Pages

Ads 468x60px

Wednesday, August 29, 2007

PM mahu Ketua Hakim Negara beri penjelasan

PM mahu Ketua Hakim Negara beri penjelasan


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memberi penjelasan berhubung laporan ada hakim tidak membuat penghakiman bertulis dalam kes yang mereka kendalikan.

Perdana Menteri berkata, kegagalan hakim berbuat demikian amat mendukacitakan kerana ia adalah penting untuk mereka yang terbabit dalam sesuatu perbicaraan.

"(Jika benar) 35 kes tidak ada penghakiman bertulis oleh hakim yang berkenaan, ia perkara perlu diberi penjelasan oleh Ketua Hakim Negara.

"Ketua Hakim Negara kena bagi tahu dan jawab. Saya pernah dengar daripada Ketua Hakim Negara tidak ada mana-mana hakim tidak tulis kes," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, di Menara Datuk Onn, di sini semalam.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Pengerusi DAP, Karpal Singh menamakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff tidak membuat penghakiman bertulis bagi 35 kes, termasuk empat yang dijatuhi hukum mati tujuh tahun lalu dan pesalah masih berada di penjara.

Abdullah juga berkata, Majlis Raja-Raja tidak pernah membantah senarai calon Hakim Besar Malaya yang dikemukakan kerajaan bagi mengisi kekosongan jawatan berikutan persaraan Tan Sri Norma Yaakob pada 5 Januari lalu.

Friday, August 24, 2007

Satu lagi kelebihan sidang video

Laporan Persidangan Pegawai Syariah ke 9 di BH

alamkia

Kaji undang-undang nafkah anak luar nikah

Kaji undang-undang nafkah anak luar nikah

SHAH ALAM 23 Ogos – Majlis agama Islam negeri-negeri dicadangkan mengkaji serta menggubal Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam berhubung pemberian nafkah oleh bapa kepada anak luar nikahnya.

Cadangan yang dibuat pada muzakarah pakar-pakar Islam mengenai anak tidak sah taraf (luar nikah) itu dikemukakan kerana ketika ini tiada sebarang enakmen yang jelas diperuntukkan oleh mana-mana negeri mengenai pemberian nafkah kepada golongan itu.

Dekan Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Zaleha Kamarudin berkata, ketika ini pemberian nafkah atau tanggungan anak luar nikah hanya diletakkan pada bahu ibu dan bukannya bapa kepada anak berkenaan.

Menurutnya, pihak majlis agama Islam negeri-negeri diharap meneliti perkara itu kerana si bapa dilihat seperti terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab kepada anak terbabit.

"Sebaliknya, yang menanggung musibah serta bebanan daripada perbuatan yang dilakukan ialah ibu serta anaknya yang tidak berdosa.

"Oleh itu, adalah tidak salah jika undang-undang memperuntukkan bapa anak luar nikah terbabit bertanggungjawab membesarkannya selain sebagai denda atas kesalahan yang telah dilakukan sehingga menyebabkan anak-anak itu lahir," katanya.

Zaleha berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Nafkah Anak Tak Sah Taraf: Perspektif Undang-undang pada Muzakarah Pakar Ketiga yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Datuk Dr. Amran Kasimin di sini hari ini.

Turut hadir ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid.

Selain itu, muzakarah tersebut turut mencadangkan supaya majlis agama Islam setiap negeri menubuhkan satu dana khas bagi membantu membiayai perbelanjaan serta mengurangkan beban anak-anak terbabit khususnya yang terbiar tanpa mengetahui siapa ibu bapa mereka.

Penerapan syariah ganti Common Law


Dalam Negeri

Penerapan syariah ganti Common Law

PUTRAJAYA 23 Ogos – Sebarang usaha untuk menerapkan prinsip keadilan undang-undang syariah dalam sistem kehakiman di negara ini bagi menggantikan penggunaan Common Law Inggeris amat dialu- alukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.

Menurut beliau, pihaknya percaya langkah itu boleh dilaksanakan melalui proses tadrij atau berperingkat-peringkat menerusi kajian teliti melibatkan pelbagai aspek perundangan.

''Dari segi pandangan umum, jika ada usaha berterusan ke arah itu, kita amat mengalu-alukan dan berharap ia dilaksanakan secara berperingkat supaya menjamin kejayaan pelaksanaannya.

'Ini kerana Islam juga meraikan prinsip-prinsip keadilan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kaunseling Pesakit Terminal dan Kronik di sini hari ini.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hospital Pakar al-Nur dan World Assembly Muslim Youth (WAMY).

Abdullah mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak memikirkan sumber lain selain Common Law Inggeris bagi mendapatkan prinsip- prinsip keadilan.

Katanya, undang-undang Islam adalah yang terbaik kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama.

Menurut Abdul Gani, prinsip tersebut juga boleh didapati dalam kebudayaan, cara hidup dan agama termasuk Islam serta adat seperti yang diamalkan sekarang di Sabah dan Sarawak.

Selasa lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mencadangkan agar rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.

Abdullah yang menyifatkan kenyataan Abdul Gani itu sebagai positif, bagaimanapun, mahu penerapan prinsip undang-undang Islam dalam sistem undang-undang negara tidak dilakukan secara drastik.

''Tentang perinciannya saya tidak boleh sebut kerana ia di luar bidang kuasa saya.

"Jabatan Kehakiman dan Syariah Malaysia sedang menumpukan kepada penyeragaman rang undang-undang syariah di negeri-negeri yang kini sudah sampai ke peringkat 90 peratus pelaksanaannya," kata beliau.

Terdahulu, Abdullah berkata, pihaknya bersedia menambah bilangan kakitangan dari Jakim untuk ditempatkan di hospital-hospital bagi membantu pesakit terminal dan kronik melakukan ibadah seperti solat selain memberi dorongan kepada mereka untuk terus tabah menempuh kehidupan.

''Pada masa ini terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang menziarahi pesakit dari katil ke katil tanpa mengira agama bagi menyampaikan hadiah dan memberi kata perangsang agar mereka cepat sembuh.

''Saya berharap lebih banyak NGO tampil membantu. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersedia mengeluarkan peruntukan wang zakat dari Baitulmal sekiranya ada NGO yang mahu menjalankan aktiviti tersebut,'' katanya.

Wednesday, August 08, 2007

Sangat serius – Gani -- Peguam Negara akan bertemu KPN hari ini bincang kes ‘janji siap’

Sangat serius – Gani -- Peguam Negara akan bertemu KPN hari ini bincang kes 'janji siap'

Oleh Norila Daud dan Wan Syamsul Amly Wan Seadey

PUTRAJAYA 7 Ogos – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyifatkan kes siasatan 'sekadar janji siap' melibatkan pembebasan dua lelaki daripada tuduhan membunuh oleh Mahkamah Tinggi Kuantan semalam sebagai sangat serius dan perlu diselesaikan segera.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan esok untuk membincangkan perkara tersebut.

"Ini merupakan satu masalah serius yang perlu diselesaikan dengan segera.

"Yang pasti keputusan mahkamah berhubung siasatan 'sekadar janji siap' ini akan difailkan di Mahkamah Rayuan,'' tegasnya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Abdul Halim Aman membebaskan dua pemuda daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang dikatakan cuba mencuri getah sekerap atas alasan pegawai penyiasat kes itu membuat siasatan sekadar 'janji siap'.

Sambil menyifatkan pegawai penyiasat kes bunuh itu tidak melaksanakan siasatan menyeluruh, Abdul Halim secara terbuka menegur mutu kerja pegawai polis yang bertanggungjawab mengendalikan kes berkenaan.

Justeru, beliau memutuskan membebaskan dua tertuduh, Syed Halil Syed Mohamad Ali, 23, dan Mohd. Nazri Jailani, 23, tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Dalam kes seumpama itu kata Abdul Gani, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya keterangan saksi bercanggah dalam perbicaraan.

''Pihak kami hanya berpandu kepada dokumen-dokumen dan kertas siasatan yang

dibekalkan oleh pegawai penyiasat serta badan-badan terlibat.

''Sekiranya bukti atau keterangan didapati tidak mencukupi, pihak kami akan meminta daripada mereka,'' jelasnya.

Abdul Gani menambah, semua pihak tidak boleh menuding jari dan menyalahkan sesiapa setiap kali pendakwaan kalah.

Ditanya pendakwa yang sering 'kalah' kebelakangan ini, Abdul Gani berkata, tujuan pendakwa membawa kes ke mahkamah bukanlah semata-mata untuk mendapatkan kemenangan dan menghukum tertuduh.

''Sebaliknya kita mahu memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat sama ada tertuduh mahupun yang mendakwa,'' jelasnya.

Abdul Gani menambah, untuk mencapai keadilan, kerjasama semua pihak termasuk orang awam diperlukan bagi memastikan perbicaraan berjalan lancar.

Mengenai tanggapan serong masyarakat setiap kali pendakwa kalah di mahkamah, beliau berkata, nisbah kemenangan pihak pendakwa sebenarnya melebihi separuh berbanding yang kalah.

Bagaimanapun jelasnya, sebaliknya dalam kes pembelaan yang kalah, tiada pula orang mendakwa peguam tidak menjalankan pembelaan dengan cemerlang.

Mansuh Penjara Poligami tanpa kebanaran

Tuesday, August 07, 2007

Kes ‘janji siap’

Kes 'janji siap' -- * Hakim tempelak penyiasat * Dua tertuduh kes bunuh dibebas

Oleh Shamsiah Zulkafli


SEBAK... Syed Halil Syed Mohamad Ali memeluk ibunya (gambar kiri) sementara Mohd. Nazri Jailani yang sebak ditenteramkan bapanya setelah dibebaskan daripada tuduhan membunuh oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang, semalam. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUANTAN 6 Ogos – Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Halim Aman hari ini membebaskan dua pemuda daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang dikatakan cuba mencuri getah sekerap atas alasan pegawai penyiasat kes itu membuat siasatan 'sekadar janji siap'.

Sambil menyifatkan pegawai penyiasat kes bunuh itu tidak melaksanakan siasatan menyeluruh, Hakim Abdul Halim secara terbuka menegur mutu kerja pegawai polis yang bertanggungjawab mengendalikan kes berkenaan.

Justeru, beliau memutuskan membebaskan dua tertuduh, Syed Halil Syed Mohamad Ali, 23, dan Mohd. Nazri Jailani, 23, tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Selepas prosiding selesai, Mohd. Nazri yang diwakili peguam Sairilhamd Abd. Manaf dilihat menitiskan air mata, sementara Syed Halil pula yang kelihatan tenang bersalaman dengan peguamnya, Bob Arumugam.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Abdul Halim berkata, daripada keterangan 18 saksi sepanjang setahun perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amy Ling Huoy Yi gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh terlibat dalam kes pembunuhan Jamzi Afzan Ahmad, 23, pada Julai tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Syed Halil dan Mohd. Nazri bersama lima lagi yang masih bebas didakwa membunuh Jamzi Afzan antara pukul 12.01 dan 2.15 pagi 7 Julai tahun lalu di Blok 12, Lot 1349, Ladang Getah Lepar Hilir 2, Gambang dekat sini.

Mangsa dipukul sehingga berlumuran darah di tempat kejadian sebelum dibawa ke Klinik Gambang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Jamzi Afzan dibelasah setelah dipercayai cuba mencuri getah sekerap di ladang tersebut bersama dua rakannya namun kedua-dua rakannya itu berjaya menyelamatkan diri.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim menyifatkan siasatan kes tersebut yang dikendalikan Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Noorleyda Ahmad dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai 'tidak memuaskan, tidak menyeluruh dan sekadar janji siap'.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi, amat jelas wujud beberapa lelaki Indonesia di tempat kejadian, tetapi pegawai penyiasat (Noorleyda) tiada usaha untuk mendapatkan kehadiran serta latar belakang kesemua lelaki tersebut," katanya.

Noorleyda juga, kata hakim itu, gagal mengesan identiti seorang lagi warga Indonesia yang cedera dalam kejadian di ladang berkenaan walaupun beliau mengakui kewujudan lelaki itu yang kemudian dihantar ke Klinik Gambang bagi mendapatkan rawatan.

"Mengapakah butiran pekerja Indonesia itu tidak dikemukakan (kepada mahkamah)? Adakah dia pendatang asing tanpa izin yang tiada dokumen sah, atau dia terlibat secara langsung sehingga menyebabkan kematian Jamzi Afzan?

"Mengapakah identiti pekerja itu perlu disembunyikan? Semua ini menimbulkan pelbagai persoalan," ujar beliau.

Hakim Abdul Halim menambah, pegawai penyiasat itu juga tidak membawa anggota Unit Forensik dan detektif ke tempat kejadian serta hanya melawat lokasi pembunuhan sebanyak dua kali.

Katanya lagi, tiada sebarang objek atau senjata dikesan di tempat kejadian walaupun mengikut keterangan saksi-saksi senjata parang, besi dan kayu telah digunakan untuk memukul mangsa.

"Penyiasatan kes ini dijalankan secara tidak terperinci dan amat tidak memuaskan.

"Walaupun berdasarkan keterangan saksi, Syed Halil ada menendang mangsa di bahagian dada, namun tendangan itu dirasakan tidak cukup kuat untuk membuatkan mangsa cedera lalu meninggal dunia manakala nama Mohd. Nazri pula tidak dikaitkan langsung dengan adegan pukul," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memutuskan kedua-dua tertuduh, Syed Halil dan Mohd. Nazri, dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh.

Hakim itu membuat kesimpulan bahawa mangsa, Jamzi Afzan, meninggal dunia kerana kecederaan yang dipercayai disebabkan oleh beberapa pekerja Indonesia yang disebutkan dalam keterangan beberapa saksi perbicaraan itu.

 

Sample text

Sample Text

Sample Text