Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Balu Moorthy fail memorandum rayuan

Oleh Norazlita Mohd. Sies- UM 25/1/2006

PUTRAJAYA 24 Jan. - Balu pendaki Everest, Sarjan M. Moorthy atau nama Islamnya Mohamad Abdullah, S. Kaliammal hari ini memfailkan memorandum rayuan di Mahkamah Rayuan di sini untuk mencabar dan mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kaliammal memfailkan memorandum tersebut di Pejabat Pendaftar mahkamah itu melalui firma guaman Tetuan A. Sivanesan & Co. untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa Khas, Hakim Datuk Md. Raus Sharif pada 28 Disember 2005.

Kaliammal telah menyenaraikan 50 alasan bagi rayuan yang dikemukakannya.

Antaranya, Kaliammal berpendapat bahawa Hakim Md. Raus terkhilaf apabila tidak membuat kesimpulan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada Allahyarham dengan sahnya telah memeluk agama Islam.

Kaliammal juga berpendapat, hakim berkenaan juga terkhilaf kerana tidak membuat kesimpulan bahawa tidak terdapat sebarang keterangan langsung yang konklusif untuk menunjukkan Allahyarham telah menganut Islam.

Beliau turut mengatakan, hakim juga melakukan kesilapan apabila berpendapat Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh mengkaji semula atau mempersoalkan pengesahan perintah yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Kaliammal juga mendakwa bahawa hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak sejajar dengan konsep hak asasi manusia.

Pada 28 Disember 2005, Hakim Md. Raus memutuskan menolak saman pemula Kaliammal dalam usaha mendapatkan deklarasi bahawa suaminya bukan beragama Islam.

Wanita itu menuntut agar jenazah Allahyarham Mohamad dikebumikan menurut adat istiadat agama Hindu.

Pada 22 Disember 2005, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan pihak yang menjaga jenazah Mohamad supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.

Ugut isteri edar video mandi bogel

(UM 25/1/2006)
 
SUBANG JAYA 24 Jan. - Seorang lelaki mengugut akan mengedarkan klip video isterinya yang sedang mandi berbogel jika mangsa terus mendesak untuk meminta cerai daripada suspek dalam kejadian di Taman Putra Heights, Puchong di sini baru-baru ini.

Mangsa yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang itu tidak tahan dengan sikap suaminya itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Putra Heights, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Fuad Talib berkata, sebelum kejadian, suami mangsa dipercayai mengambil klip video isterinya yang sedang mandi dalam keadaan berbogel secara curi.

Menurutnya, ini kerana mangsa dikatakan mendesak suaminya itu agar menceraikan beliau memandangkan suspek telah berkahwin seorang lagi.

``Pada 10 Januari lalu, suspek datang ke rumah mangsa yang juga isteri pertamanya itu dengan keadaan marah-marah lalu memukul di beberapa bahagian badan mangsa.

``Mangsa mendakwa dia selalu dipukul sebelum ini kerana suaminya itu enggan menceraikannya,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek juga dikatakan pernah meminta untuk merakam aksi mereka berasmara bagaimanapun mangsa menolak.

Sehubungan itu, jelasnya, bertindak atas laporan mangsa, polis telah menahan suami wanita itu yang juga seorang penganggur berumur 34 tahun.

``Lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan,'' ujarnya.

Mahkamah Syariah: Bukan Islam boleh dapat keadilan

 

Mahkamah Syariah: Bukan Islam boleh dapat keadilan

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI dan FAUZI JAAFAR-UM 25/1/2006

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes Nyonya Tahir membuktikan orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di mahkamah itu.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga sekali gus menepis tuduhan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah sebelum ini bahawa ia tidak adil kepada bukan Islam kerana tidak dibenarkan mendapat pembelaan di mahkamah itu.

``Itulah tandanya (kes Nyonya Tahir) ada keadilan, bukan dia (Mahkamah Syariah) nak pejam mata tak mahu fikir fakta langsung, asalkan elok untuk Islam.

``Saya setuju (dengan keputusan itu), dulu orang anggap Mahkamah Syariah ini yang bukan Islam tak boleh hadir. Apa yang berlaku di Seremban sebaliknya, bukan Islam boleh hadir, boleh mengemukakan hujah-hujah, boleh menuntut pembelaan,'' katanya.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban semalam bahawa Nyonya Tahir, wanita Melayu beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam semasa kematiannya.

Hakim Mohd. Shukor Sabudin dalam keputusannya juga membenarkan mayat Nyonya yang disimpan di rumah mayat Hospital Tampin sejak kematiannya Jumaat lalu, diserahkan kepada keluarga wanita itu untuk disemadikan mengikut agama Buddha.

Keputusan itu juga berdasarkan afidavit anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt, 40, dan keterangan bersama kakak Ah Fatt, Kwang Ying, 43, di mahkamah itu.

Abdullah yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut gembira dengan keputusan Mahkamah Syariah tersebut.

``Apa yang berlaku di Seremban, alhamdulillah kerana ia membuktikan adanya keadilan di mahkamah berkenaan,'' katanya.

Beliau memberitahu, konsep keadilan diletakkan sebagai perkara paling asas dan paling tinggi dalam agama Islam tanpa boleh diragui lagi.

Abdullah juga menyebut sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: ``Apabila kamu menghakimi antara manusia, kamu hendaklah berlaku adil.''

Jelas beliau, penggunaan perkataan `antara manusia' itu bukan sahaja merujuk kepada orang Islam tetapi turut membabitkan orang bukan Islam.

``Keadilan itu merupakan salah satu nilai yang paling tinggi dalam agama Islam,'' tegas beliau.

Tuesday, January 24, 2006

Mahkamah syariah lindungi hak bukan Islam

Mahkamah syariah lindungi hak bukan Islam


SEREMBAN: Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam, mengisytiharkan Nyonya Tahir, yang meninggal dunia Khamis lalu sebagai bukan Islam ketika kematiannya membuktikan mahkamah syariah bukan saja melindungi hak orang Islam, malah bukan Islam.

Malah, keputusan itu jelas membuktikan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah adalah selari dan relevan dalam menegakkan keadilan kepada semua pihak.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok, berkata keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menolak sebarang desakan pindaan artikel itu adalah tepat dan bijaksana.

"Ini jelas membuktikan mahkamah syariah bukan saja melindungi dan memulihara hak orang Islam tetapi bukan orang Islam dalam menuntut hak serta keadilan masing-masing," katanya.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam yang memutuskan bahwa Nyonya Tahir yang meninggal dunia dan mencetuskan kontroversi berhubung pengebumiannya, diisytiharkan sebagai bukan Islam semasa kematiannya.

Mahkamah mengarahkan mayat Nyonya Tahir, 89, diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut agama Buddha.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Shukor Sabudin selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Muhamad yang menjadi peguam pemerhati pada prosiding itu berkata, kes membabitkan Nyonya patut dijadikan contoh untuk kes seumpamanya pada masa depan terutama dengan kesanggupan waris menjadi saksi dalam mencari keadilan.

Sementara itu, lapan daripada 13 anak mendiang yang hadir di mahkamah semalam, menerima keputusan itu dengan rasa lega sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang amat tepat serta adil.

Malah, mereka turut memuji tindakan mahkamah yang memanggil dan memberi peluang kepada dua adik beradik mereka, Chiang Ah Fatt, 40, dan Chiang Kwai Ying, 43, untuk mengemukakan keterangan serta bukti bahawa ibu mereka bukan Islam.

"Kami amat gembira dan bersyukur dengan keputusan ini. Mahkamah jelas memberi peluang dan keadilan secukupnya kepada kami dalam menuntut dan mendapatkan hak kami iaitu mayat ibu kami.

"Malah, JHEAINS juga banyak membantu dalam menyelesaikan masalah ini dengan baik dan harmoni," kata Kwai Ying selepas keputusan mahkamah.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Zaharuddin Mohd Sharif menyerahkan surat perintah mahkamah kepada anak bongsu Nyonya, Ah Fatt di Hospital Tampin, kira-kira jam 5.50 petang semalam.

Serentak itu juga, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron turut menyerahkan surat kematian dan surat kebenaran pengkebumian kepadanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Mahkamah putus Nyonya Tahir bukan Islam

Mahkamah putus Nyonya Tahir bukan Islam


SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memutuskan, Nyonya Tahir (gambar), 89, yang status agamanya mencetuskan kontroversi ketika meninggal Khamis lalu, bukan beragama Islam ketika kematiannya.

Sehubungan itu, Hakim Mohd Shukor Sabudin mengarahkan mayat wanita itu diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut adat istiadat dan upacara Buddha.

Keputusan itu selepas hakim mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Mohd Shukor berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes berkaitan kepentingan orang Islam, termasuk masalah akidah yang berlaku di negara ini.

Katanya, keputusan itu juga mengambil kira afidavit yang dikemukakan oleh anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt, 40, serta keterangannya bersama kakaknya, Chiang Kwang Ying, 43, di mahkamah semalam.

"Selepas mendengar serta meneliti keterangan waris Nyonya dan bukti yang dikemukakan di mahkamah, mahkamah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, bernombor kad pengenalan 180425-04-5054 @ 02033418 bukan beragama Islam ketika kematiannya.

"Mahkamah membenarkan ahli-ahli waris si mati untuk menguruskan pengebumian mayat berkenaan. Mahkamah mengarahkan Hospital Tampin menyerahkan mayat kepada waris si mati," katanya.

Terdahulu, Mohd Shukor memetik riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar yang bermaksud 'Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat, dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam'.

Nyonya, 89, meninggal dunia kerana sakit tua jam 4 petang Rabu lalu di rumahnya di Taman Indah, Tampin. Status agama Nyonya disedari oleh anggota polis di Balai Polis Tampin apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematian.

Dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha.

Berikutan itu, Jumaat lalu, Ah Fatt memohon keputusan mahkamah bagi menentukan status agama Nyonya dan permintaan keluarganya untuk mengebumikan mayat wanita itu mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Peguam Syarie, Siti Harlina Shahran mewakili plaintif, manakala Koo Chin Nam yang dibantu Kevin Koo S K, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Nyonya.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok, yang juga peguam syarie, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak persatuan itu.

Turut hadir pada prosiding semalam ialah Pengarah JHEAINS, Datuk Zaharudin Mohd Shariff; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah, Datuk Gan Chin Yap; Adun Temiang, Datuk Lee Yuen Fong; Adun Rahang, Datuk Yip Chee Keong dan Adun Chuah, Foo Ming Chee.

Siti Harlina sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ah Fatt, 40, telah mengemukakan afidavit bagi meminta supaya mayat ibunya disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Kandungan afidavit itu antara lain berhubung keputusan laporan penyiasatan Pejabat Agama Islam Alor Gajah, Melaka pada 7 Mei 1986 mengenai laporan bersekedudukan antara Nyonya dengan suaminya, Chiang Meng.

Dokumen penyiasatan itu ditulis oleh Pemeriksa Hal Ehwal Agama I Daerah Alor Gajah, Melaka, Abd Azit Abdullah melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka.

Antara kandungan laporan siasatan itu ialah Nyonya dilahirkan pada 1918 di Alor Gajah, Melaka dan dipelihara sejak kecil oleh neneknya, seorang Melayu yang berkahwin dengan seorang mualaf Cina berketurunan Hailam.

Hasil penyiasatan itu mendapati sejak dipelihara oleh neneknya, wanita itu mendapat asuhan dan didikan mengikut budaya serta agama Buddha.

Pada 1936, ketika berusia 18 tahun, dia melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng dan dikurniakan 13 anak. Sejak itu, Nyonya mengamalkan ajaran Buddha dan memakan babi, manakala suaminya itu tidak pernah memeluk Islam.

Abd Azit dalam laporannya berkata, hasil penyiasatan mendapati wanita itu membuat pengakuan untuk kekal dalam agama Buddha dan sekiranya mati, dia mahu disemadikan mengikut cara Buddha.

Ah Fatt turut mengemukakan akuan bersumpah ibunya yang mengatakan bahawa dia tidak akan kembali kepada Islam dan jika mati, dia mahu disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Ketika ditanya oleh mahkamah mengenai tujuan utama afidavit itu dibuat, Ah Fatt berkata, ia mahu meminta mahkamah memulangkan mayat ibunya bagi disemadikan mengikut agama Buddha.

Ah Fatt berkata, sepanjang hidup, ibunya tidak pernah mengamalkan ajaran Islam tetapi secara konsisten mengamalkan cara hidup Cina dan menjadi penganut agama Buddha yang setia.

"Saya tinggal bersama ibu sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir dan beliau pada sepanjang masa mengamalkan cara amalan agama Buddha dan tidak agama Islam," katanya.

Sementara itu, Kwai Ying memberitahu mahkamah, ibunya membuat wasiat dalam akuan bersumpahnya bahawa dia tidak akan kembali kepada agama Islam dan meminta disemadikan mengikut cara agama Buddha.

"Ketika ibu sakit baru-baru ini, dia berpesan supaya disemadikan bersebelahan kubur ayah kami. Nama Cina ibu saya ialah Wong Ah Kiu. Kami pada 1986 telah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan penukaran namanya itu tetapi ditolak," katanya.

Pegawai Agama Alor Gajah Melaka, Kamarul Saman Yaacub, 42, yang turut dipanggil memberikan keterangan, mengesahkan laporan yang dibuat oleh Ab Azit pada 1986. Beliau mengemukakan salinan asal dokumen itu kepada mahkamah.

Ketika ditanya oleh mahkamah berhubung tindakan susulan pejabat agama setelah menerima laporan bersekedudukan itu, beliau menjawab: "Saya tidak tahu."


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Lelaki kahwin 2 beradik didakwa

Lelaki kahwin 2 beradik didakwa


BH-24-1-2006
KANGAR: Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) akan mendakwa lelaki berusia awal 50-an yang mengahwini dua beradik kandung serentak sejak lebih setahun lalu.


Bagaimanapun, lelaki berasal dari Kuala Perlis itu sudah dinasihatkan berpisah dengan seorang daripada isterinya itu sebelum dia didakwa kerana menyalahi hukum Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abu Bakar Ismail, berkata tindakan lelaki itu memperisterikan dua beradik kandung dalam tempoh yang sama adalah haram dari segi hukum.

"Lelaki itu menyatakan dia beragama Islam dan kami mengarahkan dia segera berpisah dengan seorang isterinya. Pendakwaan akan dibuat dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Baru-baru ini, Berita Harian melaporkan dua beradik perempuan di Bintong, dekat sini, didakwa berkongsi suami sejak lebih setahun lalu hingga melahirkan anak.

Pengarah Jaips, Moh Adib Zakaria, yang mengesahkan kejadian itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Wanita berusia 30-an dan 40-an itu menyedari perkahwinan berkenaan.

Lelaki terbabit mengahwini kedua-dua beradik itu di selatan Thailand sebelum mendaftar perkahwinan mereka di Perlis.

Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu turut mempunyai isteri pertama di Kuala Perlis sebelum mengahwini dua beradik berkenaan.

Abu Bakar berkata, pihak pendakwa raya Jaips kini dalam proses mengumpul bukti.

Beliau juga meminta keluarga lelaki itu dan isterinya tidak melindungi maklumat berhubung kejadian berkenaan.

"Mereka boleh didakwa atas kesalahan bersubahat jika cuba menyembunyikan atau melindungi lelaki berkenaan," katanya.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Mahkamah tak ada kuasa dengar kes

Mahkamah tak ada kuasa dengar kes

BH-24/1/2006


PETALING JAYA: Biduanita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, daripada tuduhan memfitnah penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin melalui beberapa e-mel.

Majistret Azroul Hisham Azulan memutuskan, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan kerana aduan fitnah itu tidak dibuat oleh mangsanya sendiri.

Oleh itu, beliau memutuskan pertuduhan terhadap Sharifah Aini, 51, tidak mematuhi peruntukan Seksyen 131 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Seksyen 131 menyatakan sebarang mahkamah tidak boleh mengambil tahu mengenai kesalahan berkaitan fitnah, kecuali aduan dibuat oleh orang yang terkilan dengan kesalahan itu atau pendakwa raya.

Azroul berkata, pertuduhan serta aduan adalah dua perkara yang berbeza dan dalam kes itu, Siti Nurhaliza tidak dinamakan sebagai pengadu sebaliknya pengadu adalah wartawan Harian Metro, Abdullah Mamat atau Abie.

Ini bertentangan dengan kertas tuduhan yang menyebut Siti Nurhaliza, 26, sebagai mangsa e-mel fitnah itu.

"Sekiranya ada peruntukan undang-undang yang memberi mahkamah bidang kuasa mendengar dan membicarakan kes tetapi peruntukan itu tidak dipatuhi, maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar prosiding itu.

"Prosiding mahkamah adalah terbatal dan sekiranya orang yang dituduh sudah disabitkan, (perintah itu) hendaklah diketepikan," katanya Azroul ketika membacakan keputusannya.

Sharifah Aini yang memakai baju kurung ungu, senyum dan berkata 'terima kasih Yang Arif' kepada Azroul sebaik keputusan dibacakan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Sharifah Aini berkata, perasaannya bercampur baur selepas menerima keputusan itu.

"Saya tidak mengatakan saya gembira mahupun lega. Pada saya, jika dikatakan lega seolah-olah menggambarkan saya sudah melakukan sesuatu yang salah tetapi dibebaskan, yang berbeza dengan keadaan ini.

"Sebenarnya saya tidak tahu apa yang saya rasa. Perasaan saya bercampur-campur. Kejadian ini amat memalukan dan menekan saya.

"Saya cuma terkilan kerana tidak dapat menceritakan kisah saya yang tersirat. Saya harap satu hari perkara itu dapat diceritakan," katanya.

Azroul dalam keputusannya, menolak cadangan bahawa kertas pertuduhan yang dikemukakan terhadap Sharifah Aini adalah satu aduan seperti diperlukan mengikut Seksyen 131 KAJ.



Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan secara umumnya sesiapa saja boleh membuat aduan, ada peruntukan khas mengikut Seksyen 131 KAJ yang memerlukan pihak tertentu membuat aduan.

"Bagi pertuduhan, tertuduh mesti hadir di mahkamah, berbeza dengan pengadu yang tidak semestinya hadir ketika pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh. Sebaliknya dalam aduan, pengadu sendiri mesti hadir membuat aduan secara bersumpah di hadapan majistret mengikut prosedur yang dinyatakan Seksyen 131.

"Tertuduh juga tidak perlu hadir. Tujuan aduan untuk mengadu atau memberitahu kepada majistret untuk membolehkan tindakan diambil manakala tujuan pertuduhan adalah pemberitahuan kepada tertuduh mengenai kesalahan yang dilakukannya," katanya.

Hakim juga berpendapat, Abdullah tidak boleh dinyatakan sebagai orang membuat aduan kerana Seksyen 131 KAJ jelas menyatakan hanya orang yang terkilan atau pendakwa raya boleh bertindak sebagai pengadu.

"Sungguhpun Timbalan Pendakwa Raya berhujah untuk membuktikan bahawa Abie yang dimaksudkan dalam e-mel itu adalah Abdullah Mamat, namanya tidak tertera dalam empat cebisan yang digariskan dalam e-mel itu dan ia bererti dia bukan orang yang terkilan dengan kesalahan," katanya.

Nyonya Tahir pesan disemadikan ikut adat Cina, sebelah kubur suami

Nyonya Tahir pesan disemadikan ikut adat Cina, sebelah kubur suami




Berikutan itu, Jumaat lalu, Ah Fatt memohon keputusan mahkamah bagi menentukan status agama Nyonya dan permintaan keluarganya untuk mengebumikan mayat wanita itu mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Peguam Syarie, Siti Harlina Shahran mewakili plaintif, manakala Koo Chin Nam yang dibantu Kevin Koo S K, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Nyonya.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok, yang juga peguam syarie, bertindak peguam pemerhati bagi pihak persatuan itu.

Turut hadir pada prosiding semalam ialah Pengarah JHEAINS, Datuk Zaharudin Mohd Shariff; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah, Datuk Gan Chin Yap; Adun Temiang, Datuk Lee Yuen Fong; Adun Rahang, Datuk Yip Chee Keong dan Adun Chuah, Foo Ming Chee.

Siti Harlina sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah Ah Fatt, 40, mengemukakan afidavit bagi meminta supaya mayat ibunya disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Kandungan afidavit itu antara lain berhubung keputusan laporan penyiasatan Pejabat Agama Islam Alor Gajah, Melaka pada 7 Mei 1986 mengenai laporan bersekedudukan antara Nyonya dengan suaminya, Chiang Meng.

Dokumen penyiasatan itu ditulis oleh Pemeriksa Hal Ehwal Agama I Daerah Alor Gajah, Melaka, Abd Azit Abdullah melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka.

Antara kandungan laporan siasatan itu ialah Nyonya dilahirkan pada 1918 di Alor Gajah, Melaka dan dipelihara sejak kecil oleh neneknya, seorang Melayu yang berkahwin dengan seorang mualaf Cina berketurunan Hailam.

Hasil penyiasatan itu mendapati sejak dipelihara oleh neneknya, wanita itu mendapat asuhan dan didikan mengikut budaya serta agama Buddha.

Pada 1936, ketika berusia 18 tahun, dia melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng dan dikurniakan 13 anak. Sejak itu, Nyonya mengamalkan ajaran Buddha dan memakan babi, manakala suaminya tidak pernah memeluk Islam.

Abd Azit dalam laporannya berkata, hasil penyiasatan mendapati wanita itu membuat pengakuan untuk kekal dalam agama Buddha dan sekiranya mati, dia mahu disemadikan mengikut cara Buddha.

Ah Fatt turut mengemukakan akuan bersumpah ibunya yang menyatakan dia tidak akan kembali kepada Islam dan jika mati, dia mahu disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Ah Fatt berkata, sepanjang hidup, ibunya tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

Sementara itu, Kwai Ying memberitahu mahkamah, ibunya berwasiat dalam akuan bersumpahnya bahawa dia tidak akan kembali kepada agama Islam dan meminta disemadikan mengikut cara agama Buddha.

"Ketika ibu sakit baru-baru ini, dia berpesan supaya disemadikan bersebelahan kubur ayah kami. Nama Cina ibu saya ialah Wong Ah Kiu. Pada 1986, kami ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan penukaran namanya itu tetapi ditolak," katanya.

Pegawai Agama Alor Gajah Melaka, Kamarul Saman Yaacub, yang turut dipanggil memberikan keterangan, mengesahkan laporan yang dibuat oleh Ab Azit pada 1986. Beliau mengemukakan salinan asal dokumen itu kepada mahkamah.

Ketika ditanya oleh mahkamah berhubung tindakan susulan pejabat agama selepas menerima laporan bersekedudukan itu, beliau menjawab: "Saya tidak tahu."




©The New Straits Times Press (M) Berhad

Pengalaman Fatimah Az-Zahra dan Saidina Ali


SABARIAH SALLEH.
UM 24/1/2006

Aisyah hanya berusia sembilan tahun ketika dikahwinkan dengan Rasulullah s.a.w.. Kehidupan rumah tangganya selama 10 tahun di sisi Baginda membentuk penampilan Aisyah sebagai wanita yang berpengetahuan tinggi.

Perkahwinan pada usia yang terlalu muda juga tidak menghalang Aisyah mengimbangi dua kehidupan dalam usia yang muda: sebagai isteri dan intelektual Islam yang berjaya.

Dengan mengambil contoh keperibadian Aisyah dan Rasulullah s.a.w., mampukah pasangan yang berkahwin dalam usia muda memikul cabaran alam rumah tangga dan menghayati peranan masing-masing bagi memastikan perkahwinan yang dibina kekal ke akhir hayat?

Penolong Pengarah Unit Pembangunan Keluarga, Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sabariah Salleh mengulas isu ini.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Pendaftar di Mahkamah Syariah Selangor dari tahun 1991 hingga 1996 berkata, asas perkahwinan dalam Islam harus berdasarkan kepada empat konsep iaitu mengenali pasangan masing-masing termasuk latar belakang keluarga dan rakan-rakannya, sekufu (setaraf), kasih mengasihi dan reda antara satu sama lain. "Sekiranya pasangan mengenali hati budi masing-masing, maka secara tidak langsung akan wujud persefahaman dan saling bertolak ansur dalam perkahwinan. Sebab itu Islam menggalakkan berkahwin dengan lelaki atau perempuan yang setaraf, bukan sahaja melibatkan kedudukan dan harta benda tetapi dari segi agama dan keturunan. Malah umur juga memainkan peranan penting. Dengan itu akan wujud perasaan kasih terhadap pasangan dan mereka reda untuk hidup bersama," jelas beliau mengenai konsep asas dalam perkahwinan.

Menurut Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor No. 2 Tahun 2003, Seksyen 8 Bab Umur minimum untuk perkahwinan, tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah enakmen itu jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Sabariah menjelaskan, jika ada pasangan yang memilih untuk berkahwin di bawah umur dan mereka perlu mendapatkan kebenaran Hakim Syarie terlebih dahulu.

Mahkamah akan meneliti kemampuan pasangan, contohnya kalau berkahwin pada usia 17 tahun dan baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mampukah bakal suami menyara isteri dan anak-anak. Dalam perkara ini, komitmen keluarga amat penting kerana dikhuatiri berlaku kejadian yang tidak diingini menimpa suami.

Tegas Sabariah, mendapatkan persetujuan ibu bapa kedua-dua belah pihak adalah penting sebelum meneruskan niat mendirikan rumah tangga sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor No. 2 Tahun 2003, Seksyen 13 dalam bab persetujuan yang dikehendaki.

Harmoni

"Kita perlu ingat bahawa sesiapa sahaja boleh berkahwin tetapi tidak ramai yang mampu membina rumah tangga yang harmoni. Ada satu isu yang perlu diperjelaskan di sini iaitu apabila suami hilang keupayaan menyara keluarganya, misalnya dia kemalangan dan lumpuh seumur hidup dan isteri tidak bekerja, maka orang yang bertanggungjawab mengambil alih tugas tersebut ialah bapa kepada suami dan sekiranya tidak mampu, adik-beradik lelaki kepada suami perlu bertanggungjawab dan seterusnya barulah pihak keluarga si isteri ataupun pihak berkuasa agama seperti Baitulmal dan Pusat Zakat.

"Sebaliknya, apa yang berlaku ialah isteri akan pulang ke pangkuan keluarganya semula dan keluarga mertua tidak mahu bertanggungjawab. Sebab itu perkahwinan harus mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku," jelas Sabariah.

Perkahwinan pada usia muda adalah satu cabaran terutama ia membabitkan soal emosi, sensitiviti dan perasaan cemburu. Malah keinginan untuk bebas juga masih menguasai diri, tambahan pula dikelilingi rakan-rakan yang masih belum berkahwin. Tidak kurang juga sifat orang muda yang suka kepada aktiviti sosial dan mereka juga mudah 'melihat' orang lain walaupun sudah mendirikan rumah tangga.

Dalam Islam tidak ditentukan had umur tertentu untuk berkahwin. Sebagai contoh Aisyah yang berkahwin ketika berumur sembilan tahun dan Khadijah yang juga isteri Nabi berkahwin pada usia 40 tahun. Namun, kedua-duanya mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri dengan sempurna.

Persediaan individu untuk memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri diukur dari aspek kematangan emosi dan persediaan fizikal dan sosial. Jika kemantapan ekonomi dijadikan ukuran kepada sebuah perkahwinan, ia bukanlah satu masalah besar kerana yang paling penting adalah persefahaman dan menerima pasangan seadanya.

"Saya tidak menafikan hal ini tetapi berdasarkan pengalaman rakan-rakan saya yang berkahwin ketika masih belajar, alhamdulillah, perkahwinan mereka kekal hingga ke hari ini walaupun mereka pernah sama-sama susah suatu waktu dulu. Maknanya, perlu wujud persefahaman dan memahami keperluan masing-masing yang perlu ke kuliah dan menyiapkan tugasan," cerita Sabariah mengenai pengalaman rakan-rakannya yang berkahwin semasa di menara gading.

Pasangan yang berkahwin muda perlu mencontohi kisah Fatimah az-Zahra, iaitu puteri kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Ali, seorang pemuda yang terdidik dengan sifat kemuliaan dan keberanian. Perkahwinan mereka dianugerahkan lima orang anak.

Ketika berkahwin, Fatimah hampir berumur 18 tahun dan mendapat bekas air yang diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya.

Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, "Anakku, aku telah menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan."

Alam rumah tangganya berjalan lancar dalam suasana yang sederhana. Fatimah melaksanakan tugasnya seperti menggiling jagung dan mengambil air telaga dan Ali pula bekerja keras mencari nafkah untuk keluarga. Malah mereka juga terkenal dengan budi pekerti yang tinggi dan bersifat dermawan.

Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anak-anaknya pada usia 28 tahun, enam bulan selepas kewafatan Baginda dan dimakamkan di Jannah al-Baqi', Madinah.

Semasa hayatnya, Nabi Muhammad s.a.w. pernah menyatakan bahawa Fatimah akan menjadi 'Ratu segenap wanita yang berada di syurga'.


Black Metal ajaran sesat

Black Metal ajaran sesat

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 23 Jan. - Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan aliran muzik keras, Black Metal dikategorikan sebagai ajaran sesat dan boleh menjejaskan akidah mereka yang mengamalkannya.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin menegaskan, berikutan keputusan itu mereka yang terbabit dengan aliran muzik keras tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sekiranya fatwa tersebut diwartakan oleh negeri-negeri.

``Setelah dikaji dan menilai dari setiap sudut, Black Metal diputuskan sebagai kumpulan ajaran sesat dan amalannya bertentangan dengan syariah yang dari segi akidahnya, ia boleh terkeluar daripada Islam.

``Apabila kita sudah haramkan, terpulang kepada pihak berkuasa agama untuk bertindak mewartakan fatwa itu,'' katanya selepas mempengerusikan muzakarah ke-72 selama kira-kira empat jam itu di Dewan Syura, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap pengaruh Black Metal di negara ini termasuk mengeluarkan fatwa mengenainya.

Laporan akhbar menyebut pengaruh aliran muzik keras itu digerakkan oleh anak-anak muda berpelajaran tinggi lulusan luar negara, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta yang bekerjaya hebat.

Lebih membimbangkan, ramai pelajar dalam pengajian Islam di sekolah dan IPT turut terlibat dalam muzik metal yang membawa aliran ekstrem `Jangan Ikut Tuhan' (JIT) itu.

Seratus peratus daripada mereka adalah anak muda Melayu.

Majalah Mastika terbitan kumpulan Utusan pada Oktober lalu mendedahkan mengenai kegiatan kumpulan Black Metal termasuk upacara membakar al-Quran dan lebih teruk melakukan perbuatan keji di atas kitab suci itu.

Hitam menjadi warna rasmi mereka dan kumpulan Black Metal Barat yang paling ekstrem serta membawa fahaman kesyaitanan adalah seperti Mayhem, Burzum dan Immortal (Norway), Katatonia (Sweden) dan Thou ArtLord (Greece).

Pengaruh Black Metal terus berkembang kerana mereka sering mengadakan `gig underground' bersama kumpulan-kumpulan sealiran seperti Melodic Death Metal, Black-Death Metal serta Death Metal.

Menurut Abdul Shukor, amalan mendengar muzik Black Metal masih tidak menjadi masalah sebaliknya ia menjadi sesat apabila mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan syariah seperti memijak al-Quran, minum arak, seks bebas dan perasaan anti-Tuhan.

Serentak itu, penyebaran dan pengembangan aliran tersebut perlu dicegah bagi mengelakkan lebih ramai remaja di negara ini terjebak dengan ajaran berkenaan.

``Jakim sendiri telah memutuskan untuk menggunakan kaedah kaunseling bagi membanteras gejala itu.

``Kita harap semua pihak termasuk guru dan ibu bapa dapat bekerjasama mencegah supaya jangan ada lagi pertambahan bilangan ahli golongan ini,'' katanya.


Anak Nyonya anggap keputusan tepat

Anak Nyonya anggap keputusan tepat

TAMPIN 23 Jan. - Semua anak mendiang Nyonya Tahir, 89, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bahawa ibu mereka bukan beragama Islam dan mengarahkan mayatnya diserah kepada waris untuk disemadikan mengikut ajaran Buddha sebagai tepat dan adil.

Lapan daripada 13 anak mendiang yang masih hidup hadir di mahkamah seawal pukul 8 pagi kelihatan lega sejurus keputusan diumumkan.

Mereka juga berpuas hati dan berterima kasih kerana mahkamah yang bersidang memanggil dua adik-beradik mereka, Chiang Ah Fatt, 40, dan Chiang Kwai Ying (gambar), 43, bagi memberi keterangan untuk membuktikan ibu mereka bukan beragama Islam.

Terbukti

``Keputusan itu amat melegakan dan menggembirakan kami adik beradik, terbukti mahkamah memberi peluang kepada kami untuk mendapat keadilan sewajarnya iaitu diberikan hak menguruskan mayat ibu.

``Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) juga amat membantu, mereka menyelesaikan masalah yang berlaku secara baik dan harmoni,'' kata Kwai Ying mengulas keputusan mahkamah.

Kematian Nyonya, Khamis lalu mencetuskan kontroversi kerana keluarganya mahu menyemadikan mayat mendiang mengikut ajaran Buddha sedangkan kad pengenalannya tertera butiran yang menunjukkan dia berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Sementara itu, surat perintah mahkamah diserahkan Pengarah JAINS, Datuk Zaharuddin Mohd. Sharif kepada anak bongsu Nyonya, Ah Fatt di Hospital Tampin, kira-kira pukul 5.50 petang hari ini.

Pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Zull Aznam Haron turut menyerahkan surat mati dan surat kebenaran pengebumian kepadanya.

Mayat Nyonya kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Cina Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka untuk disemadikan mengikut adat dan upacara Buddha kira-kira pukul 7 petang.

`Mahkamah Tinggi Syariah berlaku adil'

`Mahkamah Tinggi Syariah berlaku adil'

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
UM 24/1/2006

SEREMBAN 23 Jan. - Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban di sini hari ini supaya mayat Nyonya Tahir, 89, dikebumikan mengikut upacara Buddha membuktikan mahkamah itu turut berlaku adil kepada orang bukan Islam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Muhamad Burok berkata, keputusan itu secara jelas menolak tohmahan bahawa Mahkamah Syariah langsung tidak memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan keadilan.

Kes itu juga tegas beliau, menjadi petunjuk penting bahawa tidak perlunya sebarang pindaan terhadap Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Katanya, ia jelas menunjukkan kedua-dua mahkamah mempunyai kepentingan sesama sendiri dan ia juga saling lengkap-melengkapi.

``Kes hari ini jelas menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah mampu mengendali dan menghadapi kes yang begitu sensitif tanpa menjejaskan kepentingan dan hak pihak yang terbabit,'' katanya ketika mengulas keputusan mahkamah berkenaan di sini.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Tinggi Syariah tersebut memutuskan supaya mayat Nyonya Tahir diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha selepas wanita itu diisytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd. Shukor Sabudin selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Menurut Mohd. Shukor, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes berkaitan kepentingan orang Islam, termasuk masalah akidah yang berlaku di negara ini.

Katanya, ia juga diputuskan berdasarkan kepada afidavit yang dikemukakan oleh anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt dan juga keterangannya bersama kakaknya, Chiang Kwang Ying, 43, di mahkamah hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Burok yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi PPSM dalam prosiding hari ini berkata, dalam kes itu mahkamah bukan sahaja memberi keputusan yang memihak kepada bukan Islam malah turut menjemput pihak berkenaan memberi keterangan.

``Mahkamah dalam prosiding hari ini telah memanggil anak-anak si mati memberi keterangan walaupun ia secara jelas tidak membantu pemohon (plaintif).

``Hak adalah tetap hak walaupun berlainan agama dan kepercayaan. Inilah yang berjaya dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah hari ini,'' katanya.

Muhamad berkata, sepanjang lebih 20 tahun mengendalikan kes-kes syariah, ini kali pertama orang bukan Islam dijemput oleh Mahkamah Syariah untuk membantu mahkamah mencari keadilan.

Mahkamah Syariah benarkan si mati disemadi cara Buddha

Nyonya Tahir bukan Islam -- Mahkamah Syariah benarkan si mati disemadi cara Buddha

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
UM 24/1/2006


SEREMBAN 23 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan bahawa Nyonya Tahir, wanita Melayu beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam semasa kematiannya.

Hakim Mohd. Shukor Sabudin dalam keputusannya juga membenarkan mayat Nyonya yang disimpan di rumah mayat Hospital Tampin sejak kematiannya Jumaat lalu, diserahkan kepada keluarga wanita itu untuk disemadikan mengikut agama Buddha.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes-kes berkaitan dengan kepentingan orang Islam termasuk masalah akidah di negara ini.

Katanya, keputusan itu juga berdasarkan afidavit anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt, 40, dan keterangan bersama kakak Ah Fatt, Kwang Ying, 43, di mahkamah hari ini.

``Mahkamah yang berpuas hati dengan keterangan-keterangan tersebut memutuskan bahawa Nyonya yang memegang kad pengenalan bernombor 180425-04-5054 @ 02033418 adalah bukan beragama Islam semasa kematiannya.

``Mahkamah juga membenarkan keluarga dan warisnya menguruskan pengebumian Nyonya. Hospital Tampin juga diarahkan supaya menyerahkan mayat ini kepada keluarganya,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman lisan selepas mendengar permohonan sebelah pihak (ex-parte) oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) serta pengarahnya berhubung pengisytiharan agama Nyonya.

Jumaat lalu, plaintif memohon keputusan mahkamah bagi menentukan status agama Nyonya dan permintaan keluarganya bagi dikebumikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Plaintif-plaintif diwakili oleh peguam syarie, Siti Harlina Shahran manakala peguam syarie, Koo Chin Nam yang dibantu oleh Kevin Koo S. K. bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Nyonya.

Sementara itu, peguam syarie, Muhamad Burok yang juga Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak persatuan itu.

Terdahulu, Hakim Mohd. Shukor memetik tulisan ulama Islam, Sheikh Abu Sujak dari Kitab Kifayatul Akhyar yang bermaksud: ``Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat, dan jika tidak dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam.''

Pada prosiding pagi ini, Siti Harlina memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ah Fatt mengemukakan afidavit bagi meminta supaya mayat ibunya itu disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Antara lain kandungan afidavit itu ialah keputusan laporan penyiasatan Pejabat Agama Islam Alor Gajah, Melaka pada 7 Mei 1986 mengenai laporan bersekedudukan antara Nyonya dan suaminya, Chiang Meng.

Dokumen penyiasatan itu ditulis oleh Pemeriksa Hal Ehwal Agama 1 Daerah Alor Gajah, Melaka, Ab. Azit Abdullah melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka.

Sementara itu, Kwai Ying berkata, ibunya membuat wasiat dalam akuan bersumpah bahawa dia tidak akan kembali kepada agama Islam dan meminta disemadikan mengikut agama Buddha.

Dalam pada itu, Pegawai Agama Alor Gajah Melaka, Kamarul Saman Yaacub, 42, yang turut dipanggil memberi keterangan, mengesahkan laporan yang dibuat oleh Ab. Azit itu.

Beliau turut mengemukakan salinan asal dokumen itu kepada mahkamah.

Nyonya, 89, meninggal dunia kerana sakit tua kira-kira pukul 4 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Taman Indah, Tampin dekat sini.

Status agama Nyonya disedari oleh anggota polis di Balai Polis Tampin apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematian.

Ini kerana dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha.


Monday, January 23, 2006

Undang-undang keluarga Islam masih jadi pertikaian umum




Oleh Halina Mohd Noor - BH-23/1/2006


TUNTUT KEADILAN: Sebahagian orang ramai yang hadir
pada satu majlis penerangan mengenai pindaan
undang-undang keluarga Islam.


Beberapa seksyen dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dikatakan menzalimi wanita

Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang diluluskan 22 Disember 2005 mengundang pelbagai kontroversi kerana disifatkan berat sebelah dan menzalimi wanita. Berdasarkan alasan ini, beberapa pertubuhan wanita meminta kerajaan menangguhkan pewartaan undang-undang berkenaan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak demi menegakkan keadilan gender.

Pindaan yang menimbulkan pertikaian adalah mengenai peruntukan hak dalam Seksyen 23 (9) yang membolehkan suami menuntut harta sepencarian dan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang isteri melupuskan hartanya.

Turut menimbulkan kebimbangan kebanyakan pertubuhan wanita, dalam seksyen sama, isteri terpaksa memilih sama ada untuk menuntut nafkah atau pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami. Apa yang menjadi persoalan, mengapa suami yang seronok ingin berpoligami, tetapi isteri pula terpaksa membahagikan harta miliknya?

Malah, beberapa pindaan dalam Seksyen 23 (4) (sila rujuk rajah) turut ditafsirkan sebagai memudahkan lagi suami berpoligami. Seksyen ini memerlukan suami membuktikan empat

elemen iaitu mampu, keuzuran isteri sedia ada dari segi jasmani seperti mandul, tidak layak untuk persetubuhan atau gila, mampu memberi layanan sama rata dan perkahwinan kedua itu tidak menyebabkan darar syarie (kemudaratan mengikut syarak) kepada isteri sedia ada.

Seandainya mahkamah berpuas hati dengan bukti ini, suami diberi keizinan untuk berpoligami. Seksyen 52 (1) turut dipertikaikan apabila hak fasakh yang selama ini milik isteri turut dilanjutkan kepada suami. Ini bermakna suami boleh menuntut fasakh di mahkamah untuk menamatkan perkahwinan atas alasan tertentu.

Hakikatnya, pindaan ini tidak sewajarnya dilihat atau ditafsir mengikut emosi dan rasa marah sehingga membuatkan kebaikan serta niat baik di dalamnya menjadi kabur. Kalau ada pun kekurangannya, ia mungkin membabitkan beberapa masalah perkataan atau istilah yang menyebabkan tafsiran berbeza mengikut kefahaman individu.

Justeru, ia sewajarnya diperhalusi dan difahami sebelum dipertikaikan.

Peguam Syarie, Zainul Rijal Abu Bakar pada Wacana Undang-Undang Keluarga Islam anjuran Jawatan Kuasa Undang-Undang dan Pelaksanaan Syariah Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan kerjasama Wanita JIM, memperjelaskan tidak timbul isu isteri perlu serah harta pada suami yang ingin berpoligami.

"Maksud harta sepencarian tidak termasuk harta isteri yang dibeli sebelum kahwin. Harta yang dibeli isteri ini tidak boleh dibahagikan kepada suami. Dalam Seksyen 23 (9), disebut aset dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama di bahagi antara mereka. Seksyen ini juga tidak bermaksud memaksa isteri memilih untuk menuntut nafkah atau pembahagian harta sepencarian sebaliknya terpulang kepada mana-mana pihak sama ada suami atau isteri untuk memohon salah satu atau keduanya sekali. Tujuannya bagi mengawal perintah mahkamah ditunaikan dengan kata lain, isteri tidak perlu pergi ke mahkamah sekiranya suami ingkar perintah kerana penguatkuasaan sudah berjalan," katanya.

Selain itu, apa yang membezakan antara undang-undang lama dan baru dalam Seksyen 23 hanyalah perkataan 'Kontrak Perkahwinan' yang ditukar kepada 'Pernikahan', manakala empat elemen yang perlu dibuktikan itu kekal seperti yang termaktub dalam undang-undang sebelumnya.

"Bagi membuktikan empat elemen ini bukan mudah kerana kaya atau mampu saja tidak cukup untuk berpoligami. Ada kes di Selangor, seorang isteri bersetuju suami bernikah lagi malah, mencarikan calon madunya. Isteri itu seorang jurutera, manakala suami pula hanya kerani. Dalam hal ini, mahkamah tetap menuntut empat bukti tadi. Akhirnya permohonan suami ditolak kerana tidak cukup bukti. Begitu juga kalau suami minta izin untuk berpoligami kerana ingin mengelakkan maksiat, perkahwinan tidak perlu kecuali dapat dibuktikan isteri mandul, uzur atau gila," katanya.

Jelasnya lagi, isu memudahkan poligami tidak timbul seperti yang didakwa kerana pindaan ini sebenarnya lebih menyusahkan lelaki untuk berkahwin lagi. Sebelum poligami dibenarkan, suami dikehendaki membawa bakal isteri dan walinya atau orang lain yang pada pendapat mahkamah boleh memberi maklumat diperlukan.

Sementara itu, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Najibah Mohd Zin, berkata pindaan dalam Seksyen 23 (9) tidak bertentangan dengan undang-undang sedia wujud di seluruh dunia.

"Harta sepencarian biasanya membabitkan harta alih seperti perabot dan harta tidak alih seperti tanah atau rumah. Harta seperti insurans, KWSP dan wang simpanan pula ditakrifkan oleh mahkamah sivil sebagai harta perkahwinan.

Harta sepencarian adalah hak suami isteri sama ada ia dilupus, dijual atau dipindah milik. Walaupun satu nama tercatat pada harta itu, suami atau isteri berhak ke atasnya. Sekiranya sudah dipindah milik, suami atau isteri boleh tuntut bayaran saja," katanya.

Katanya, walaupun ada pihak mendakwa pembahagian harta sebenarnya lebih kepada hukum adat, asas harta sepencarian perlu bersandarkan hukum syarak.

Pembahagian ini melihat kepada tahap sumbangan suami dan isteri dalam memperoleh sesuatu aset. Ini bererti tidak semestinya semua harta perlu dibahagi dua. Usaha sama ini termasuk sumbangan dari segi wang dan tenaga. Usaha tunggal ialah seorang saja yang bekerja untuk beli aset itu sedangkan pasangan tidak terbabit. Ini bererti, sumbangan pasangan tiada atau kurang.

"Pindaan ini menentukan hak dan perlindungan khusus kepada wanita dan lelaki yang sama-sama mendapatkan harta itu. Bagaimanapun ia perlu dikemaskini dan diperbaiki, misalnya tidak perlu sebut usaha sama, tetapi harta saja. Peruntukan ini perlu juga mengambil kira poligami tanpa kebenaran kerana ia tidak terpakai bagi mereka yang berkahwin di sempadan," katanya.

Menyentuh mengenai pemberian fasakh kepada suami, penasihat undang-undang berpengalaman, Naim Mokhtar, berkata fasakh bukan hak mutlak isteri kerana tiada dalil khusus mengenainya.

Ia disyariatkan dalam Islam bukan saja kepada wanita, tetapi juga lelaki.

Pindaan itu dikatakan merealisasikan maksud adil tanpa menyebelahi manamana pihak.

"Sebelum mahkamah melafazkan fasakh, suami perlu membuktikan alasan kukuh untuk membubarkan perkahwinan.

Daripada 17 alasan menuntut fasakh, hanya 10 dibenarkan untuk dimohon iaitu seperti sakit, gila dan sebagainya. Pindaan ini cukup 'cantik' kerana dulu sukar untuk isteri dapatkan fasakh kerana mereka perlu buktikan.

Wujudnya pindaan ini, kita bakal melihat suami melalui trauma yang sama seperti dilalui isteri.

"Berbeza dengan talak, fasakh membubarkan perkahwinan serta-merta (bain sughra) tanpa menjejaskan jumlah talak. Ini bermakna hak talak masih kekal tiga sebaliknya jika suami lafaz talak, jumlah ini berkurangan. Pindaan ini perlu diteruskan kerana ia tepat dengan hukum syarak," katanya.

Rang Undang-undang Keluarga Islam (Pindaan) 2005. (Antara Yang Dipertikaikan)

Seksyen 23 (4)


Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain yang pada pendapat mahkamah, boleh memberi maklumat yang berhubungan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar yang hendaklah dilakukan di dalam mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuashati:

a) Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain, hal-hal keadaan yang berikut iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila dipihak isteri atau isteri-isteri sedia ada.

b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan membolehkan dia menanggung,

sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara', semua isteri dan orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu,

c)bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara' dan

d)bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

Seksyen 23 (9)

Tiap-tiap Mahkamah yang memberikan kebenaran atau memerintahkan supaya suatu perkahwinan didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan itu:

a) untuk mengkehendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada: atau

b) untuk memerintahkan supaya aset yang diperoleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itumelalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Keluarga perlu tunggu keputusan mahkamah

Keluarga perlu tunggu keputusan mahkamah

PUTRAJAYA: Keluarga seorang wanita berusia 89 tahun yang meninggal
dunia Khamis lalu dan mencetuskan kontroversi berhubung
pengebumiannya, perlu menunggu keputusan Mahkamah Syariah sama ada dia
akan dikebumikan mengikut adat istiadat agama Buddha atau Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa
Abdul Rahman, berkata anak Nyonya Tahir perlu menunggu keputusan itu
walaupun mendakwa mempunyai bukti ibu mereka itu sudah keluar Islam
menerusi surat akuan sumpah.

Katanya, biar Mahkamah Syariah memutuskan sama ada surat akuan sumpah
keluar dari agama Islam di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Chong Yong Mok
bertarikh 19 Julai 1991 dan dokumen yang dikeluarkan Pejabat Agama
Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka bertarikh 7 Mei
1991, boleh diterima atau tidak.

"Biarlah mahkamah menentukan, menjalankan tugasnya bagi mendapat
keadilan dan saksama," katanya ketika dihubungi semalam.

Mustafa berkata, mengikut enakmen agama Islam negeri sedia ada,
mana-mana orang Islam yang keluar dari agama Islam tidak boleh dengan
sewenangnya membuat deklarasi bahawa mereka tidak lagi mahu
mengamalkan ajaran Islam.

Katanya, mereka perlu mengemukakan permohonan sebelum ia diputuskan di
Mahkamah Syariah kerana hanya mahkamah syariah boleh menentukan
rasional tindakan itu sebelum memutuskan sama ada menerima permohonan
berkenaan atau tidak.

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada sebarang laporan mengenai
permohonan menukar status agama yang dibuat di mahkamah syariah.

Baru-baru ini, Berita Harian melaporkan kematian Nyonya Tahir
mencetuskan kontroversi apabila keluarganya ingin menjalankan upacara
pengebumian mengikut adat istiadat Buddha sedangkan wanita itu
berketurunan Melayu dan Islam.

Polis yang menerima laporan kematian Nyonya Tahir daripada keluarganya
merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)
selepas maklumat pada kad pengenalan wanita itu mencatatkan dia
berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Sehubungan itu, JHEAINS memperoleh perintah Mahkamah Syariah untuk
menangguhkan upacara pengebumian Nyonya Tahir mengikut adat istiadat
Buddha sehingga kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini.

Dalam surat akuan sumpah itu juga, Nyonya Tahir mengaku sejak kecil
dipelihara mengikut asuhan dan didikan orang Cina. Dia juga meminta
jika mati hendaklah dikebumikan mengikut adat istiadat agama Buddha.

Dokumen itu menyebut, siasatan dijalankan Pejabat Agama Islam dan
Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka mendapati Nyonya Tahir
berkahwin dengan Chiang Meng pada 1936 dan suaminya tidak pernah
memeluk Islam serta mereka menjalani kehidupan bersama 13 anak dengan
mengamalkan agama Buddha.

Dokumen itu juga menyebut Nyonya Tahir tidak berniat kembali kepada
Islam dan membuat perakuan terus hidup mengikut tradisi Cina dan jika
mati ditanam mengikut upacara Buddha.

Berikutan itu, keluarga wanita berkenaan meminta bantuan Jawatankuasa
Biro Agama MCA Pusat bagi membantu mereka menyampaikan dokumen itu
kepada Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, yang mendengar kes itu hari
ini.

Timbalan Pengerusi Biro Agama MCA Pusat, Koo Chin Nam yang juga
seorang Peguam Syarie dipetik sebagai berkata, pihaknya akan
menyampaikan segala dokumen yang dikemukakan keluarga wanita itu
kepada mahkamah untuk dipertimbangkan dan diteliti.

(c)The New Straits Times Press (M) Berhad

Hentikan tindakan persoal undang-undang syariat

Hentikan tindakan persoal undang-undang syariat
Monday, January 23 @ 10:48:17 MYT

Persepsi buruk ini jika berterusan akan mengancam perpaduan kaum dan
saling hormat menghormati antara agama di negara ini yang telah ujud
sejak sekian lama.

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Hrkh)-Rakyat bukan Islam diminta menghentikan
tindakan mempersoalkan peruntukan undang-undang syariat kerana ia
boleh membawa persepsi buruk terhadap mereka di kalangan umat Islam.

"Kegagalan kita memahami segala hikmah di sebalik peruntukan
peruntukan ini dengan menyerang institusi Mahkamah Syariah hanya akan
memburukkan lagi persepsi orang Islam terhadap bukan Islam di negara
ini."

Demikian sikap dan pandangan Lajnah Perpaduan Nasional PAS. Pendirian
ini disampaikan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh
pengerusinya, Mujahid Yusof Rawa.

Pendirian ini dibuat oleh lajnah itu setelah mengikuti perkembangan
isu pengislaman Moorti dan debat tentang hak dan kuasa Mahkamah
Syariah.

Dalam konteks ini, Lujnah Perpaduan Nasional PAS mengambil sikap
berhati-hati dalam menangani kes ini yang dianggap sebagai menguji
kewibawaan artikel 121 (1A) dan sekaligus menyentuh persoalan sensitif
tentang kewibawaan Mahkamah Syariah yang sedia ada dalam kerangka
Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, lajnah itu melihat persoalan 121 (1A), mesti
ditangani oleh semua pihak dengan penuh sikap bertanggunjawab dan
tidak melihat isu ini dalam konteks politik sempit dan penuh emosi
sehingga menggadai kepentingan negara dan perpaduan serta tidak
menghormati semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, mereka menyeru semua pihak supaya;

"1. Tidak menimbulkan isu sensitif tentang urusan dan perkara yang
dikhususkan untuk mentadbir hak hak orang Islam dalam perlembagaan
negara, antaranya ialah hak perundangan yang dikuatkuasakan melalui
peruntukan peruntukan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

"2. Menghormati hak ke atas urusan umat Islam di Malaysia, sebagaimana
yang diperuntukan oleh Syariat Islam yang suci dan tidak campurtangan
dalam urusan ini sebagai melaksanakan peruntukan dalam Deklarasi Hak
Asasi Manusia PBB, bahawa mana mana penganut agama berhak melaksanakan
amalan dan perintah agamanya tanpa prejudis.

"3. Berhenti daripada mempersoalkan peruntukan undang undang syariat
terhadap persoalan memeluk Islam dan kemurtadan serta apa juga
konsekuensi dari kes kes ini yang merupakan peruntukan di dalam agama
Islam. Kegagalan kita memahami segala hikmah di sebalik peruntukan
peruntukan ini dengan menyerang institusi Mahkamah Syariah hanya akan
memburukkan lagi persepsi orang Islam terhadap bukan Islam di negara
ini.

"Persepsi buruk ini jika berterusan akan mengancam perpaduan kaum dan
saling hormat menghormati antara agama di negara ini yang telah ujud
sejak sekian lama.

"4. Dakwaan dwi sistem kehakiman (mahkamah sivil dan mahkaman syariah)
yang dikatakan menjadi masalah, sebenarnya mesti dilihat dari sudut
sejarah perundangan negara yang sejak zaman kesultanan Melaka lagi
telahpun menjadikan undang undang syariat sebagai tunggak penyelesian
masalah perundangan.

"Undang undang Sivil hanya dikenali di negara ini pada zaman penjajah
yang membawa versi undang undangnya mengikut persepsi dan
latarbelakang budaya dan sejarahnya untuk diadaptasikan dalam iklim
masyarakat Malaysia.

"Ujudnya Mahkamah Syariah di negara ini perlu diberi penghargaan
kerana peranannya memelihara keamanan dan keharmonian sepanjang
sejarah kita, bukan cacian dan penghinaan serta merendahkan status dan
kewibawaanya.

"5. Peruntukan 121 (1A), perlu dilihat juga dalam peruntukan
peruntukan lain tentang kedudukan Agama Islam dalam perlembagaan
Persekutuan, khususnya hak negeri negeri menggubal undang undang bagi
kepentingan orang Islam.

"Usaha pindaan 121 yang dilakukan pada tahun 1988 adalah sebagai
penegasan dan pengukuhan kepada memelihara bidang kuasa Syariah yang
sebelum pindaan dilihat terkongkong dan tidak dapat melaksanakan
bidangkuasanya yang berwibawa. Usaha meminda semula akan membawa jarum
jam kebelakang dan sekaligus meremehkan usaha pakar pakar perundangan
yang telahpun melihat dan membuat kajian terperinci bagi menyelaraskan
bidang kuasa antara dua mahkamah yang diamalkan di Malaysia."

Menurut Mujahid, berpandukan kepada sebab sebab di atas, Lujnah
Perpaduan Nasional PAS menyokong supaya 121 (1A) dikekalkan bagi
menjamin perpaduan kaum dan bagi memelihara kesejahteraan dan ruh
perlembagaan persekutuan yang menetapkan Islam adalah agama resmi
persekutuan.

Sokongan mengekalkan 121 (1A) ini, katanya, walaubagaimanapun mestilah
disertai juga usaha memperkemaskan pendekatan dan prosedur Mahkamah
Syariah supaya memperuntukan hak bagi bukan Islam untuk menuntut dan
dituntut di dalam Mahkamah Syariah.
-zs

Nyonya Tahir: JAINS akur keputusan mahkamah

Nyonya Tahir: JAINS akur keputusan mahkamah
UM 23/1/2006

SEREMBAN 22 Jan. - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan
(JAINS) akan menerima apa saja keputusan Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban yang akan bersidang esok berhubung status agama Nyonya Tahir,
89.

Pengarahnya, Datuk Zaharudin Mohd. Sharif berkata, pihaknya hanya
menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang yang ditetapkan
apabila timbul keraguan berhubung status agama Nyonya selepas dia
meninggal dunia Khamis lalu.

Beliau berkata, pihaknya mendapatkan perintah Mahkamah Syariah Tampin,
kelmarin bagi menangguhkan pengkebumian Nyoya selepas mendapati wanita
itu berketurunan Melayu dan meninggal dunia di negeri ini.

``Kita terpaksa bertindak selepas mendapati status agama wanita ini
meragukan dan tidak mahu masalah ini akan timbul pada masa akan
datang.

``Kes ini akan dibawa ke mahkamah esok dan kita akan menerima apa saja
keputusan yang dibuat oleh mahkamah,'' katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.

Kematian Nyonya akibat sakit tua, mencetuskan kontroversi apabila
wanita yang dikatakan berketurunan Melayu dan Islam itu mahu
pengkebumiannya mengikut istiadat Buddha.

Mengulas mengenai laporan siasatan Jabatan Agama Islam Melaka yang
kemukakan oleh ahli keluarga Nyonya bagi menyokong status agama wanita
itu, Zaharuddin berkata, JAINS tidak pernah dimaklumkan mengenai
perkara tersebut sehingga kematiannya.

``Wanita itu dipercayai tinggal di Alor Gajah, Melaka sehingga dia di
bawa ke rumah anaknya di Taman Indah, Tampin akibat sakit tua.

``Kita hanya dimaklumkan mengenai keraguan status agama Nyonya selepas
anaknya membuat laporan di balai polis. Jadi ia menjadi tanggungjawab
kami (JAINS) untuk mendapatkan kepastian status agamanya sebelum
wanita itu dikebumikan mengikut upacara mana-mana agama,'' katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa MCA negeri, Datuk Lee Yuen Fong yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang berkata, isu tersebut
perlu ditangani dengan sebaik mungkin kerana melibatkan sensitiviti
kaum.

``Kita biarkan mahkamah yang buat keputusan dan jangan sesekali
membuat spekulasi kerana ia akan memburukkan lagi keadaan ini,''
katanya.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan Keluarga Nyonya Tahir, wanita
Melayu yang beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang
Cina dan menghayati ajaran Buddha akan mengemukakan dokumen pengesahan
status agama anutan wanita itu kepada Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban, esok.

Dokumen yang diperoleh dari Pemeriksa Hal Ehwal Agama 1, Daerah Alor
Gajah, Melaka, Abd. Azit Abdullah itu akan menentukan status sebenar
agama Nyonya yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, di sini
kelmarin.

Ia dikeluarkan melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah
Jabatan Agama Islam Melaka pada 7 Mei 1986.

Antara kandungan laporan siasatan itu ialah Nyonya dilahirkan pada
1918 di Alor Gajah, Melaka dan dipelihara sejak kecil oleh neneknya,
seorang Melayu yang berkahwin dengan seorang mualaf Cina berketurunan
Hailam.

Hasil penyiasatan itu mendapati, sejak dipelihara oleh neneknya,
wanita itu telah mendapat asuhan dan didikan mengikut budaya dan agama
Buddha.

Pada 1936, ketika berusia 18 tahun, dia melangsungkan perkahwinan
dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng dan dikurniakan 13
orang anak.

Sejak berkahwin, Nyonya mengamalkan ajaran Buddha dan memakan babi
manakala suaminya itu tidak pernah memeluk Islam.

Sunday, January 22, 2006

Memo ditarik balik

Memo ditarik balik
Bagi menjaga keharmonian, mengelak isu jadi tegang
BM Online-22/1/2006

 
KUALA LUMPUR: Isu memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Rabu lalu, mengenai penyemakan semula Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berhubung bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, selesai.

Menteri Kabinet bukan Islam menarik balik memorandum berkenaan semalam selepas lima daripada mereka mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, Putrajaya, kira-kira jam 9 pagi.

Mereka ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Kerja Raya merangkap Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang juga Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Perdana Menteri memberikan penjelasan kepada mereka betapa perlunya memorandum itu ditarik balik bagi menjaga keharmonian dan mengelak isu itu menjadi tegang.

Abdullah yang juga Presiden Umno ketika berucap pada majlis Kempen Penambahan Ahli Umno di sini petang semalam, mengesahkan rombongan menteri itu ada menemuinya dan menarik balik memorandum berkenaan.

"Mereka datang ke rumah saya pagi ini walaupun tidak semua. Antaranya Presiden MCA, Presiden MIC dan Presiden Gerakan.

"Dalam perjumpaan itu saya menyatakan kepada mereka bahawa mereka perlu menarik balik memorandum berkenaan dan mereka bersetuju berbuat demikian.

"Jadi, saya harap isu memorandum yang diserahkan kepada saya, Rabu lalu selesai mulai sekarang," katanya.

Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan meminda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tetapi sedia meminda perundangan subsidiari untuk menghuraikan kekaburan bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

"Dalam soal mahkamah syariah dan mahkamah sivil, kita tidak bercadang untuk menghapuskan mana-mana mahkamah. Kedua-dua mahkamah itu akan tetap wujud di mana hal ehwal agama Islam akan dibincang oleh mahkamah syariah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan Kabinet Barisan Nasional mencuba sedaya-upaya untuk meleraikan apa-apa isu besar yang timbul.

Pada sidang media selepas perasmian majlis itu, Abdullah yang ditanya perkara sama berkata: "Siapa saja (menteri Kabinet) boleh bercakap kalau ada perkara yang hendak dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet. Mereka bawalah ke Kabinet kerana kita sentiasa sedia berbincang untuk apa sekalipun.

"Ini sudah menjadi kelaziman kita walaupun terlalu sensitif, kita tetap bincang kerana kita ada keyakinan bersama, sama-sama yakin bahawa matlamat kita adalah untuk kebaikan negara dan rakyat Malaysia," katanya.

Ditanya isi kandungan memorandum itu, beliau berkata, ia tidak perlu dibincangkan lagi kerana menteri Kabinet terbabit sudah menarik balik memorandum berkenaan.

"Dalam pertemuan itu, kita juga tidak ada membincangkan isi kandungan memorandum berkenaan," katanya.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada menteri Kabinet berkenaan akan dikenakan tindakan, beliau berkata: "Awak nak saya gantung semua ahli Kabinet berkenaan...sudahlah...cukuplah apa lagi nak ungkit-ungkit, nak fikir ikut ni, nak analisa lagi kerana semuanya sudah selesai."

Ditanya nasihat beliau kepada menteri Kabinet terbabit, beliau berkata, mereka maklum isu yang dibangkitkan itu boleh menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, terutama orang Melayu, sebab itu mereka setuju menarik balik memorandum berkenaan selepas beliau meminta mereka berbuat demikian.

"Bila saya minta tarik balik, mereka tarik balik, mereka faham. Mereka juga sensitif dan dapatkan pandangan dari pihak lain tentang tindakan mereka itu.

"Yang sensitifnya sebab mereka hantar memorandum, yang pelbagai pihak anggap ia tak sepatutnya dihantar dan sekarang ini yang hantar memorandum dah tarik balik...jadi apa lagi.

"Isu hantar memorandum tak payahlah timbulkan lagi," katanya.

Ditanya adakah isu berkaitan itu akan dibincang pada mesyuarat Kabinet akan datang, beliau berkata, memang sebelum ini perbincangan mengenai isu sama ada dibincangkan pada mesyuarat sebelum ini dan isu yang sama juga akan dibangkitkan lagi.

"Sebab itu kita masih tunggu pandangan daripada Peguam Negara terutama dari segi undang-undang.

"Bila saya terima pandangan Peguam Negara nanti, tentu saya akan maklumkan kepada Kabinet sebab dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini meminta perkara ini diserahkan kepada Peguam Negara untuk memberi pandangannya," katanya.

Mengenai keterbukaan dalam mesyuarat Kabinet, beliau berkata; "Bila kita sama-sama jadi ahli (menteri) tidak ada tegahan untuk berbincang dan bercakap, nak berbincang dan beri pandangan.

"Mereka boleh gunakan kesempatan itu sebaik-baiknya kerana dalam situasi seperti itu kita adalah dalam satu pasukan. Kita semua dalam satu pasukan, tak ada kumpulan tertentu. Kita satu pasukan satu matlamat, satu cita-cita dan satu cara perbincangan yang kita lakukan selama ini.

"Sebab itu kerajaan BN menjadi kerajaan yang berjaya dan maju. Ikutlah prosedur yang selama ini kita jadikan kebiasaan kita....semua orang ada peluang untuk bercakap," katanya.
 

Kita tidak tegas, mereka makin berani - Astro Jabat

Kita tidak tegas, mereka makin berani

Saudara Astora,

DI DALAM isu menuntut pemindaan Perlembagaan sepatutnya 9 menteri berkenaan membangkitkannya di dalam mesyuarat Kabinet. Menghantar memorandum kepada Pak Lah adalah satu perkara yang diluar tabii ataupun kurang ajar. Ia berbentuk protes kepada Perlembagaan yang ada sekarang.

Mungkin kerana cara pendekatan kita yang kurang tegas membuatkan mereka semakin berani.

Benarkah ada kekeliruan dalam Perkara 121 (1A)?

Kita lihat apa kata menteri Islam pula dan adakah mereka akan berdiam diri seperti kes Aisyah Bukhari?

- Shahnir,

shahnir_hizal@yahoo.com

Jawapan:

Betul Shahnir. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun menganggap begitu juga. Beliau pada Jumaat lalu menegaskan sembilan orang menteri bukan Islam perlu mengemukakan isu tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri dan bukannya melalui memorandum.

Di samping itu Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak akan dipinda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menegaskan perkara yang sama. Beliau berharap perbuatan yang tidak sesuai dan tidak `manis' itu tidak lagi berulang.

Dulu dalam kes Aisyah Bukhari bukan menteri-menteri berdiam diri, tetapi mereka menangani isu itu dengan cara menjaga sensitiviti masyarakat bukan Islam. Cuma mungkin cara menjaga sensitiviti mereka agak keterlaluan. Lalu jadi seperti kata orang `dah beri betis, nak paha'.

Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai negara berbilang kaum dan agama yang paling aman dan selamat.

Ini bukan bererti di negara ini tidak ada sebarang masalah antara kaum dan agama, tetapi masalah-masalah itu ditangani oleh kerajaan dengan bijaksana. Dengan itu tidak hairan jika banyak negara dunia merujuk kepada Malaysia berhubung kebijaksanaannya dalam menangani masalah-masalah antara kaum dan agama itu.

Kaum Cina dan India di negeri yang masing-masing sering merujuk kepada China dan India boleh melihat betapa parah kedua-dua negara itu menghadapi masalah-masalah antara kaum dan agama sehingga sampai ke tahap pembunuhan dan perang, sama ada yang berlaku antara pelbagai kaum dan agama mahupun yang berlaku antara pelbagai kaum dan agama dengan kerajaan. Apakah itu yang kita mahu?

Utamakan konsep keadilan - sis

Utamakan konsep keadilan

Oleh: ZAINAH ANWAR

PADA 11 Januari 2006, Kabinet telah mengambil keputusan untuk tidak mewartakan pindaan Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2005 Wilayah Persekutuan.

Memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdullah Md. Zin, serta beberapa pihak seperti Presiden Peguam Syariah dan ahli-ahli akademik, mempertahankan UUKI 2005 ini sebagai adil dan lengkap, maka masyarakat tertanya-tanya mengapa Kabinet membuat keputusan sedemikian?

Banyak pihak juga berpendapat bahawa akal fikiran dan logik serta pengalaman yang dilalui masyarakat tidak boleh diguna pakai dalam penggubalan undang-undang syariah. Adakah benar dakwaan ini?

Mengapa baru kini pertubuhan wanita membuat bantahan keras terhadap pindaan UUKI 2005 ini? Mengapa bantahan tersebut tidak dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya seperti bermuzakarah dengan pihak-pihak berkaitan agar tidak menimbulkan sebarang polemik?

Benarkah akal fikiran dan logik tidak boleh diguna pakai dalam memahami syariah?

SIS sedar banyak pihak, seperti Presiden ABIM (Utusan Malaysia 7 Januari 2005) dan juga sesetengah ahli agama, politik dan akademik berpendapat sedemikian. Namun, pendapat sebegini jelas tidak mencerminkan sejarah perkembangan tamadun pemikiran Islam. Sejarah menunjukkan penggunaan akal dan logik (mantik) sebenarnya dipelopori oleh dunia Islam itu sendiri.

Malah, dunia Barat yang kemudiannya turut mempelajari ilmu mantik (logik) dan mengamalkan tradisi Islam ini. Imam al-Ghazali sendiri menekankan pentingnya mempelajari ilmu mantiq. Yang jelas, konsep ijtihad, yang menggunakan akal fikiran dan logik serta mengambil kira pengalaman masyarakat semasa, adalah suatu konsep yang sangat penting dan unggul dalam tamadun Islam. Pendirian kerajaan Malaysia jelas dalam hal ini, jika tidak kerajaan tidak akan membelanjakan jutaan ringgit bagi membiayai pelajar menuntut di pelbagai bidang keilmuan termasuk bidang syariah, di universiti-universiti di dalam dan luar negara.

Pada forum yang dianjurkan oleh NCWO baru-baru ini, pegawai Jakim juga menekankan pentingnya mengambil kira `suasana masyarakat kini' dalam penggubalan undang-undang.

Bukankah konsep `kesamarataan' atau equality adalah konsep ciptaan Barat dan tidak harus diterapkan ke dalam syariah?

Konsep kesamarataan ini jelas termaktub di dalam al-Quran seperti yang disebut dalam surah al-Ahzab 33:35: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada forum yang dianjurkan oleh W.I.M. (Women's Institute of Management) pada 15 Januari 2005, beliau menekankan betapa perlunya konsep kepelbagaian dan perbezaan dihayati dalam dunia pemikiran Islam agar ia tidak menjadi beku dan jumud akibat bertaklid buta terhadap pendapat tradisional.

Beliau juga melahirkan kekesalan terhadap pendapat yang mendakwa undang-undang syariah itu mutlak dan tidak boleh dipertikaikan kerana dalam isu wanita, ia menyebabkan wujudnya ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita.

Dr. Abdullah Md. Zin menyebut suami juga kini diberi hak fasakh kerana ia selaras dengan konsep `kesaksamaan' seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Namun, persoalan yang timbul adalah mengapa konsep kesaksamaan hanya diambil kira apabila pindaan dibuat untuk menambah hak lelaki sementara konsep yang sama tidak digunakan bagi menambahkan hak wanita.

Bukankah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia merupakan yang terbaik di dunia?

Begitulah seperti yang didakwa oleh Dr. Abdullah Md. Zin. Namun, kajian menunjukkan sesetengah negara lain seperti Maghribi misalnya, mempunyai undang-undang keluarga Islam yang jauh lebih baik. Kami menyambut baik ucapan Presiden NCWO baru-baru ini yang mahu Malaysia menjadi pelopor ulung negara Islam dalam memperjuangkan hak wanita.

Sudah tentu pembuat undang-undang telah mengambil kira nas-nas al-Quran, hadis dan pandangan ulama terkemuka semasa menggubal UUKI ini?

Terdapat pelbagai pandangan dalam dunia Islam, namun nampaknya terdapat kecenderungan untuk memilih pandangan yang sempit yang tidak berupaya memberi keadilan kepada masyarakat masa kini. Haruslah diingat bahawa para fukaha memberi pendapat mereka berdasarkan pemahaman mereka, bukan sahaja berdasarkan nas-nas al-Quran dan hadis, malah juga berdasarkan keadaan masyarakat semasa pada waktu itu. Imam as-Syafie misalnya, telah mengubah pendirian beliau apabila berpindah dari Iraq ke Mesir kerana beliau berpendapat pandangannya itu, walaupun sesuai untuk masyarakat Baghdad pada masa itu, tetapi tidak sesuai untuk masyarakat lain pada waktu yang berlainan, walaupun perbezaan jangka waktunya hanya beberapa tahun sahaja.

Di Malaysia sendiri contohnya, walaupun kita mengikut mazhab Syafie, tetapi kita menggunakan pendapat Hanafi dalam pengurusan zakat fitrah kerana para ulama di Malaysia berpendapat pandangan Syafie yang menuntut agar pembayaran zakat fitrah dibuat dalam bentuk makanan asasi (beras) tidak sesuai dan pendapat Imam Hanafi yang membolehkan bayaran zakat fitrah menggunakan wang lebih sesuai diterima pakai. Maka jelas, penggunaan akal, logik dan keadaan masyarakat semasa, tidak asing dalam tradisi perundangan Islam, seperti di Malaysia.

Namun kita bertanya, mengapa dalam hal berkaitan isu wanita, terdapat keengganan untuk mengambil pendapat ulama yang lebih dapat memberi keadilan kepada wanita dalam masyarakat masa kini.

Mengapa baru kini pertubuhan wanita menyuarakan bantahan?

Sebenarnya pihak pertubuhan wanita telah mengemukakan syor-syor pembaharuan dan pindaan undang-undang kepada Jabatan Perdana Menteri, dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat dalam beberapa memorandum kami sejak 2002. Beberapa mesyuarat telah diadakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Jakim mengenai memorandum yang kami kemukakan tentang kelemahan dan perkara-perkara yang bersifat diskriminasi. Malangnya, pandangan dan kebimbangan kami tidak diberi perhatian, malah isi peruntukan yang sama telah dibentangkan dalam Rang Undang-Undang di Dewan Undangan Negeri-Negeri lain dan di Parlimen Persekutuan. Sebagaimana yang dikatakan kepada ahli Dewan Negara, kami juga diberitahu supaya ``menerimanya dan akan dipinda kemudian''.

SIS juga telah memberi penjelasan kepada pertubuhan wanita pada tahun 2002, dan telah mewakili 18 pertubuhan wanita, termasuk NCWO, dalam menuntut UUKI ini disemak semula dan agar jawatankuasa antara agensi yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan wanita dibentuk dalam proses penyemakan tersebut.

Peruntukan pindaan undang-undang yang manakah menjadi punca kebimbangan pertubuhan wanita?

Secara ringkasnya, pindaan yang telah dibuat bukan sahaja mengekalkan hak-hak tradisi lelaki malah menambahkan lagi hak-hak mereka sehingga menimbulkan ketidakadilan pada pihak wanita. Antara kesan yang timbul akibat pindaan tersebut adalah:

``Syarat poligami dipinda daripada ``patut dan perlu'' kepada ``patut atau perlu'', maka beban pembuktian di pihak suami telah pun dikurangkan.

``Memberi suami hak menuntut harta sepencarian daripada pihak isteri apabila dia mahu berpoligami.

``Memberi kuasa perintah larangan kepada pihak suami untuk menuntut harta sepencarian daripada pihak isteri.

``Isteri yang dimadukan terpaksa memilih sama ada untuk menuntut nafkah atau harta sepencarian. Hukum syarak telah jelas mewajibkan lelaki memberi nafkah kepada ahli keluarga.

``Melanjutkan hak fasakh isteri kepada suami. Hak fasakh kepada suami adalah menurut pandangan minoriti ulama dan ramai ulama yang berlainan pendapat dalam hal ini. Jika hak fasakh diberikan juga kepada lelaki, maka adalah adil jika isteri juga hendaklah diberi hak talak tafweed, iaitu suami memberikan hak lafaz cerai kepada isteri, seperti yang diamalkan di beberapa negara Islam lain seperti Pakistan dan Bangladesh.

Banyak pihak mengatakan hanya yang pakar sahaja boleh membincangkan hukum-hukum syariah. Maka adakah SIS mempunyai hak untuk memperkatakan isu-isu berkaitan hukum syariah?

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan Islam telah dijadikan sumber undang-undang di Malaysia, maka SIS berpendapat rakyat Malaysia berhak menyuarakan pandangan mereka, apatah lagi bila ia memberi kesan terhadap kehidupan dan kesejahteraan hidup rakyat. Jika rakyat boleh bersuara dalam hal-hal yang melibatkan politik, ekonomi dan sosial, mengapa rakyat tidak boleh menyuarakan pandangan dalam hal undang-undang agama?

Terdapat banyak perbezaan pendapat dalam pelaksanaan syariah di negara-negara Islam, malah pindaan kerap kali dilakukan dari masa ke masa. Ini menunjukkan undang-undang syariah tidak statik dan sentiasa berubah hasil timbal balas terhadap pemikiran dan keadaan semasa.

Di pihak SIS juga, selain mempunyai pegawai undang-undang bertauliah sepenuh masa, penasihat undang-undang kami, Nik Noriani Nik Badlishah adalah merupakan penuntut kedoktoran dalam bidang tamadun Islam. Beliau juga telah berkhidmat selama 10 tahun di pejabat Jabatan Peguam Negara di bahagian penggubalan dan penyemakan undang-undang.

Maka adalah tidak benar dakwaan yang mengatakan SIS tidak tahu langsung tentang syariah dan proses penggubalan undang-undang. Kami juga sentiasa membuat rujukan terhadap perkembangan ilmu Islam serta merujuk kepada ahli-ahli fikir Islam di seluruh dunia.

Apakah cadangan pertubuhan wanita terhadap UUKI?

Pertubuhan wanita menyeru pihak berkuasa agar UUKI mengambil pandangan menyeluruh iaitu dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti konsep keadilan, kesamarataan, kesaksamaan, mendaulatkan Perlembagaan Negara dan juga memenuhi perjanjian-perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani kerajaan Malaysia.

 

Sample text

Sample Text

Sample Text