Telepersidangan kurangkan kes tertangguh
KUCHING 5 Feb. – Telepersidangan perbicaraan yang diperluaskan ke mahkamah-mahkamah diseluruh negara dapat mengurangkan jumlah kes yang tertangguh, kata Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Menurut beliau, kaedah itu sekiranya dilakukan dengan betul mampu menjimatkan banyak masa berbanding kaedah perbicaraan pada masa ini.
''Perbicaraan di antara mahkamah-mahkamah dapat dilakukan tanpa memerlukan peguam dan saksi hadir secara fizikal.
''Ini dapat memendekkan tempoh penangguhan sehingga tempoh maksimum setahun yang sememangnya sudah cukup baik jika ia dicapai," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan Persidangan video, Telepersidangan, Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Sistem Carian Fail di Mahkamah-mahkamah Sarawak.
Turut hadir Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Richard Malanjum.
Menurut Ahmad Fairuz, kaedah yang diperkenal di Sarawak itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.
Selain mempercepatkan proses mengambil keterangan saksi, katanya, ia juga dapat mengurangkan perbelanjaan yang ditanggung peguam serta saksi untuk penginapan dan pengangkutan ketika mengikuti perbicaraan.
Katanya, sebagai permulaan, kaedah persidangan video secara langsung itu akan digunapakai bagi kes-kes sivil sahaja.
''Jawatankuasa kerja yang dipengerusikan saya akan memperkenalkan beberapa lagi kaedah baharu bagi mengatasi masalah yang mungkin timbul berhubung pelaksanaannya," jelasnya.
Beliau yang tertarik ketika demonstrasi penggunaan sistem itu berkata, inisiatif tersebut seiring dengan perkembangan teknologi dan dapat memanfaatkan banyak pihak.
''Para peguam misalnya tidak perlu lagi bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain semata-mata untuk menghadiri beberapa perbicaraan.
''Pada masa yang sama pengurusan pintar menggunakan teknologi berkomputer juga dapat mengurangkan masalah kehilangan fail oleh peguam-peguam," ujarnya.
Badan-badan kehakiman di negara ini, kata beliau, ia juga dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan kaedah yang lebih mudah.
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan undang-undang akan membolehkan penggunaan kaedah yang sama bagi perbicaraan kes jenayah.
Tambah Ahmad Fairuz, penggunaan sistem itu dapat mengurangkan risiko keselamatan yang ditanggung pihak penjara ketika membawa tertuduh ketika proses melanjutkan perintah reman.
''Ahli-ahli kimia juga dapa memberikan keterangan bagi beberapa kes dalam satu-satu masa," ujarnya.
Bagi sistem SMS pula, kata beliau, ia dapat menyediakan maklumat serta tarikh perbicaraan kepada peguam dan orang awam.
No comments:
Post a Comment