jelas sama ada beliau bergurau meskipun kenyataannya itu menyebabkan hadirin tertawa.

Jusuf berkata, ramai pelancong Arab kini melancong ke bandar peranginan tanah tinggi Puncak dekat Jakarta kerana di situ ada khidmat menawarkan kontrak perkahwinan jangka pendek dengan wanita tempatan.

�Kita memerlukan kempen pemasaran yang berbeza dan lebih mengkhusus. Ketika ini ramai pelancong Arab pergi ke Puncak. Jika mereka ke sana untuk mencari janda, ia bukan masalah kita. Perkara itu bukan masalah.

�Bagaimana jika apabila lelaki itu pulang dan wanita itu memperoleh sebuah rumah kecil. Bukankah ia suatu perkara yang baik,� katanya.

Aktivis wanita pula menegaskan, perkahwinan seperti itu adalah seumpama menghalalkan pelacuran dan menggalakkan keluarga miskin menjual anak mereka untuk tujuan seks.

Perkahwinan untuk mendapatkan bayaran seperti itu juga tidak diiktiraf oleh undang-undang tetapi direstui oleh segelintir ulama.

Laporan media menyatakan, amalan itu sudah menjadi kelaziman di Indonesia dan kebanyakan daripada pengantin lelaki adalah penduduk tempatan.

Puncak terkenal dengan kegiatan pelacuran dan ada papan tanda dalam bahasa Arab di beberapa restoran dan hotel bagi menarik lebih ramai pelancong Arab.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kenyataan Jusuf Kalla itu hanya merujuk kepada lelaki Arab yang gemarkan perkahwinan singkat.

Naib Presiden Indonesia itu tidak dapat dihubungi semalam untuk mengulas lanjut. Beliau juga tidak mempunyai jurucakap. � AP

Ajaran sesat: Selangor bertindak terhadap VIP, pesara kerajaan

UM-1/7/2006

SHAH ALAM 30 Jun - Kerajaan Selangor kini di peringkat akhir mengumpulkan bahan bukti teknikal bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas pengamal dan pengikut ajaran sesat yang turut dianggotai oleh orang kenamaan dan pesara kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, bukti-bukti teknikal itu termasuk tanah dan bangunan yang digunakan oleh kumpulan ajaran sesat terbabit.

Menurutnya, pihaknya sangat berhati- hati dalam menyiasat kes itu kerana tidak mahu ia digugurkan kerana kekurangan bukti atau bukti tidak kukuh.

''Bukan senang untuk kita mendakwa kumpulan (ajaran sesat) ini. Kita kena kumpulkan semua bukti termasuk bangunan yang digunakan.

''Kerajaan negeri kini sudah semakin hampir untuk memulakan tindakan. Bagaimanapun, lokasi dan bila tindakan akan diambil saya tidak dapat umumkan," katanya.

Perhatian

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ) di Wisma MAIS di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, antara perkara yang diberikan perhatian ketika ini ialah dari bukti bangunan yang digunakan dan tapak serta lokasi perhimpunan kumpulan terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat selain turut meminta kerjasama Jabatan Imigresen dan polis sekiranya ada antara ahli kumpulan itu terdiri daripada pendatang asing.

''Penglibatan agensi-agensi ini amat penting kerana kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan ada ahli yang memiliki senjata api atau senjata tajam yang lain," ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut meminta kerjasama pihak pimpinan masjid dan kampung-kampung untuk memantau kewujudan kumpulan-kumpulan yang mencurigakan dan berselindung di sebalik aktiviti keagamaan di kawasan masing-masing.

''Saya tidak mahu nanti kumpulan-kumpulan ini menguatkan pengaruh mereka dan memecah-belahkan masyarakat Islam di negeri ini," katanya.

Friday, June 30, 2006

Pembiayaan BBA beri hak istimewa pembeli rumah

Pembiayaan BBA beri hak istimewa pembeli rumah

Oleh Abmalek F. Abubakar-UM-30/6/2006


BANYAK telah diperkatakan tentang projek perumahan terbengkalai atau rumah siap yang tidak begitu sempurna disebabkan tidak mengikut spesifikasi.

Dianggarkan ramai pembeli rumah yang menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai telah mendapat pembiayaan daripada institusi yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam melalui pembiayaan perumahan al-Bai Bithaman Ajil (BBA).

Malangnya ramai pembeli yang menggunakan pembiayaan secara BBA ini tidak tahu akan hak mereka sebagai pembeli rumah.

Ramai yang masih berpendapat mereka membeli rumah dengan pembiayaan bank, dan oleh itu mereka berhutang dengan bank, maka hutang itu mesti dibayar dengan apa cara sekalipun. Pembeli mesti faham yang pertalian mereka dengan bank di bawah pembiayaan BBA adalah pertalian di antara pembeli dengan penjual dan bukan pertalian sebagai penghutang dan pemiutang seperti terdapat dalam kaedah pembiayaan konvensional.

Isu yang ingin dibawa penulis di sini ialah kenapa pembeli rumah yang mendapat pembiayaan perumahan mengikut kaedah BBA kena berdepan dengan pemaju apabila rumah yang dibeli tidak dapat diserahkan pada masa yang dipersetujui? Tidakkah pembeli rumah sepatutnya berdepan dengan pihak bank sahaja kerana bank adalah pihak yang menjual rumah kepada pembeli dalam kaedah BBA? Mengikut syariah, dalam urusan jual beli, setiap penjual dan pembeli ada tanggungjawab dan hak masing-masing. Sekiranya mana-mana pihak ingkar pada tanggungjawab masing-masing, maka perjanjian jual beli itu mengikut syariah adalah terbatal dengan sendirinya. Dengan terbatalnya perjanjian jual beli antara bank dengan pihak pembeli, secara logiknya, bank tidak ada hak untuk menuntut bayaran bulanan dengan memotong gaji atau baki daripada akaun pembeli.

Dalam konteks ini kita belum dengar mana-mana bank sebagai penjual yang tampil menunaikan tanggungjawab asas untuk menyerahkan rumah yang dijual kepada pembeli dengan sempurna atau pada masa yang ditetapkan. Dengan tidak rasa bertanggungjawab bank menghala pembeli untuk berurus terus dengan pemaju.

Pihak bank hanya berminat memastikan bayaran bulanan daripada pembeli diterima pada masa yang ditetapkan dan membiarkan saja pembeli berdepan dengan pemaju untuk memastikan rumah boleh diserahkan. Bukankah hak pembeli berurusan hanya dengan penjual (iaitu bank) sahaja dan pihak banklah yang sepatutnya berdepan dengan pemaju?

Jika kita teliti konsep asas pembiayaan perumahan BBA dan dokumen-dokumen yang digunakan untuk mengikat perjanjian antara pembeli dengan penjual, kita akan kenal pasti hak dan tanggungjawab setiap pihak pemaju, pembeli dan bank.

Mekanisme pembiayaan perumahan BBA yang diguna pakai oleh kebanyakan bank di Malaysia melibatkan bakal pembeli rumah akan mula-mula mengenal pasti rumah yang hendak dibeli dan seterusnya ia akan menandatangani perjanjian dengan pemaju atau pemilik hartanah tersebut.

Bakal pembeli rumah kemudian akan memohon kepada banknya untuk kemudahan pembiayaan. Jika permohonan tersebut dipersetujui, pembeli rumah dan pihak bank menangani Perjanjian Pembelian Perumahan (PPA) di mana pihak bank membeli rumah yang telah dikenal pasti itu daripada pemaju bagi pihak pembeli.

Pembelian ini dilakukan pada harga RM X yang merupakan jumlah pembiayaan sebenar yang diberikan bank kepada pembeli.

Pihak bank dan pembeli pada masa yang sama juga bersetuju menandatangani Perjanjian Penjualan Perumahan (PSA) di mana pihak bank menjual rumah yang dibeli itu kepada pembeli pada harga tertentu yang dicampur dengan margin keuntungan kepada bank.

Inilah jumlah sebenar pembeli kena bayar kepada bank secara tertangguh setiap bulan mengikut amaun, cara dan masa yang dipersetujui.

Pembeli juga melaksanakan satu lagi dokumen iaitu caj terhadap hartanah tersebut yang menamakan pihak bank sebagai penerima hak sebagai cagaran kepada pembiayaan tersebut.

Rumusannya di bawah pembiayaan BBA, pembeli memang ada hak untuk menuntut penyerahan rumah yang dibeli daripada penjual (iaitu pihak bank) dan bukan daripada pihak pemaju. Sekiranya pihak bank gagal menyerahkan rumah kepada pembeli pada masa yang dipersetujui maka dengan sendirinya perjanjian di antara bank dengan pembeli terbatal.

Dan pihak bank tidak ada hak lagi untuk memotong baki akaun pembeli bagi tujuan melunaskan pembiayaan perumahan ini.

Malah pembeli ada peluang menuntut ganti rugi daripada bank di atas kegagalan penyerahan rumah yang dibeli pada masa yang ditetapkan.

JPN bantu wanita murtad tukar nama Lina Joy

JPN bantu wanita murtad tukar nama Lina Joy

Oleh KAMARIAH AHMAD-UM-30/6/2006


PUTRAJAYA 29 Jun - Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid hari ini berkata, orang Malaysia suka menolong untuk menyelesaikan masalah sebagaimana dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membantu seorang wanita yang ingin menukar namanya sebagai Lina Joy.

''Mereka (JPN) cuba menolong untuk menukar nama, Lina Joy dan mendapatkan pengenalan diri yang baru, MyKad," kata beliau.

Namun, kata Umi Kalthum, apabila Lina Joy memperoleh kad pengenalan atas nama barunya, beliau pula mendakwa JPN telah membuat helah dengan memasukkan perkataan Islam pada MyKadnya.

Umi Kalthum menyatakan demikian ketika berhujah di Mahkamah Persekutuan di sini, membantah rayuan Lina Joy atau nama asalnya Azalina Jalani yang mengaku murtad untuk memohon memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalan, MyKad.

Rayuan itu didengar di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd. Sheriff dan Datuk Richard Malanjum.

Hakim Richard mencelah hujah Umi Kalthum yang menyebut orang Malaysia suka menolong sambil berkata: ''Reader's Digest tidak akan bersetuju dengan Datuk (Umi Kalthum)." Galeri awam kedengaran tergelak.

(Merujuk kajian Reader's Digest, Kuala Lumpur sebagai bandar raya ketiga daripada 35 bandar raya di dunia yang diselidik mempunyai penduduk paling biadap).

Umi Kalthum yang mewakili Kerajaan Malaysia serta Ketua Pengarah Pendaftaran Negara sebagai pihak responden kedua dan ketiga menjelaskan mengenai peruntukan-peruntukan yang diguna pakai oleh JPN bagi permohonan membuat kad pengenalan.

Dalam hujah awalnya, Umi Kalthum berkata, kes murtad di bawah undang-undang Islam hendaklah dikendalikan oleh Mahkamah Syariah.

Beliau menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa untuk mendengar kes murtad yang berkaitan Islam kerana ia di bawah Mahkamah Syariah.

Umi Kalthum juga berpendapat bahawa Lina Joy tidak pernah membawa kes tersebut ke Mahkamah Syariah.

Tambahnya, hanya Mahkamah Syariah mengetahui dan boleh membuat keputusan perkara murtad.

Oleh itu beliau memohon agar rayuan tersebut ditolak dengan kos.

Pada rayuan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dinamakan pihak responden pertama diwakili oleh peguam Sulaiman Abdullah yang dibantu bersama peguam Halimatun Sa'diah Abu Ahmad dan Norhusniah Husin.

Sulaiman yang cuti sakit dijangka membuat hujah bantahan pada Isnin ini.

Lina Joy, 42, diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus Das merayu terhadap penghakiman majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalan.

Beliau mendakwa bahawa pihak responden enggan membuat deklarasi mengenai haknya untuk mengamalkan agama pilihan iaitu Kristian.

Sementara itu Majlis Peguam Malaysia turut diwakili dua peguam pemerhati, Malik Imtiaz Sarwar dan Ang Hean Leng.

Rayuan tersebut turut mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang diwakili oleh peguam pemerhati.

Meera Samanther mewakili Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Pusat Pembangunan Wanita (WDC), Persatuan Tindakan Wanita Malaysia (AWAM) dan Sisters In Islam (SIS).

Persatuan Hak Asasi Kebangsaan (HAKAM) diwakili peguam pemerhati, Ramdas Tikamdas.

Persatuan Majlis Peguam Wanita dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) diwakili peguam pemerhati, Rasamani Kandiah.

Peguam pemerhati, Leonard Teoh Hooi Leong pula mewakili Majlis Perundingan bagi agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Malaysia (MCCBCHS).

Kesemua peguam pemerhati itu yang dibenarkan menyampaikan hujah masing-masing menyokong penuh rayuan Lina Joy.

Thursday, June 29, 2006

Empat syarat untuk suami mohon berpoligami

Hak Muslim: Empat syarat untuk suami mohon berpoligami

BH-29/6/2006
SAYA berkahwin lebih kurang 10 tahun. Kami hidup bahagia selama ini dan dikurniakan dua cahaya mata, seorang lelaki berusia lapan tahun dan seorang perempuan berumur empat tahun. Baru-baru ini, suami menyatakan hasratnya untuk berpoligami dengan rakan sekerjanya. Dia menyatakan jatuh cinta dengan rakan sekerjanya dan tidak mahu melakukan maksiat. Saya ingin tahu apakah kelayakan yang diiktiraf oleh Mahkamah Syariah bagi membenarkan permohonan suami saya berpoligami.


Suami memfailkan permohonan berpoligami di mahkamah dan saya dikehendaki hadir untuk memberi keterangan. Saya juga khuatir suami tidak akan dapat berlaku adil apabila berpoligami nanti.

MAMA,
Petaling Jaya, Selangor.


SEKSYEN 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan cara permohonan untuk berpoligami yang boleh diberikan oleh Mahkamah Syariah. Seksyen ini digubal bertujuan mengelakkan penyalahgunaan poligami sehingga menyebabkan kezaliman wanita.

Mengikut seksyen itu, sesuatu permohonan kebenaran berpoligami, suami perlu membuktikan empat perkara sebelum mahkamah dan mengeluarkan kebenaran berpoligami.

Empat perkara itu ialah:

a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan; atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, seperti dikehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak hukum syarak; dan

d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada.

Keempat-empat syarat di atas hendaklah dibuktikan oleh suami secara satu persatu dan bukan salah satu.

Selepas mahkamah berpuas hati keempat-empat syarat di atas sudah dibuktikan, barulah mahkamah akan mengeluarkan kebenaran kepada suami untuk berpoligami.

Ini bermakna suami bukan saja perlu membuktikan kemampuan beliau menanggung keluarga, malah membuktikan patut atau perlunya perkahwinan yang dicadangkan itu, keupayaan memberi layanan yang adil dan perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menjejaskan isteri atau isteri-isteri sedia ada.

Bagi memuaskan hati mahkamah di dalam membuktikan keempat-empat perkara di atas, menjadi tanggungjawab suami memanggil puan ke mahkamah bagi memberi pandangan puan sama ada bersetuju atau tidak kepada permohonan itu.

Puan boleh membantu mahkamah membuat keputusan yang adil dengan membawa bukti mencukupi bagi menyokong pandangan puan itu.

Suami juga hendaklah memanggil calon isterinya itu jika kebenaran diberikan serta wali kepada bakal isterinya.

Ini bagi memastikan mereka tahu kedudukan suami puan yang telah berkahwin.

Begitu juga kesediaan suami menanggung bakal isteri mengikut syarat yang ditetapkan oleh mahkamah sekiranya kebenaran untuk berpoligami diberikan.

Mana-mana orang lain yang boleh membantu mahkamah dalam membuat keputusan yang adil juga boleh dipanggil untuk memberi keterangan. Mereka termasuk majikan, kawan rapat dan sebagainya.

Puan juga boleh memohon untuk mendapat suatu perintah menghendaki suami membuat pembayaran nafkah kepada puan dan memerintahkan segala harta yang diperoleh secara bersama dibahagikan di antara puan dan suami.

Perkara ini diperuntukkan di dalam seksyen 23(10) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Selangor) 2005.

Daripada tujuan yang puan nyatakan, suami berhasrat untuk berpoligami kerana telah jatuh cinta dengan rakan sekerjanya dan tidak mahu melakukan maksiat dengan perempuan itu.

Berdasarkan peruntukan undang-undang di atas, alasan itu saja mungkin tidak dapat memuaskan hati mahkamah bagi membuktikan keempat-empat perkara yang dinyatakan di atas.

Tambahan pula, Islam mempunyai caranya sendiri untuk mengelak daripada melakukan maksiat.

Nasihatkan suami supaya meminta bimbingan guru agama cara mengelakkan maksiat. Berpoligami saja mungkin tidak dapat mencegah maksiat.

Seperkara lagi, jika suami sudah meninggalkan puan dan tidak berlaku adil lagi, puan sebenarnya boleh memohon kepada mahkamah supaya perkahwinan puan difasakhkan mengikut seksyen 52(h)(iv) enakmen yang sama.

Seseorang perempuan berhak mendapatkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak hukum syarak.

Jika disabitkan aduan puan di mahkamah, maka mahkamah akan memfasakhkan perkahwinan puan dengan suami.

Berfikirlah dengan rasional dan minta pandangan orang yang boleh dipercayai sebelum membuat keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya terhadap permohonan suami.

Puan perlu hadir ke mahkamah bagi membantu mahkamah membuat keputusan yang adil.

Sekiranya puan tidak hadir, maka mahkamah akan terus membuat keputusan tanpa menilai keterangan yang puan sepatutnya berikan.

  • Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi pada admin@pgsm.org.my, faksimile 03-80259495 atau layari http://www.pgsm.org.my/v2
  •  

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text