Pages

Ads 468x60px

Monday, April 30, 2007

Pasangan Islam bercerai meningkat

Pasangan Islam bercerai meningkat

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

SEREMBAN 29 April – Kadar perceraian pasangan Islam di negeri ini mencatatkan peningkatan mendadak dalam tempoh tiga tahun ini berbanding pasangan bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, pada tahun lepas sebanyak 866 pasangan beragama Islam bercerai berbanding hanya 86 pasangan melibatkan pasangan bukan Islam.

Beliau berkata, pada tahun 2005 pula sebanyak 824 kes dicatatkan dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 176 kes berbanding tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun untuk pasangan bukan Islam, jumlah perceraian amat rendah iaitu 73 kes pada tahun 2005 dan hanya 50 kes pada tahun sebelumnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Norhayati, berdasarkan statistik, kadar perceraian paling tinggi bagi pasangan beragama Islam adalah mereka yang berumur antara 30 dan 40 tahun.

Selain itu, katanya, pasangan paling muda yang bercerai ialah 16 tahun dan paling tua pada usia 87 tahun,

Beliau menambah, statistik mengenai kes perceraian bagi pasangan bukan beragama Islam di negeri ini adalah berdasarkan Dikri Nisi Mutlak yang diterima daripada Mahkamah Tinggi Seremban.

Jelasnya, masalah keruntuhan rumah tangga bagi pasangan beragama Islam di negeri ini agak serius dan pihaknya telah merangka pelbagai program untuk membendung masalah tersebut.

"Kajian kita mendapati kebanyakan pasangan bercerai pada pertengahan usia perkahwinan mereka dan berumur sekitar 30-an.

"Kebanyakan pasangan mengalami masalah pada pertengahan usia perkahwinan mereka kerana pada permulaan perkahwinan mereka melalui saat-saat bahagia dan selepas usia 40 tahun, mereka telah mencapai tahap kematangan.

"Justeru itu, usia di sekitar 30 sehingga 40 tahun merupakan saat-saat getir yang perlu ditempuhi oleh setiap pasangan dan mereka perlu bertindak bijak bagi memastikan rumahtangga selamat," katanya.

Ujar Norhayati, semua pihak perlu bekerjasama untuk mengatasi masalah tersebut bagi memastikan institusi kekeluargaan akan terus utuh.

Tambah beliau, pihaknya juga meminta Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) supaya mempertingkatkan lagi program sedia ada bagi mengatasi masalah perceraian yang kian meningkat saban tahun.

Monday, April 23, 2007

Kes Subashini:Satu ketidakadilan pada orang Islam, kenapa didiamkan?

KENYATAAN MEDIA DPPP

Kes Subashini v Saravanan membuka sekali lagi lembaran baru pertembungan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara ini.

Secara ringkasnya fakta kes ini adalah seorang wanita Hindu , Subashini Rajasingham telah berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Saravanan Thangathoray pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan mereka terdapat dua orang anak iaiti Dharvin Joshua berumur 3 tahun dan Sharvind berumur 1 tahun. Saravanan kemudiannya telah memeluk agama Islam dengan nama Islamnya Muhammad Shafi.

Memandangkan isterinya kekal dalam agama Hindu, Muhammad Shafi tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan perintah pembatalan perkahwinannya dengan isterinya yang masih beragama Hindu.

Menurut undang-undang Islam, perkahwinan Muhammad Shafi adalah dikira terbatal secara automatik apabila beliau memeluk Islam tatkala isterinya enggan masuk Islam dan kekal dalam agama Hindu.

Bagaimanapun di dalam undang-undang yang sedia ada Muhammad Shafi perlu mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu bagi membatalkan perkahwinannya dengan bekas isterinya tersebut kerana Seksyen 46 ( 1 ) Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 memperuntukkan bahawa:

"Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk satu kepercayaan lain daripada Islam , maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh Mahkamah."

Muhammad Shafie tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah kerana meskipun perkahwinannya dengan bekas isterinya dikawal oleh Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) ,

Akta tersebut sendiri menghalang Muhammad Shafie untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi ( Sivil ) kerana berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut diperuntukkan:" Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam maka pihak yang satu lagi yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk penceraian."

Berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut adalah jelas Muhammad Shafie dihalang oleh undang –undang sivil sendiri untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Seksyen 51 digubal di atas falsafah bahawa memasuki agama Islam dikira satu kesalahan matrimonial dan yang demikian pihak yang masuk Islam dinafikan haknya untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Sivil.

Di dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam , Pulau Pinang ( 1990 ) 2 MLJ 307 Y.A Hakim Wan Adnan menyatakan bahawa " satu perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila satu pihaknya memeluk Islam. Ia hanya memberi alasan kepada satu pihak satu lagi yang tidak masuk Islam untuk memfailkan petisyen penceraian ( di Mahkamah sivil ).

Meskipun di dalam kes tersebut Kadi Besar memutuskan bahawa perkahwinan di dalam keadaan tersebut akan dibubarkan mengikut undang –undang Islam, Hakim Wan Adnan menyatakan; " pernyataan Kadi Besar itu tidak akan menjejaskan keadaan Plaintif di dalam pandangan undang-undang peribadinya dan undang-undang sivil negara."

Kesan ketara seksyen 51 dalam konteks kes ini adalah perkahwinan antara Muhammad Shafie dan Subashini akan terus wujud selagi mana Subashini tidak memfailkan petisyen penceraiannya di Mahkamah Tinggi dan ini mendatangkan satu ketidakadilan kepada pihak yang masuk Islam.

Meskipun di dalam kes ini Muhammad Shafi telah mendapatkan perintah pembubaran perkahwinannya dengan Subashini di Mahkamah Syariah namun ianya tidak berkesan membubarkan perkahwinannya ke atas Subahsini , Ini kerana menurut seksyen 4 atau 8 Akta tersebut perkahwinan tersebut , jika sah hendaklah berterusan sehingga dibubarkan

( a ) dengan kematian salah satu pihak ;

( b ) dengan perintah sesuatu Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang layak ; atau

( c ) dengan dikri pembatalan yang dibuat oleh sesuatu Mahkamah

"Mahkamah" di dalam seksyen tersebut ditakrifkan sebagai Mahkamah Tinggi atau Hakim Mahkamah Tinggi.

Di dalam kes ini bagaimanapun Subashini telah memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membubarkan perkahwinannya dengan Muhammad Shafi . Sebelum petisyen penceraian tersebut didengar, Subahsini telah membuat permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi bagi :-

a.Menghalang Muhammad Shafi mengislamkan anak –anak mereka ;

b.Menghalang Muhammad Shafi untuk memulakan atau meneruskan prosiding berhubung dengan perkahwinan mereka dan anak-anak mereka di Mahkamah Syariah.

Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan injunksi tersebut meskipun pada awalnya membenarkan injunksi diberikan secara ex parte telah membatalkan perintah injunksi tersebut atas alasan-alasan berikut :-

a.Injunksi tidak boleh diberikan ke atas apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah di bawah seksyen 54
(b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi;

b."Subject matter" bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara 121 ( 1A ) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Subashini telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Rayuan dua orang Hakim ( Hakim Dato' Suriyadi dan Dato" Hassan Lah ) telah memutuskan menolak rayuan Subashini manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan keputusan yang menentang ( dissenting judgment ).

Keputusan Mahkamah Rayuan khususnya keputusan Hakim Dato' Hassan Lah telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam sendiri kerana Hakim tersebut telah memberikan satu pandangan bahawa Subashini masih mempunyai peluang ( recourse ) untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah kerana di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan )1993 iaitu di bawah seksyen 53 terdapat peruntukkan yang membenarkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafie.

Yang Arif Hakim Hasan Lah di dalam penghakimannya menyatakan;

" I think the wordings in that section ( section 53 ) is wide enough to enable the wife to apply to the Syariah Appeal Court to exercise its supervisory and revisionary powers to make the ruling on the legality of the husband's application and the interim order obtained by the husband on the ground that the Syariah Court had no jurisdiction over the matter as she is not a person professing a religion of Islam. The wife could have done that rather than asking the Civil Court to review the Syariah Court's decisions".

Kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak bukan Islam adalah Mahkamah Syariah tidak layak sama sekali mengadili orang bukan Islam dan cadangan Dato Hasan Lah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam sahaja.

Kritikan tersebut secara jelas mengabaikan atau mengenepikan perkara –perkara berikut :-

a.Cadangan Hassan Lah adalah bagi memberikan ruang untuk Subashini mendapatkan peluang untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah , sekiranya beliau tidak berpuashati , melihat atau menyemak legaliti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam melakukan hal tersebut Subashini hanya perlu menulis surat kepada Mahkamah Rayuan Syariah untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah menyemak kembali keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafi

b.Tidak langsung membicarakan peruntukkan seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 yang menghalang sama sekali Muhammad Shafi memfailkan penceraiannya dan mendapatkan perintah-perintah yang berkaitan ( ancillary orders ) di Mahkamah Sivil yang mana seksyen 51 ini adalah satu diskriminasi yang ketara ke atas orang Islam dan boleh dihujahkan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan persamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ).

c.Memaksa untuk Muhamad Shafie untuk tunduk dan menyerah diri kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil ke apabila Muhammad Shafie dijadikan Responden di dalam petisyen penceraian yang difailkan oleh Subahshini di bawah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 sedangkan berdasarkan seksyen 3 ( 3 ) Akta tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai kepada orang Islam tetapi enggan mengarahkan Subashini untuk tunduk kepada Mahkamah Syariah bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah.

d.Tidak langsung mengambil kira kritikan Hakim Dato Suriyadi di dalam penghakimannya kepada pihak-pihak yang menjadi pemerhati di dalam kes tersebut seperti Sisters In Islam, Woman's Aids Organization ( WAO ), Woman's Centre for Change ( WCC ), Bar Council dan yang lain yang meskipun diberi peluang untuk mengemukakan hujah mereka telah tidak membuat persiapan yang mencukupi ( ill prepared ) di dalam mengemukakan hujah bagi membantu Mahkamah.

Hakim Dato Suriyadi menyatakan, " Well-intentionned third parties, championing certain views did not contribute much to the proceeding before us due to their ill preparedness."

Kesimpulannya kes Subahsini ini merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan perlaksaaan undang-undang Islam di negara ini.

Dalam banyak keadaan isu-isu seperti ini disensasikan dengan diputarbelikan atau disembunyikan fakta atau isu yang sebenar. - mks.

Mohamed Hanipa Maidin
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Friday, April 20, 2007

Bapa diusir anak tuntut hak


Menantu, isteri mungkir janji halau pasangan dari rumah dipindah milik

SEREMBAN: Sepasang suami isteri warga emas memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.

Pesara, Kassim Othman, 72, dan isterinya, Fatimah Salleh, 64, memfailkan tuntutan itu dengan menamakan anak perempuan mereka, Raja Suzana, 37, serta suaminya, Zulazli Hashim, 41, sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif pertama, iaitu Kassim dianugerahkan sebidang tanah oleh kerajaan negeri di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, di sini sekitar Ogos 1971.

Plaintif pertama dan kedua mendakwa mereka mendirikan sebuah rumah di atas tanah itu dan membesarkan lapan anak mereka, termasuk defendan pertama.

Dalam pernyataan tuntutan itu yang dikemukakan dua minggu lalu, mereka turut menyebut defendan pertama dan kedua mendirikan rumah tangga pada 1993.

Pada 2002, plaintif pertama bersetuju untuk memindah pemilikan tanah itu kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.

Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif. Pada mulanya, plaintif dibenarkan tinggal di rumah itu tetapi layanan defendan amat mengecewakan sebelum plaintif diusir keluar oleh defendan pada akhir Ramadan 1425 Hijrah.

Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan berlaku kejadian defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Satu laporan polis dibuat ekoran kejadian itu.

Plaintif kini tidak tinggal lagi bersama defendan, tetapi dengan seorang anak mereka.

Pernyataan berkenaan turut menyebut, keadaan itu menunjukkan defendan gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal, abai atau cuai untuk melaksanakan tanggungjawab menafkahi plaintif iaitu nafkah furu'.

Sehubungan itu, plaintif menuntut defendan menafkahi mereka selama hayat dan plaintif dibenarkan tinggal di dalam rumah di Kampung Jiboi Baru selama hayat mereka; plaintif diberi kebebasan untuk bergerak secara munasabah dan melakukan aktiviti masing-masing dalam rumah itu serta kawasan persekitaran.

Plaintif turut menuntut diberi kebebasan untuk dilawati anak lain dan bersama dengan anak lain di rumah itu pada bila-bila masa yang munasabah selama hayat mereka; defendan menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta relif yang difikir sesuai oleh mahkamah.

Peguam plaintif, Haniff Hassan, berkata anak guamnya dan defendan bersetuju mengadakan perbincangan sulh semalam.

Jika kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang persetujuan, tuntutan itu akan dibicarakan di mahkamah.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Saturday, April 14, 2007

Hakim syariah penjawat awam

Hakim syariah penjawat awam

Oleh

Rohaniza Idris


KUALA LUMPUR: Hakim mahkamah syariah tidak menikmati keistimewaan sama dengan hakim mahkamah sivil kerana mereka adalah penjawat awam dan perkhidmatan mereka tidak mengikut Akta Saraan Hakim.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata status perkhidmatan berbeza menyebabkan hakim mahkamah syariah mendapat layanan berbeza termasuk gaji, elaun, imbuhan dan kemudahan tertentu.

Malah, katanya, hakim mahkamah syariah juga berada dalam kedudukan yang berbeza dengan hakim mahkamah sivil ketika menghadiri majlis rasmi kerajaan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman, yang mempersoalkan mengapa hakim mahkamah syariah tidak menikmati keistimewaan sama seperti hakim mahkamah sivil, walaupun status kedua-dua institusi itu adalah sama.

Sheikh Ghazali berkata, kedudukan hakim mahkamah syariah sebagai penjawat awam menyebabkan mereka terikat dengan peraturan kerajaan sama ada Persekutuan ataupun kerajaan negeri kerana hal berkaitan agama dan undang-undang mahkamah syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Peguam Syarie (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata perbezaan status antara hakim mahkamah syariah dengan hakim mahkamah sivil menyebabkan mereka tidak mendapat keistimewaan sama.

"Pelantikan hakim mahkamah syariah dan sivil juga berbeza. Hakim mahkamah sivil dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan cadangan Ketua Hakim Negara manakala hakim mahkamah syariah dilantik mengikut peraturan perkhidmatan awam," katanya.

Zainul Rijal berkata, perbezaan status juga menyebabkan tangga gaji dan kemudahan hakim mahkamah syariah dan mahkamah sivil berbeza.

"Contohnya, hakim mahkamah tinggi syariah tidak mendapat kemudahan pemandu dan kenderaan rasmi, malah kediaman khas juga tidak disediakan.

"Ada sesetengah kes hakim mahkamah tinggi syariah hanya menaiki komuter untuk ke mahkamah," katanya.

Beliau menjelaskan perbezaan yang ketara itu menyebabkan mereka yang berkaliber tidak berminat menjadi hakim mahkamah syariah.

Dalam perkembangan yang lain, Sheikh Ghazali bersetuju dengan pendapat Abdul Talib mengenai kebebasan beragama yang mana sesiapa saja boleh memilih agama masing-masing.

Namun, katanya, sesiapa yang sudah memeluk Islam perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk untuk keluar daripada agama itu.

Pendapat Sheikh Ghazali dipersetujui Zainul Rijal yang menjelaskan Perlembagaan Negara memberi kebebasan kepada sesiapa saja untuk memilih agamanya tetapi mereka yang sudah menganuti sesuatu agama mesti mengikuti sistem agama berkenaan.

"Sebagai contoh, mereka yang memeluk Islam jika mahu keluar daripada agama itu perlu mengikut prosedur dan sistem ditetapkan jika mahu meninggalkan agama itu, begitu juga agama lain," katanya.

Kompleks beri semangat baru

Kompleks beri semangat baru

Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES (WARTAWAN UTUSAN)


KOMPLEKS Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.

MELANGKAH sahaja masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang gah tersergam dengan seni bina yang begitu indah dan membanggakan telah memberikan seribu harapan kepada sesiapa sahaja yang berurusan dengannya.

Jika melihat kulitnya (reka bentuk luaran), persoalan yang bermain di fikiran ialah pembinaan kompleks yang menelan kos RM270 juta sudah semestinya telah melalui tempoh perancangan yang panjang dan begitu teliti sekali.

Kompleks mahkamah itu merupakan sebuah projek di bawah Rancangan Malaysia ketujuh, yang terletak di Mukim Batu, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ia adalah ilham lima arkitek dan jurutera-jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) berdasarkan kehendak pelanggan mereka iaitu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Namun, indah lagi menawan sahaja dan ditambah pula dengan kelengkapan peralatan yang serba canggih serta sofistikated, sebenarnya masih belum mencukupi. Ini kerana, ia perlu digilap agar mempamerkan perkhidmatan yang cemerlang demi mencapai aspirasi, tiada lagi lambakan kes atau dalam bahasa yang paling lembut bilangan kes tertunggak dapat dikurangkan.

Yang paling mustahak sekali, diharap juga dengan keluasan tanah 30 ekar atau 13 hektar dan menempatkan 77 buah mahkamah, tertuduh terutamanya yang berada dalam tahanan reman, tidak perlu meringkuk di penjara bertahun lamanya, hanya untuk menunggu tarikh perbicaraan.

Justeru, pihak atasan juga perlu bersiap sedia memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan supaya bangunan yang indah tidak 'tercemar' dek kekurangan mahupun kecekapan pegawai-pegawai mahkamah dipersoalkan.

Biarlah nanti, kecekapan dan kehebatan mereka menjalankan tugas, diperbualkan dan bukannya menjadi cacian.

Masalah 'lapuk' misalnya kekurangan hakim dan pesuruhjaya kehakiman juga perlu dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan daripada timbulnya fenomena 'hakim popular' hinggakan diari mereka kehabisan tarikh perbicaraan seperti pisang goreng panas.

Memetik apa yang disuarakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim ketika lawatannya ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 4 April lalu, sekiranya penambahan hakim tidak berjaya mencapai sasaran, beliau akan mengambil pendekatan lain termasuk menggaji pesuruhjaya kehakiman secara kontrak.

Sebanyak 77 buah bilik bicara yang disediakan, diharap dapat beroperasi dengan lancar dan digunakan secara maksimum, seiring dengan kepesatan kadar jenayah yang semakin berleluasa kini.

Sebelum terbinanya kompleks mahkamah kedua terbesar di dunia selepas India itu, pihak-pihak yang terlibat dalam perancangannya telah melakukan lawatan ke beberapa kompleks mahkamah termasuk Shah Alam, Ipoh dan Sarawak demi untuk mengkaji serta menangani segala kelemahan dan kekurangan yang ada di mahkamah terbabit. Tujuannya supaya kelemahan yang sama tidak berulang lagi dan dapat dijadikan teladan.

Misalnya, tempat untuk menyimpan kenderaan yang menjadi bahan bukti (eksibit mahkamah) pula perlu dipantau bagi mengelakkan daripada terjadinya 'limpahan' barang kes (kereta buruk, kereta terbakar), seperti fenomena yang berlaku di sebuah mahkamah di Selangor yang hanya menempatkan (eksibit) di tempat parkir kereta. Ini secara tidak langsung telah membazirkan ruang parkir awam yang sememangnya terhad selain merosakkan nilai estetika (keindahan) bangunan mahkamah.

Kehadiran kenderaan-kenderaan buruk (barang eksibit) umpama hendak ditelan mati emak, hendak diluah mati bapa (serba salah). Ini disebabkan ia amat mustahaknya kerana menjadi bahan bukti perbicaraan.

Kesukaran menempatkan fail-fail mahkamah juga dijangka tidak akan berlaku di kompleks mahkamah baru ini memandangkan terdapat lebih 20 bilik fail disediakan. Ini secara tidak langsung dapat menidakkan desas-desus yang kedengaran mengenai kekurangan bilik-bilik untuk menempatkan fail.

Meninjau pula setiap kamar mahkamah (bilik bicara) yang agak lapang dan selesa, semuanya dilengkapi dengan alat pembesar suara. Justeru, tiada lagi masalah kurang dengar atau 'tercicir' fakta perbicaraan kerana prosiding boleh didengar dengan jelas.

Bagi menjamin prosiding berjalan lancar dalam kes melibatkan keterangan vulnerable witness (saksi terancam) misalnya mangsa jenayah seksual, mahkamah juga menyediakan perbicaraan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) yang diselenggara melalui electrical monitering control system (EMCS).

Dengan kompleks sebesar itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, telah memikirkan dengan terperinci dan menimbangkan beberapa faktor dari segenap sudut misalnya, berapakah lif yang diperlukan.

Masalah kerosakan lif yang sering berlaku di sesetengah mahkamah juga telah dijadikan iktibar dan diberikan pertimbangan sewajarnya agar Mahkamah Kuala Lumpur tidak menerima nasib yang sama seperti beberapa buah mahkamah lain.

Misalnya, sudahlah terpaksa berjalan mendaki bukit yang tinggi selepas meletakkan kereta di sekitar kawasan perumahan (akibat kekurangan parkir), peguam-peguam terpaksa pula menaiki tangga dengan mengheret beg mereka yang berat untuk ke bilik bicara kerana lif mengalami kerosakan.

Namun fenomena kerosakan dan kesesakan atau terpaksa menunggu lif untuk beberapa minit umpama menunggu bas, semestinya tidak akan berlaku di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur memandangkan terdapat 24 bilangan lif dan dua dumwaiter (lif khas untuk mengangkut fail) yang beroperasi.

Pengguna lif malahan akan merasa lebih selesa dan selamat kerana adanya konsep pengasingan antara lif hakim, kakitangan, orang kena tuduh (OKT), lif orang awam dan barang.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri juga turut peka kepada maruah orang yang dituduh (OKT) melakukan kesalahan. Ini kerana, prinsip seseorang tertuduh tidak bersalah selagi belum terbukti kesalahannya begitu dijaga dan terpelihara.

Buktinya, dari penjara tertuduh akan dibawa masuk ke dalam mahkamah melalui laluan khas tanpa wajah mereka menjadi tontonan ramai mahupun menjadi buruan pihak media. Langkah ini secara langsung mampu mengurangkan tekanan yang ditanggung oleh tertuduh dan keluarga mereka.

Pendek kata, segala kemudahan dan kelengkapan yang disediakan di kompleks tersebut memenuhi keperluan pengguna demi menjamin keselesaan bersama.

Adalah diharapkan dengan adanya kompleks yang indah dan perkhidmatan yang cemerlang daripada pihak atasan hinggalah kakitangan sokongan mampu menaikkan prestasi dan imej Badan Kehakiman negara ini di peringkat global.

Beri keistimewaan hakim Mahkamah Syariah

Beri keistimewaan hakim Mahkamah Syariah

Oleh: WAN SYAMSUL WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 13 April – Hakim Mahkamah Syariah seharusnya diberi keistimewaan yang setaraf dengan hakim Mahkamah Sivil untuk menarik lebih ramai menceburi bidang syariah.

Langkah itu dilihat dapat mengelakkan perasaan 'terpinggir' hakim Mahkamah Syariah yang seolah-olah dianaktiri dari segi gaji, protokol dan pelbagai keistimewaan lain.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, hakim kedua-dua mahkamah itu sepatutnya tidak dibezakan dalam apa segi sekalipun kerana taraf mereka adalah sama.

''Sehingga hari ini masih ada hakim di Mahkamah Syariah yang menaiki kenderaan awam seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau memandu sendiri ke tempat kerja.

''Fenomena ini tidak berlaku pada hakim Mahkamah Sivil yang kebanyakannya diambil dan dihantar pemandu untuk ke tempat kerja serta ke rumah,'' ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman yang hairan mengapa hakim Mahkamah Syariah tidak mendapat keistimewaan setaraf hakim di Mahkamah Sivil sedangkan status kedua-dua mahkamah itu adalah sama.

Dari segi perkhidmatan dan protokol seperti dalam majlis rasmi pun, kata bekas Peguam Negara itu, hakim Mahkamah Syariah tidak diberi layanan seperti rakan setugas di Mahkamah Sivil.

Dalam sistem perundangan negara ini, jelasnya, kedudukan Mahkamah Syariah bukan lebih rendah daripada Mahkamah Sivil.

Mengulas lanjut, Zainul menegaskan, perkara berhubung keistimewaan yang dinikmati hakim Mahkamah Sivil tidak sepatutnya dibangkitkan jika hakim Mahkamah Syariah diberi 'layanan' sama sejak dari dahulu.

"Tiada pihak yang akan merasa dibezakan jika kedua-dua mereka diberi layanan sama rata," katanya.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Kutubul Zaman Bukhari berkata, kelebihan yang dimiliki hakim Mahkamah Sivil sepatutnya sudah lama dinikmati oleh hakim Mahkamah Syariah.

"Saya menyokong penuh apa yang diperkatakan Tan Sri Abu Talib demi kebaikan dan kelebihan hakim Mahkamah Syariah yang sepatutnya sudah lama diselaraskan," katanya.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaiton Othman pula berkata, isu itu tidak seharusnya timbul kerana penilaian seseorang hakim sebenarnya terletak kepada prestasi kerja seseorang.

"Jadi tidak timbul soal mendapat pangkat 'Datuk' atau tidak kerana semuanya diberikan oleh Sultan di setiap negeri.

"Tidak perlu hendak dibezakan kerana kedua-dua bidang sivil dan syariah mempunyai kelebihan dalam bidang penghakiman yang sudah ditetapkan.

"Pindaan perlembagaan Artikel 121 mungkin menjadi punca kehakiman syariah menjadi lebih 'popular' dan banyak diperkatakan masyarakat," jelasnya.

Menurutnya, pindaan itu menyebabkan bidang kuasa syariah di negara ini semakin besar dan disegani oleh masyarakat.

Zaiton tidak menolak ramai hakim Mahkamah Syariah, mufti atau timbalan mufti dikurniakan pelbagai anugerah kerana baktinya dalam kerjaya.

"Apa yang penting keikhlasan dan kecemerlangan mereka dalam tanggungjawab yang dipikul," katanya

Friday, April 13, 2007

Suhakam persoal perbezaan taraf hakim Syariah dengan sivil

Suhakam persoal perbezaan taraf hakim Syariah dengan sivil

KUALA LUMPUR 12 April — Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman berkata, beliau hairan kenapa hakim Mahkamah Syariah tidak mendapat keistimewaan setaraf hakim di Mahkamah Sivil sedangkan status kedua-dua mahkamah itu adalah sama.

Beliau berkata, dari segi perkhidmatan, malahan dari segi protokol seperti dalam majlis rasmi pun, hakim Mahkamah Syariah tidak diberi layanan seperti rakan setugas di Mahkamah Sivil.

"Saya hairan mengapa hakim Mahkamah Syariah tidak diberi keistimewan yang sama, sedangkan kedua-dua pihak itu menjalankan tugas yang sama iaitu melaksanakan keadilan dan kedudukan kedua-dua cabang kehakiman itu adalah setaraf," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Hak Kepada Perbicaraan Segera Dan Adil Di Mahkamah Syariah Ke Arah Penyelesaian Yang Praktikal, di sini hari ini.

Abu Talib, yang juga bekas Peguam Negara, berkata, kerajaan harus meneliti perkara itu dan mencari jalan penyelesaian kerana memang terdapat persepsi seolah-olah kedudukan hakim Mahkamah Syariah lebih rendah.

Katanya, Mahkamah Syariah merupakan satu cabang badan kehakiman negara, cuma yang berbeza ialah dari segi aspek kuasa kerana ia mentadbir hukum Syariah, manakala Mahkamah Sivil mentadbir undang-undang sivil.

"Jelaslah bahawa Mahkamah Syariah adalah setaraf dan tidak rendah daripada Mahkamah Sivil dalam sistem perundangan negara ini.

"Sepatutnya kedudukan adalah setaraf antara kedua cabang mahkamah itu, supaya tidak akan timbul persepsi yang kedudukan Hakim Mahkamah Syariah lebih rendah," katanya.

Mengenai satu perkara lain, Abu Talib berkata orang bukan Islam boleh memberi keterangan saksi pada perbicaraan di Mahkamah Syariah supaya mahkamah dapat mencari keadilan.

Katanya, peruntukan Akta Mahkamah Syariah membolehkan orang bukan Islam memberi keterangan di Mahkamah Syariah.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman pula berkata, sejak bilangan hakim ditambah dan perbicaraan di Mahkamah Syariah dipercepatkan, tidak banyak lagi kes yang tertangguh.

"Malahan kes yang didaftarkan dapat diselesaikan dalam masa kurang setahun dan ada yang dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan," katanya. - Bernama

Tuesday, April 10, 2007

Kok Wing, isteri mohon bubar perkahwinan

Kok Wing, isteri mohon bubar perkahwinan

KUALA LUMPUR 9 April – Ahli perniagaan, Tan Sri Lim Kok Wing dan isteri, Puan Sri Tessie Lim Kok Wing telah mengemukakan permohonan petisyen bersama di Mahkamah Keluarga untuk membubarkan perkahwinan mereka.

Permohonan tersebut yang difailkan oleh mereka pada 11 Disember tahun lalu telah dibenarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aziah Ali ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.

Petisyen bersama itu dibenarkan secara decree nisi iaitu penceraian tersebut akan disahkan sekiranya tiada masalah timbul dalam tempoh tiga bulan berkuatkuasa mulai hari ini.

Menurut petisyen tersebut, alasan penceraian yang dinyatakan oleh pasangan itu adalah 'perkahwinan itu telah gagal dan tidak dapat didamaikan langsung'.

Pada prosiding hari ini, kedua-duanya hadir bersama peguam masing-masing.

Perkahwinan Kok Wing, 61, dan Tessie, 44, telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, Petaling Jaya, dekat sini pada 18 November 1986 dan pasangan itu dipercayai berpisah sejak Mac tahun lalu setelah melayari alam perkahwinan selama hampir 20 tahun.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Junior Lim Kok Wing, 25, dan seorang anak perempuan Tiffanee Merie Lim, 20.

Ekoran penceraian tersebut, Kok Wing diperintahkan membayar jumlah tunai penyelesaian sebanyak RM11,650,000 kepada Tessie seperti yang dipohon sebagai sebahagian daripada penyelesaian pembubaran perkahwinan berkenaan.

-------------------
Nota:

jarang terbaca kes cerai selain kes orang melayu..so kes ni orang terkenal masuk jugak surar khabar may be utusan lupa dengan Akta 114 - Akta Kawalan Laporan Mahamah 1962.

alamkia

Sunday, April 08, 2007

Kompleks mahkamah baru beroperasi penuh 3 Mei

Kompleks mahkamah baru beroperasi penuh 3 Mei

KUALA LUMPUR 7 April – Kompleks mahkamah baru di Jalan Duta yang telah siap dibina dan merupakan bangunan mahkamah kedua terbesar di dunia selepas India akan beroperasi sepenuhnya pada Khamis, 3 Mei depan.

Kompleks mahkamah itu dibina dengan kos RM270 juta memuatkan 77 bilik bicara, iaitu 30 bilik bicara Mahkamah Tinggi, 21 bilik bicara untuk Mahkamah Sesyen dan 26 bilik bicara Mahkamah Majistret.

Bangunan baru tersebut menempatkan mahkamah-mahkamah di sekitar Kuala Lumpur yang pada masa ini berada di Wisma Denmark, Jalan Ampang, Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja dan Bangunan JKR 26, Jalan Sultan Hishamuddin.

Dalam satu kenyataan akhbar Ketua Penolong Pengarah Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar memberitahu bahawa operasi perpindahan ke kompleks mahkamah itu telah pun bermula pada 1 April lalu secara berperingkatperingkat.

Tarikh perpindahan Mahkamah Tinggi di Wisma Denmark adalah seperti berikut:

Mahkamah Sivil 1, 9 April; Mahkamah Sivil 2, 10 April; Mahkamah Sivil 3, 11 April, Mahkamah Sivil 4, 12 April, Mahkamah Sivil 5, 13 April, Mahkamah Tinggi 6, 14 April dan Mahkamah Tinggi Sivil 7 pada 16 hingga 18 April ini.

Bagaimanapun, Kaunter Pendaftar Sivil di Mahkamah Tinggi Wisma Denmark bagi pembayaran dan penerimaan dokumen akan terus beroperasi sehingga 13 April.

Pendaftaran Sivil akan beroperasi sepenuhnya di kompleks mahkamah baru pada 16 April depan.

Pendengaran kes-kes Mahkamah Tinggi akan bermula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 18 April ini.

Menurut Mohamed Elias, bagi kes-kes yang tidak ditetapkan sebelum 17 April, tarikh baru akan dimaklumkan kepada peguam.

Jadual perpindahan bagi Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang di Bangunan Sultan Abdul Samad ialah Mahkamah Dagang 1 dan 2, 23 April; Mahkamah Dagang 3 dan 4, 24 April, Mahkamah Dagang 5 dan 6, 25 April, Mahkamah Dagang 7 dan 8, 26 April.

Bahagian kebankrapan berpindah pada 27 dan 28 April manakala Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kaunter Pendaftaran dan Bahagian Kaunter Bayaran pada 30 April ini. Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang beroperasi sepenuhnya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, 2 Mei.

Jadual perpindahan Mahkamah Tinggi Jenayah ditetapkan dengan Mahkamah Jenayah 2 pada 9 April, Mahkamah Jenayah 1, 10 April; Mahkamah Jenayah 3, 11 April; Mahkamah Jenayah 4, 12 April; Mahkamah Jenayah 5, 13 April.

Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi Jenayah pula berpindah pada 17 April. Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah beroperasi sepenuhnya, 3 Mei.

Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa Khas di Bangunan JKR 26, Jalan Sultan Hishamuddin di sini dijadual berpindah 20 April dan akan mula bersidang di mahkamah baru pada 23 April.

Tuesday, April 03, 2007

Kes jurunikah palsu disebut semula 28 Mei

Kes jurunikah palsu disebut semula 28 Mei

SETIU 2 April - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes seorang lelaki berusia 54 tahun yang didakwa sebagai jurunikah palsu.

Hakim Nik Zuhaiza Ismail membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Mat Nor Abdullah melantik peguam belanya, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab.

Pada 12 Februari lalu, Mat Nor mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan apabila empat pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia yang tinggal di Kampung Air Sejuk, Guntung Luar di sini, memakai baju kemeja merah jambu dan berseluar hitam serta berkopiah putih dilihat tenang dan bersahaja ketika kesnya disebut hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mat Nor dituduh mengakad nikah satu perkahwinan melibatkan pasangan Tengku Abd. Raseb Tengku Yen, 46, dan Jahara Muda, 43, di sebuah rumah di Kampung Air Sejuk, Guntung Luar di sini pada pukul 11 pagi, 8 April 2004.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan yang sama melibatkan pasangan Tengah Mamat, 55, dan Norashikin Chiranan, 21, di tempat yang sama pada pukul 10 pagi, 21 Ogos 2004.

Kesemua pertuduhan dikemukakan oleh pegawai pendakwa syarie, Mustafa Hamzah mengikut Seksyen 37 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 dan Seksyen 38 (1)(a) akta yang sama.

Mat Nor boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan jika didapati bersalah.

Terdahulu, Kamaruzaman memohon tarikh sebutan ditetapkan kerana beliau ingin meneliti kes tersebut terlebih dahulu.

''Saya baru dilantik hari ini dan saya memohon masa untuk meneliti dan mengadakan perbincangan dengan anak guam saya dahulu untuk mendapatkan sebarang arahan lanjut," katanya.

Perbuatan Mat Nor mula mendapat perhatian pihak berkuasa apabila akhbar Kosmo! mendedahkan mengenainya Jun tahun lalu.

Wanita mahu Mahkamah Persekutuan tentukan beri penceraian sivil

Wanita mahu Mahkamah Persekutuan tentukan beri penceraian sivil

PUTRAJAYA 2 April – Seorang suri rumah, yang diminta merujuk ke Mahkamah Syariah untuk menuntut hak perkahwinannya, mahu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk memutuskan penceraian sivil jika melibatkan seorang daripada pasangan itu yang telah memeluk Islam.

Ini adalah antara sembilan persoalan undang-undang terkandung dalam permohonan R. Subashini untuk meminta kebenaran Mahkamah Persekutuan membuat penentuan.

Subashini telah memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran merayu dari Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Mac lepas mengarahkannya untuk menuntut pembubaran perkahwinan dan dakwaan hak jagaan anak di Mahkamah Syariah.

Pada hari berkenaan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas setiausaha itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 September tahun lepas, mengetepikan perintah injunksi sebelah pihak bagi menghalang T. Saravanan, 31, daripada memulakan prosiding pembubaran perkahwinan mereka dan mengislamkan anak keduanya di Mahkamah Syariah.

Wanita berusia 28 tahun itu memfailkan permohonan kebenaran bersama perakuan segera menerusi firma guaman Kanesalingam & Co pada Jumaat lepas menggesa mahkamah mendengar permohonan itu secepat mungkin.

Ia akan menjadi jalan terakhir bagi Subashini jika gagal memperoleh kebenaran merayu dari Mahkamah Persekutuan. Jika ini berlaku, keputusan Mahkamah Rayuan adalah muktamad.

Jumaat lepas, Subashini mendapat injunksi sementara dari Mahkamah Rayuan bagi menghalang Saravanan memulakan atau menyambung sebarang prosiding di Mahkamah Syariah atau mengislamkan anak kedua mereka sementara menunggu permohonan kebenarannya.

Antara alasan memohon perbicaraan awal ialah isu-isu yang dibangkitkan dalam permohonan kebenaran berkait dengan penggunaan undang-undang Islam terhadap warga bukan Islam yang pada dasarnya menjejaskan kehidupan semua masyarakat bukan Islam di negara ini.

Beliau juga berkata bahawa permohonan kebenaran itu telah membangkitkan isu-isu berkaitan hubungan antara Mahkamah Tinggi Sivil dan Makhamah Syariah yang dibentuk melalui pelbagai badan perundangan negeri yang mempunyai kesan bermakna atau fungsi sebenar sayap kehakiman kerajaan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Satu lagi persoalan yang dicadangkan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ialah sama ada terdapat penyalahgunaan proses untuk salah seorang pasangan dalam perkahwinan sivil menukar agama secara unilateral seorang kanak-kanak bawah umur tanpa persetujuan pasangannya.

Pasangan tersebut, yang belum memutuskan penceraian mereka, mempunyai dua anak lelaki, Dharvin Joshua, 3, dan Sharvin, 1 tahun.

Saravanan, yang nama Islamnya Muhammad Shafi Abdullah, mendakwa anak sulungnya itu telah memeluk Islam bersamanya pada Mei tahun lepas.

– Bernama

 

Sample text

Sample Text

Sample Text