Pages

Ads 468x60px

Wednesday, November 07, 2007

Caruman KWSP tetap harta pusaka

Caruman KWSP tetap harta pusaka

KEPUTUSAN Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan 2002 yang memutuskan bahawa wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai harta pusaka adalah tetap dan tidak boleh diubah.

Menurut Setiausaha Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd Zaidi Mohd Zain, muzakarah itu juga menetapkan, penama atau waris bertanggungjawab untuk membahagikan harta pusaka termasuk wang KWSP mengikut sistem faraid (pembahagian harta mengikut Islam).

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar bagi mana-mana pihak supaya akur dengan keputusan itu untuk mengelak timbulnya masalah lain.

``Lebih elok jika kita melihat perkara ini dari sudut agama kerana menurut Islam, harta pusaka perlu dibahagikan kepada waris, isteri dan anak,'' katanya.

Mohd Zaidi berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga agar wanita dibenarkan menuntut sebahagian caruman KWSP milik bekas suami yang gagal memberi nafkah selepas perceraian.

Mengaitkan wang KWSP dengan harta sepencarian, beliau menegaskan, wang KWSP bukan harta sepencarian kerana ia tidak melibatkan sumbangan bersama suami dan isteri.

Sebaliknya merupakan simpanan atau tabungan individu seperti yang disyaratkan oleh pihak kerajaan.

``Sedangkan takrif harta sepencarian sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang ialah apa-apa aset yang diperoleh oleh suami dan isteri dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka,'' ujarnya.

Menurutnya lagi, apabila memperkatakan mengenai hak harta sepencarian ia melibatkan hak kedua-dua belah pihak.

Dalam keadaan ini kata Mohd. Zaidi, bukan sahaja si isteri yang boleh memohon harta sepencarian, tetapi suami juga boleh membuat tindakan yang sama.

``Jika diiktiraf wang KWSP sebagai harta sepencarian, maka bukan sahaja isteri yang boleh menuntut wang KWSP suami tetapi juga sebaliknya.

``Seandainya keadaan ini berlaku, sudah tentu akan berlakunya penganiayaan dalam keadaan di mana hanya isteri sahaja yang membuat caruman KWSP, sedangkan suami tiada caruman. Sudah tentu isteri tidak mahu terjebak dalam situasi yang merumitkan ini,'' ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi tidak menolak agar wanita dibenarkan menuntut sebahagian wang caruman KWSP milik bekas suami yang gagal memberi nafkah selepas perceraian.

Menurutnya, cadangan itu dianggap munasabah kerana ia mampu menjamin pembayaran berterusan dan menghalang suami melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawab.

Jelas beliau, cadangan itu juga amat wajar dipertimbangkan, tetapi perlaksanaannya hendaklah sebagai pilihan terakhir.

``Ataupun di peringkat perlaksanaan perintah iaitu setelah terbukti si suami tiada sumber lain untuk membayar tunggakan nafkah selain wang di dalam KWSP.

``Tindakan itu adalah selari dengan hukum syarak bagi mengelakkan kemudaratan kepada si isteri dan anak-anak,'' ujarnya.

Menurut Mohd Zaidi lagi, terdapat kes di mana walaupun perintah Tahanan Pendapatan Tenaga (potong gaji) dikeluarkan, si suami masih cuba mengelak dengan pelbagai alasan termasuk bertukar tempat kerja.

Sebaliknya, kata Mohd Zaidi jika potongan itu dibuat melalui akaun KWSP suami, sudah tentu suami tidak dapat melarikan diri lagi. Ini kerana walau dimana suami bekerja, dia tetap diwajibkan mencarum.

``Tiada gunanya menyimpan, sedangkan kewajipan dan keperluan asasi tidak ditunaikan,'' ujarnya.

Bagaimanapun katanya, bagi kes bercerai hidup, setakat ini belum ada peruntukan undang-undang yang membolehkan bayaran nafkah dibuat melalui potongan wang KWSP.

Berbanding apabila berlaku kematian katanya, isteri boleh mengeluarkan wang KWSP suami dan proses pengeluaran tersebut akan menjadi lebih mudah jika suami telah menamakan isteri atau waris-waris lain sebagai penama.

Mohd Zaidi menegaskan, pindaan segera undang-undang perlu dibuat bagi menghentikan penganiayaan terhadap golongan wanita dan anak-anak oleh suami atau bapa yang tidak bertanggungjawab

source: UM-03/09/2002
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0903&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_03.htm&arc=hive

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text